Mitos Kebebasan Bersuara Barat

Baru-baru ini, Sebuah kumpulan berhaluan kanan Jerman berhasrat menayangkan filem anti-Islam Innocence of Muslims yang mencetuskan rusuhan di seluruh dunia. “Bagi kami, ia merupakan satu jenis kesenian dan kebebasan bersuara,” kata ketua kumpulan Pro Deutschland, Manfred Rouhs kepada majalah berita mingguan, Der Spiegel dalam edisi yang dikeluarkan hari ini.

Menteri Dalam Negeri Jerman, Hans-Peter Friedrich memberitahu Der Spiegel bahawa beliau akan menggunakan kuasa undang-undang yang ada pada bagi menghalang kumpulan itu. “Kumpulan dan organisasi ini hanya mahu membangkitkan kemarahan masyarakat Islam Jerman,” katanya sambil menuduh Pro Deutschland ‘sengaja mencurah minyak ke dalam api’ [1].

Sebaliknya situasi berbeza berlaku di Amerika Syarikat(AS) di mana berdasarkan satu kenyataannya, Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton mendakwa negaranya tidak berupaya bertindak terhadap pihak yang mencetuskan keganasan anti-Islam atas alasan kebebasan bersuara tidak boleh diterima umat Islam di seluruh dunia.

Di Malaysia pula, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, pembikinan filem Innocence of Muslims itu bukan lagi tertakluk dalam konteks kebebasan bersuara tetapi telah menyalahgunakan kebebasan tersebut untuk menghasilkan filem bertujuan menghina agama Islam. “Kebebasan bersuara ada hadnya dan bukannya bermaksud kita boleh sesuka hati menghina, memperlekeh dan membuat fitnah terhadap orang lain. Apatah lagi ia menghina ketokohan Nabi Muhammad SAW dan Islam.

“Kebebasan bersuara sepatutnya digunakan untuk melahirkan pandangan dan pendapat untuk kebaikan dan bukannya memperlekehkan agama dan bangsa lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bentong baru-baru ini[2].

Inilah kebebasan bagi Amerika Syarikat (AS). Malah kebebasan itu dilindungi. Katalah apa sahaja, burukkan mana-mana negara atau hina agama sesiapa pun. Kebebasan untuk ‘menghina, mengutuk, mengeji’ itu dilindungi dalam Perlembagaan dan undang-undang negara AS, kata Setiausaha Negara, Hillary Clinton. Kata-kata Clinton itu seolah-olah memberi imuniti kepada Nakoula Besseley Nakoula untuk menerbit filem Innocence of Muslims yang menghina agama Islam dan Nabi Muhammad S.A.W sehingga mencetuskan bantahan anti-Amerika di dunia Islam.

”Saya tahu adalah sukar bagi sesetengah orang untuk memahami kenapa AS tidak boleh menyekat video itu. ”Namun jika kami mampu melakukannya, kami juga tidak boleh berbuat demikian kerana kebebasan bersuara termaktub dalam Perlembagaan dan undang-undang AS,” jelas Clinton [3].

Demokrasi ciptaan Barat yang telah diamalkan sejak beratus-ratus tahun sebelum kedatangan Islam sebenarnya hanya menjamin kebebasan bersuara untuk golongan tertentu sahaja. Golongan tersebut yang memiliki segala kelebihan dari segi media dan kewangan adalah bebas untuk memaki-hamun, menghasut, menyerang dan turut menghasut orang lain untuk membenci dan menyerang sesiapa yang mereka lihat sebagai musuh. 

Berikut adalah bukti-bukti tentang hipokrasi Barat berkenaan prinsip kebebasan bersuara di dalam Demokrasi:

1.    Peristiwa Holocaust.
Perisitwa Holocaust adalah peristiwa di mana dikatakan pembunuhan seramai 6 juta kaum Yahudi telah dilakukan oleh Nazi Jerman pada Perang Dunia 2 di Eropah. Menafikan peristiwa Holocaust adalah salah di sisi undang-undang di banyak negara seperti di antaranya adalah Austria, Belgium, Czech Republic, France, Germany, Israel, Lithuania, Poland, Romania, Slovakia dan Switzerland. Bukan tujuan kami untuk membuktikan bahawa peristiwa ini tidak pernah berlaku. Tetapi hakikatnya adalah beberapa orang yang mempersoalkan peristiwa tersebut telah dikenakan hukuman berat. Di antaranya adalah David Irving, seorang ahil sejarah yang dimasukkan ke dalam penjara di Austria selama 3 tahun sebab mempersoalkan peristiwa tersebut [4].
 
Richard Williamson, seorang paderi dari Britain dikenakan denda sebanyak Euro 12,000 ke atas kesalahan yang dilakukannya di sebuah siaran TV di Sweden yang mengatakan bahawa tidak lebih dari 300,000 orang Yahudi telah mati di dalam kem-kem tahanan Nazi semasa Perang Dunia 2 [5].
 
Ernst Zundel, seorang aktivis berhaluan kanan berbangsa Jerman tetapi menetap di Canada, telah dipenjarakan selama 5 tahun di Jerman, setelah pihak mahkamah di Jerman mendapati beliau bersalah kerana menafikan peristiwa Holocaust. Media penerbitan Zundel iaitu Samisdat Publishers bertanggungjawab ke atas penerbitan buku yang bertajuk “Did six million really die?” oleh pengarang Richard Harwood yang mempersoalkan adakah benar bahawa seramai 6 juta orang Yahudi dibunuh semasa Perang Dunia 2 [6].
 
