Ekonomi Kapitalisme Ekonomi Yang Menindas Rakyat
KUALA LUMPUR 27 Nov. – Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) boleh dilaksanakan memandangkan cukai perkhidmatan dan jualan yang ada sekarang akan dihapuskan, kata Ahli Ekonomi Kanan Kumpulan AmInvestment Bank (Penyelidikan Ekonomi), Manokaran Mottain. “GST boleh diterima oleh rakyat Malaysia jika ia dilaksanakan dengan pengurangan cukai individu, memandangkan GST akan menjadi beban tambahan kepada pembayar cukai,” katanya semasa mengulas mengenai Rang Undang-undang GST. Beliau berkata, pelaksanaan struktur baharu cukai itu sebaik-baiknya dilaksanakan pada 2011 atau 2012 kerana sekiranya dilaksanakan lebih awal, orang ramai tidak bersedia.
Pada Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Rang Undang- undang berhubung pengenalan GST akan dibentangkan untuk bacaan pertama pada akhir sidang semasa Dewan Rakyat. Semalam, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, semalam berkata, kerajaan merancang mengenakan GST pada kadar empat peratus. Katanya, kerajaan menjangka pendapatan tahunan meningkat RM1 bilion, setahun lepas GST diperkenalkan. Sementara itu, Ketua Penyelidikan Inter- Pacific Securities Sdn. Bhd. Anthony Dass berkata, cadangan empat peratus bagi GST itu tidak akan membebankan rakyat. “Ia satu langkah yang baik dan positif, tetapi bagaimanakah kerajaan akan melaksanakannya?” katanya. Semasa memberi contoh, Dass berkata, kerajaan Singapura mengurangkan cukai pendapatan dan korporat setelah memperkenalkan GST di tahun pertama.
Katanya, langkah seumpama itu boleh dicontohi di Malaysia supaya dapat memanfaatkan kumpulan berpendapatan rendah dan korporat. Beliau berkata, kerajaan perlu mengadakan penerangan agresif bagi mempromosikan GST. – BERNAMA
Sumber: Mingguan Malaysia 29/11/09
Ekonomi Kapitalisme Ekonomi Yang Menindas Rakyat
Cukai tidak akan terlepas sebagai sumber utama pendapatan bagi sesebuah negara yang mengamalkan sistem ekonomi Kapitalisme. Tidak kira apakah ianya berbentuk cukai tidak langsung mahupun cukai langsung. Maka dengan itu tidak hairanlah apabila kerajaan kapitalis yang ada pada hari ini memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dengan kadar empat peratus tidak berapa lama lagi. Dengan tanpa rasa berdosa kepada Allah SWT dan memikirkan bebanan yang akan dipikul oleh rakyat jelata kerajaan sekular ini, melalui Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah begitu berbangga dengan anggaran kutipan dari hasil cukai ini jika ianya dilaksanakan. Disebutkan bahawa hasil kutipan dari GST ini akan dapat meningkatkan pendapatan negara sebanyak RM1 bilion, setahun selepas ianya dilaksanakan.
Islam secara jelas melalui lisan RasulNya telah menyebut: Rasulullah SAW telah bersabda,
“Sesungguhnya tidak akan masuk syurga orang yang memungut cukai (mukus)” [HR Ahmad, Abu Daud & Hakim].
Dan dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda,
“Sesungguhnya pemungut cukai itu berada dalam neraka” [HR Ahmad].
Hadis ini menunjukkan bahawa cukai bukan sahaja haram untuk dijadikan pendapatan negara, malah sesiapa sahaja (termasuk individu) yang memungut cukai, maka tempatnya adalah di neraka. Namun, kerajaan Kapitalisme yang ada pada hari ini tidak pernah takutkan ancaman dan azab Allah di mana mereka langsung tidak mempedulikan peringatan dari hadis-hadis ini.
Kerajaan Kapitalis yang ada tidak pernah ingin mengkaji bahawa sumber pendapatan Negara Islam itu telah pun ditetapkan oleh Allah dan RasulNya, antaranya Ghanimah, Fai’, Kharaj, ‘Usyur, Khumus, Rikaz, Jizyah dan lain-lain. Sumber-sumber ini merupakan sumber yang diredhai oleh Allah SWT dan pasti tidak akan menzalimi rakyat, tidak seperti cukai yang diterapkan di dalam sistem hari ini, yang bukan sahaja merampas harta rakyat, malah akan membawa pemerintah ke neraka (berdasarkan hadis di atas). Itulah ‘hadiah’ dari Kapitalisme, sebuah ideologi yang rosak, yang bukan sahaja akan membinasakan negara, malah diri pemimpin itu sendiri. Bukankah sudah tiba masanya untuk kita membuang segala hukum kufur ini dan menggantikannya dengan sistem Islam?