Kebebasan Bersuara vs Suara Yang Hak

altMUAR 20 Ogos – Cadangan untuk meminda beberapa akta bagi membolehkan perhimpunan dijalankan tanpa permit, membuktikan sikap terbuka kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam memberi ruang yang luas kepada rakyat menyuarakan pandangan mereka

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, berdasarkan perkembangan semasa, kerajaan prihatin bahawa orang ramai memerlukan platform tertentu untuk meluahkan pandangan atau kritikan namun sewajarnya ia dilakukan dalam situasi yang terkawal.

“Ini adalah satu cara untuk memberi ruang kerana kita tak boleh sekat pandangan, mungkin ada baik juga bila ada orang bersuara secara betul dalam platform yang terkawal.

“Jadi kita tidak terlalu emosional sehingga timbul huru hara, saya tidak fikir ada rakyat Malaysia yang hendak melihat negara hancur lebur, lebih baik duduk satu tempat dan cakap apa yang mahu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas beramah mesra dengan penduduk di Gerai Makan Majlis Perbandaran Muar (MPM) Bukit Kepong di sini hari ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan cadangan pindaan terhadap beberapa akta membabitkan kebebasan dan hak asasi manusia seperti Akta Polis 1967 dalam membolehkan perhimpunan dilakukan tanpa permohonan permit.

Pindaan itu dijalankan secara serentak dengan pindaan terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang akan dilakukan Oktober ini.

Menurut Muhyiddin, perhimpunan tidak terkawal seperti yang berlaku dalam Perhimpunan Mansuh ISA di ibu kota baru-baru ini tidak sewajarnya berulang seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Beliau pernah sarankan mereka yang terbabit agar duduk di dalam stadium, kalau nak bertempik sampai subuh pun tidak mengapa, asalkan tidak mengganggu kehidupan biasa dan perniagaan, itu tidak menjadi masalah,”jelasnya.

Jelas Muhyiddin, beliau menyerahkan kepada Kementerian Dalam Negeri yang akan memperhalusi perkara itu dengan Peguam Negara sebelum dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

Mengenai isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), beliau meminta kedua-dua pihak yang bertelagah agar menyelesaikannya secara berhemah kerana pertikaian secara terbuka bukan sahaja memberi kesan kepada BN dalam kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, tetapi juga imej kerajaan.

“Kita meminta kedua-dua pihak jika boleh menggunakan cara-cara yang berhemah,” katanya.

 

 

Menurutnya, beliau menyerahkan kepada kedua-dua pemimpin yang terlibat di dalam pertikaian isu tersebut ‘tentang apa yang sepatutnya mereka lakukan’ dalam mencari penyelesaian.

“Saya tidak boleh mengajar mereka kerana mereka sudah dewasa dan merupakan pemimpin di dalam parti politik,” katanya.

Menurut Muhyiddin, isu PKFZ merupakan perkara yang besar dan telah menarik perhatian umum, menyebabkan masyarakat membuat pelbagai andaian umum.

Sumber: Utusan Malaysia 21/08/09

Ulasan:

Sekali imbas, nampaknya kerajaan ’tunduk’ kepada tekanan rakyat setelah berlakunya himpunan besar-besaran mansuhkan ISA baru-baru ini. Namun, jika diteliti lebih mendalam, ia lebih berupa senjata memancing undi pada pilihanraya kecil Permatang Pasir nanti, dan sekaligus untuk jangka panjang, boleh menjadi pancing untuk pilihanraya umum ke-13.

’Kebebasan bersuara’ adalah salah satu produk dari demokrasi. Ia dijaja oleh Barat dan diagungkan oleh pencinta demokrasi. Umat Islam yang terkeliru pula menelan bulat-bulat racun dari Barat ini. Justeru, apabila pihak pemerintah menyekat kebebasan ’suci’ ini (atas nama demokrasi), maka rakyat bangkit menentang pemerintah (juga atas nama demokrasi). Masing-masing pihak akan menghalang dan menuntut ’kebebasan bersuara’ atas nama perjuangan demokrasi, bukannya atas perjuangan Islam. Aneh sungguh!

Sebagai seorang Muslim, kita harus sedar bahawa seluruh perbuatan dan perkataan kita harus terikat atau dipandu dengan hukum syara’, bukan terikat atau dipandu dengan demokrasi! Islam tidak mengenal istilah kebebasan sebagaimana yang dibawa Barat, termasuklah kebebasan untuk bersuara. Dari Abu Hurairah ra katanya, Rasulullah SAW bersabda,

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka ucapkanlah kata-kata yang baik atau diam sahaja”. 

Keterikatan dengan hukum syara’ (at-taqayyud bi al-hukm al-syar’i) berlaku umum untuk seluruh perbuatan  manusia, termasuk aktiviti bersuara. Hal ini secara jelas adalah suatu yang bertentangan dengan idea kebebasan yang diagung-agungkan oleh demokrasi, di mana di dalam demokrasi, seseorang itu boleh bersuara mengikut apa sahaja yang mereka suka. Baik atau buruk, halal atau haram bukanlah penentu bagi mereka.

Di dalam Islam, halal dan haram diukur dengan Al-Quran dan Sunnah. Seseorang itu dilarang bercakap perkara yang bertentangan dengan Islam, contohnya tidak boleh menghina orang lain, tidak boleh mengumpat, memfitnah, menyakiti hati saudara, menyatakan ‘ahh’ kepada ibubapa dan seumpamanya. Allah juga melarang manusia memperkatakan sesuatu yang boleh menghina agamaNya, RasulNya, kitabNya dan sebagainya.

Namun sebaliknya, Allah mewajibkan seseorang itu memuhasabah penguasa, memberikan nasihat, menyuruh yang makruf dan mencegah yang munkar. Kita diwajibkan untuk menyatakan perkara yang hak walaupun ianya pahit. Sabda Baginda,

”Barangsiapa diantara kamu yang melihat kemunkaran, maka ubahlah dengan tangannya. Jika tidak mampu, ubahlah dengan lisan. Jika tidak mampu, ubahlah dengan hati. Dan itulah selemah-lemah iman”.

Ketahuilah tidak ada perkataan yang lebih baik daripada dakwah kepada Allah SWT. FirmanNya,

“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, seraya berkata, ‘Sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)” [TMQ  Fussilat (41):33].

Islam memerintahkan manusia untuk menyatakan perkara yang hak dimana sahaja dia berada, apatah lagi di hadapan pemimpin yang zalim. Sabda Rasulullah SAW,

“Penghulu para syuhada adalah Hamzah ibn Abdul Muthallib dan lelaki yang berhadapan dengan penguasa yang zalim lalu dia menasihati penguasa tersebut, kemudian dia dibunuh (oleh penguasa tersebut).” [HR Hakim].

Oleh yang demikian, kita hendaklah melihat persoalan hak untuk bersuara dari perspektif Islam, bukannya perspektif demokrasi. Haram bagi pemimpin menghalang rakyatnya memperkatakan yang hak, bila-bila dan di mana sekalipun. Dan haram bagi sesiapa pun menyuarakan sesuatu yang bertentangan dengan syarak, baik dalam skala yang kecil mahupun skala yang besar. Wallahu a’lam.