2.    Kritikan dan membongkarkan kejahatan Israel – Helen Thomas dan Irvine 11.

Duta Israel iaitu Michael Oren membuat lawatan rasmi ke Amerika Syarikat dan beliau telah sempat memberikan ucapan di Universiti of California di Irvine pada bulan Februari 2010, di mana ucapan beliau telah diganggu oleh seramai 11 orang penuntut muslim yang memarahi duta tersebut di atas keganasan Israel ke atas Gaza. Akibatnya kesemua 11 orang penuntut didapati bersalah kerana berkelakuan tidak senonoh kerana menggangu ucapan duta tersebut. Mereka dikenakan denda sebanyak 56 jam khidmat masyarakat dan dikenakan pengawasan polis selama tiga tahun. Peristiwa 11 orang penuntut muslim di Universiti of California di Irvine, Amerika Syarikat yang menggunakan kebebasan bersuara mereka untuk mengkritik dan memarahi duta Israel disebabkan oleh jenayah perang Israel di Gaza dikenali sebagai “Irvine 11” [7]. 
 
Helen Thomas adalah seorang penulis dan juru-lapur yang paling lama berkhidmat di White House di Amerika Syarikat. Beliau telah mengeluarkan komen bahawa kaum Yahudi sepatutnya keluar dari wilayah Palestin dan kembali ke negara-negara asal mereka seperti Jerman dan Poland. Ramai di antara pegawai atasan di dalam pentadbiran Obama, pentadbiran Bush dan pentadbiran Clinton memberikan kenyataan bahawa Helen sepatutnya dipecat daripada jawatan beliau. Di atas tekanan yang dikenakan ke atasnya dari pelbagai pihak, maka Helen memohon maaf ke atas kenyataan beliau dan seterunsya meletak jawatan dari Rumah Putih [8, 9].
 
3.    WikiLeaks – Julian Assange dan Bradley Manning

Julian Assange adalah seorang juru-lapur, aktivis, penerbit dan juga merupakan penerbit kepada WikiLeaks, sebuah laman internet yang memaparkan dokumen-dokumen rahsia kerajaan. Beliau aktif memperjuangkan kebebasan berakhbar dan kebebasan berakhbar menerusi penyelidikan (investigative journalism). Beliau adalah seorang yang menggunakan kebebasannya untuk mencari dan mendapatkan kebenaran. Disebabkan tindak-tanduk beliau yang tidak disukai oleh imperialis Barat, maka segala macam tindakan telah dikenakan terhadap beliau. Beliau sedang meminta suaka politik di kedutaan Ecuador di Britain, dan kerajaan Britain telah mengugut mahu menceroboh kedutaan tersebut untuk menangkap beliau. Joe Biden, Naib Presiden AS mengatakan Assange adalah seorang pengganas berteknologi tinggi (hi-tech terrorist). Hillary Clinton pula mengatakan Assange telah menyerang dunia ini menerusi WikiLeaks beliau. Tom Flanagan, ahli kempen untuk Presiden Canada iaitu Stephen Harper, mahu Assange ditembak mati. Mike Huckabee, seorang ahli politik parti Republican di Amerika Syarikat juga mahukan Assange dibunuh. Seorang lagi ahli Republican iaitu Sarah Palin mahu Assange diburu seperti anggota Al-Qaeda dan Taliban, yakni sampai beliau dapat dibunuh seperti Osama bin Ladin.
 
Bradley Manning adalah seorang askar Amerika Syarikat yang dihantar untuk bertugas di Irak telah ditangkap pada bulan Mei 2010 kerana menghantarkan dokumen perang kepada WikiLeaks, termasuklah video serangan udara oleh askar AS ke atas Baghdad pada 2007 dan Garani di Afghanistan pada 2009, yang mendedahkan kebanyakkan mangsa yang terkorban akibat serangan tersebut adalah orang awam yang tidak mempunyai apa-apa senjata. Termasuklah juga banyak dokumen yang berkaitan dengan perang AS di Irak dan Afghanistan. Beliau sekarang sedang ditahan dan diadili oleh mahkamah atas 34 pertuduhan yang boleh dipenjarakan sehingga 52 tahun.

Kesimpulan

Bukti-bukti di atas dengan jelas menunjukkan sikap hipokrit barat di dalam mengamalkan kebebasan bersuara. Ia juga membuktikan bahawa kebebasan bersuara sebenarnya tidak wujud. Jadi, idea kebebasan bersuara di Barat hanyalah suatu mitos. Bahkan, ianya dijadikan sebagai senjata untuk menghina, menyerang dan menghasut mana-mana agama, ideologi yang Barat lihat sebagai musuh. Bukan itu sahaja, atas nama kebebasan, idea tersebut digunakan untuk menghalang, menapis, menyunting dan menghapuskan kebenaran daripada disampaikan kepada orang ramai atas alasan untuk menjamin hak orang lain. Maka, adalah tidak wajar dan tidak patut seseorang mukmin itu mudah tertipu atau membiarkan diri hanyut dengan mitos ciptaan barat ini.

 
Wa Allahu A’lam.
 
Rujukan (dilawati  pada 17 September 2012)

1.    http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20120917/lu_02/Kumpulan-anti-Islam-Jerman-mahu-siar-filem
2.    http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20120917/dn_04/Kebebasan-bersuara-AS-tak-boleh-diterima
3.    http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20120917/lu_05/Amerika-Syarikat-dan-kebebasan-menghina
4.    http://www.guardian.co.uk/world/2006/feb/21/thefarright.highereducation
5.    http://www.guardian.co.uk/world/2009/oct/26/british-bishop-holocaust-fine
6.    http://www.guardian.co.uk/world/2007/feb/16/historybooks.secondworldwar
7.    http://www.aljazeera.com/indepth/opinion/2011/09/201192493240548858.html
8.    http://www.bbc.co.uk/news/10259646
9.    http://www.mykhilafah.com/berita-global/2218-kebebasan-bersuara-hanyalah-sebuah-falsafah-di-barat