Jangan Melanggar Hukum Allah
KAJANG, 11 Sept. — Rakyat Malaysia diingatkan jangan mengikut emosi sehingga hilang pertimbangan dengan melakukan kesalahan yang boleh membawa mereka ke penjara sebaliknya mereka perlu berfikiran rasional serta menghargai kebebasan yang dinikmati sekarang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, rakyat Malaysia kini berhadapan dengan kegagalan untuk mengawal emosi sehingga membangkitkan isu perkauman dan keagamaan yang boleh menggugat kesejahteraan negara.
“Apabila melakukan sesuatu tanpa memikirkan kesan yang diambil dan hanya mengikut emosi semata-mata, akhirnya akan membawa kepada hukuman penjara yang menarik segala kebebasan yang dimiliki sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Rakaman Takbir Raya Bersama Penghuni dan Kakitangan Penjara Kajang di sini hari ini.
Beliau yang turut berkongsi kesedihan dengan nasib yang dilalui penghuni penjara yang tidak dapat bersama keluarga menyambut hari raya yang bakal tiba, berharap apa yang dilalui oleh banduan tersebut dijadikan pengajaran oleh semua lapisan masyarakat.
“Bukan semua orang berpeluang bertemu dengan banduan ini, jadi perlu diingatkan pada masyarakat yang sering lupa tentang kelebihan, keistimewaan dan kekuatan negara bangsa kita hanya kerana pertimbangan-pertimbangan lain,” katanya.
Sumber : Utusan Malaysia, 11/09/09
UMAT ISLAM JANGAN MELANGGAR HUKUM ALLAH
Sejak manusia diciptakan oleh Allah SWT, berbagai kerosakan yang telah dilakukan oleh manusia walaupun telah diberi peringatan ke atas mereka , sehingga Allah membalas dengan azab yang berat sejak di dunia lagi.
“…Kami tidak akan mengazab sebelum kami mengutus seorang rasul” [TMQ Al-Israa’ : 15]
Kita merupakan umat Muhamad SAW yang diberikan Kitab Al-Quran sebagai panduan serta penentu setiap perbuatan kita. Kita diperingatkan tentang kewajiban mengikuti perintah Allah. Kita tidak bebas membuat apa sahaja yang kita inginkan kerana kita wajib terikat dengan hukum syarak. Malangnya, di Malaysia, hukum syarak tidak diterapkan sepenuhnya. Hukuman yang dijalankan juga bukan datang dari Islam malah jauh berbeza dari Uqubat Islam.
Benar, manusia kerap terperangkap dengan emosi dan kerana emosi, banyak kesilapan yang lakukannya. Apabila kesalahan dilakukan, dan hukuman dijalankan, penyesalan menyeliputi jiwa. Namun, tidak ada penyesalan yang lebih besar kecuali penyesalan ketika berhadapan dengan Allah kelak. Penyesalan di hadapan Allah ini bukan hanya dialami oleh mereka yang terperangkap dengan emosi, melanggar hukum Allah dan dihukum. Lebih buruk, hukuman yang mereka jalani di penjara hari ini bukannya hukuman yang berlandaskan syarak dan di akhirat, mereka akan tetap menjalani hukuman mengikut keadilan Allah SWT. Penyesalan ini juga akan dialami oleh mereka yang dipertanggungjawab untuk menjalankan hukum Allah tetapi melalaikannya.
Wahai Hishamudin, kamu merupakan sebahagian dari mereka yang ditaklifkan Allah untuk menerapkan hukumNya di muka bumi ini. Janganlah kamu hanya melihat kepada mereka yang dipenjara dan mengeluarkan kata-kata seolah-olah kamu tidak melakukan apa-apa kesalahan. Apakah kita benar-benar bebas, sedangkan kita seharusnya hidup berpandukan syarak? Bukankah keterlanjuran emosi melanggar hukum Allah itu keharamannya tetap sama dengan kesalahan melalaikan penerapan hukum Allah dalam kehidupan masyarakat dan negara? Tidakkah kamu sedar bahawa sekiranya kamu tidak menerapkan hukum Allah dan kamu berkemampuan melakukannya, penyesalan yang kamu akan alami di akhirat kelak sama sahaja dengan penyesalan para penjenayah yang terlanjur kerana emosi mereka?
Wahai Hishamudin, Ramadhan ini merupakan bulan terbaik untuk melakukan muhasabah ke atas dirimu. Setiap perkataan yang keluar dari mulut kamu akan dipertanggungjawabkan oleh Allah. Setiap tanggungjawab yang dipikulkan oleh ke atas kamu sebagai pemimpin kaum Muslimin akan dihisab oleh Allah. Apakah kamu akan berjumpa Allah dengan keredhaanNya atau penyesalan yang menyelubungi jiwamu?