Perlembagaan Malaysia Mengeluarkan Bau Busuk
KUALA LUMPUR: DAP mengulangi pendirian menolak pembentukan negara Islam diperjuangkan Pas, tetapi menyambut baik kesediaan kerajaan Kelantan meminda Undang-undang Tubuh Negeri bagi membolehkan orang bukan Melayu beragama Islam menjadi Menteri Besar negeri itu.
Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw, ketika dihubungi berpendapat pembentukan negara Islam tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak dapat diterima pakai kerana ia bukan asas perjuangan parti itu.
“Jika Perlembagaan Persekutuan 1957 tak sebut perkara ini, tidak payah reka, perjuangan kita berdasarkan perlembagaan, kalau perlembagaan tak sebut, ia memang tak wujud, tak perlu dibangkitkan,” katanya. Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz, semalam yang mendakwa DAP kini sudah dapat menerima rancangan penubuhan sebuah negara Islam yang diperjuangkan Pas selama ini.
Sumber: Utusan Malaysia 30/12/09
Perlembagaan Malaysia Mengeluarkan Bau Busuk
Nampaknya DAP menggunakan senjata perlembagaan yang dihadiahkan oleh Lord Reid kepada Malaysia 52 tahun lepas untuk tetap konsisten dengan pendirian mereka bahawa perjuangan untuk menegakkan Negara Islam tak perlu direka, tak disebut dalam perlembagaan dan tidak perlu dibangkitkan. Kenapa DAP begitu “besar kepala” apabila menyentuh persoalan Negara Islam? Ini kerana mereka begitu “menyanjung” dan berpegang teguh kepada Perlembagaan Persekutuan 1957 yang diagung-agungkan oleh sebahagian besar rakyat termasuklah para pemerintah hari ini. Inilah senjata yang akan mereka usung ke mana-mana dan akan digunakan oleh para pendokong sekular dan kuffar yang berada dalam DAP dan mana-mana pengekor sekular. Nampaknya PAS sekali lagi terpaksa bersilat untuk menghadapi karenah keras kepala DAP yang begitu konsisten dengan prinsip dan perjuangan sekular mereka.
Wahai seluruh umat Islam yang berada di Malaysia saat ini! Wahai para pencinta dan pendokong serta penggerak Islam! Ketahuilah bahawa perlembagaan kufur yang dianugerahkan oleh Lord Reid selama inilah yang merupakan salah satu penghalang terbesar dari tertegaknya Islam dalam kehidupan kita sebagai umat Islam hari ini sedangkan kita wajib menerapkan Islam dalam seluruh kehidupan kita samada dalam konteks individu, masyarakat mahupun negara. Sudah sampai saatnya kita bergerak untuk membuang dan menolak hadiah yang diberikan oleh penjajah kepada kita selama ini dengan menegakkan kembali sistem pemerintahan Khilafah. Bangkitlah wahai umat Islam!