Judi Berlesen Tetap Haram Di Sisi Islam
KUALA LUMPUR- Kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussein berkata jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.
“Kerajaan sedang mengkaji perkara ini dan akan memutuskannya jika mahu membenarkan pertaruhan memandangkan kejohanan Piala Dunia ini semakin hampir,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Awang Adek berkata jika lesen itu dikeluarkan, kerajaan dapat mengawal aktiviti perjudian, selain hasilnya boleh digunakan terutama untuk pembangunan bidang sukan di negara ini.-Bernama
Sumber: Sinar Harian 07/05/10
Kerajaan Sekular Pimpinan UMNO Menghalalkan Judi? Al-Quran Mana Yang Mereka Imani?
”Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”. [TMQ Al Maa-idah (5) : 90]. Lihatlah bagaimana rosaknya pemikiran sekular para pemimpin hari ini. Dengan rasa tanpa bersalah apatah lagi berdosa mereka begitu berani berura-ura untuk membenarkan dan menghalalkan pertaruhan bagi Piala Dunia yang akan berlangsung bulan depan, dengan alasan untuk mengawal aktiviti syaitan itu. Sedangkan sewajarnya, sebagai pemerintah umat Islam mereka wajib menghapuskan saki-baki amalan-amalan syaitan itu. Faktanya hari ini secara jelas para pemerintah sekular yang ada secara berterusan dan terang-terangan memaksiati perintah Allah SWT, dengan menghalalkan lesen judi beroperasi secara berleluasa. Hari ini kedai-kedai nombor ekor dan tempat judi seperti di Genting Highlands menjalankan operasinya dengan penuh keselesaan. Inilah realiti kehidupan dunia Kapitalisme yang sememangnya merupakan tempat suburnya segala kemaksiatan.
Wahai umat Islam! Dalam dunia Kapitalisme hari ini judi menjadi halal kerana adanya lesen dari pemerintah. Keharaman judi, hukum yang datang dari Allah SWT, tidak ada nilainya dalam sistem kufur hari ini. Judi adalah amalan syaitan namun pemerintah sekular menyuburkan amalan ini. Perbuatan mereka ini akan menyemarakkan lagi agenda-agenda syaitan dan ini sudah tentu akan melahirkan lebih ramai lagi syaitan -syaitan, besar dan kecil. Fenomena ini akan memenuhkan setiap inci tanah umat Islam ini dengan kaum kerabat syaitan sedangkan setiap hari kita bermohon kepada Allah SWT untuk berlindung dari syaitan yang kena rejam. Firman Allah SWT: ”Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan syaitan yang direjam”. [TMQ An Nahl (16): 98]. Namun nampaknya, bagi para pemimpin sekular yang ada hari ini, tangan kanan mereka bermohon untuk menjauhkan diri dari syaitan yang direjam tetapi tangan kiri mereka begitu aktif mengajak dan menjemput syaitan memenuhi negeri umat Islam ini.
Judi beri kesan negatif, imej buruk kepada negara dengan majoriti rakyat beragama Islam
KUALA LUMPUR: Cadangan kerajaan untuk mengeluarkan lesen bagi pertaruhan sukan khususnya pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 mendapat tentangan banyak pihak termasuk pemimpin Umno kerana ia akan memberikan kesan negatif dan imej buruk kepada negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata cadangan berkenaan bukan saja menjejaskan imej kerajaan, malah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi. “Kita sepatutnya berusaha untuk mengurangkan gejala judi dan juga pemberian lesen judi, walaupun secara sah atau haram, kegiatan judi ini banyak memberi kesan negatif kepada masyarakat. Sepatutnya kita cari jalan kurangkan budaya judi di negara ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Mohd Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, bimbang sekiranya perjudian sukan itu dibenarkan ia akan mempengaruhi generasi muda termasuk pelajar kerana ia adalah sukan nombor satu negara.
Semalam akhbar melaporkan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengeluarkan lesen bagi pertaruhan sukan terutama kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 awal Jun ini, bertujuan untuk mengelak kegiatan perjudian haram.
Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata semua bentuk judi termasuk pertaruhan bola sepak sempena Piala Dunia adalah haram dalam Islam.
Harussani berkata, beliau tidak nampak langkah itu mampu membantu kerajaan menyelesaikan masalah penganjuran kegiatan perjudian bola tanpa lesen yang dikatakan akan berleluasa menjelang Piala Dunia.
Tokoh agama yang juga bekas penasihat agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz, pula berkata kerajaan tidak wajar meneruskan niat untuk mengeluarkan lesen pertaruhan sukan terutama sempena Piala Dunia kerana langkah itu menggalakkan masyarakat termasuk umat Islam terjebak dengan kegiatan perjudian.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Mohamad Isa Abd Ralip, dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam juga secara tegas membantah cadangan itu yang akan memberikan kesan negatif terhadap masyarakat.
Beliau berkata, sebarang bentuk pertaruhan adalah judi dan matlamat tidak boleh menghalalkan cara walaupun alasannya setiap hasil yang diterima boleh digunakan untuk pembangunan sukan dan ia juga menjadi suatu kesalahan mengikut undang-undang syariah di negara ini.
Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut, berkata cadangan terbabit adalah tidak wajar dan bertentangan dengan ajaran Islam sekiranya ingin memperoleh kemakmuran. Di KOTA BHARU, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata kementeriannya menyerahkan kepada kebijaksanaan Kementerian Kewangan untuk membuat pertimbangan bagi mengeluarkan lesen pertaruhan sukan terutama bola sepak Piala Dunia.
“Saya serah kepada Kementerian Kewangan, ini bukan aspek sukan tetapi pengawalan kegiatan perjudian yang semua tahu kegiatan perjudian adalah sekitar perlawanan bola sepak dan sukan lain,” katanya selepas Karnival Bola Sepak Kota Bharu Piala Datuk Fatmi 2010, di Maktab Sultan Ismail di sini, semalam.
Sumber: Berita Harian 08/05/10
Judi Halal! Judi Haram! Hebatnya 1Malaysia.
Kita melihat kemunculan beberapa watak yang saling berbeda dalam menentukan sikap dan pendirian masing-masing mengenai pemberian lesen perjudian pertaruhan kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 yang akan berlangsung bulan depan. Nampaknya mereka seolah-olah berlakon berkenaan dengan isu ini. Bagi Islam, semua bentuk judi adalah haram. Kini nampaknya pemerintah sekular 1Malaysia semakin canggih dengan cadangan dan ura-ura dari pihak kerajaan untuk membenarkan orang ramai terlibat secara “sah” mengikut acuan undang-undang sekular Kapitalisme dengan amalan syaitan ini. Keadaan ini tidak sepatutnya memeranjatkan kita kerana selama inipun pihak kerajaan sekular yang ada pada hari ini adalah merupakan pemerintah yang telah terkenal dengan sikapnya yang “mesra judi”. Jika tidak, mana mungkin di antara orang yang terkaya di Malaysia adalah taukey judi!
Kita ingin mengingatkan para pelakon drama ini seperti Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi, agar tidak bersifat “munafik” di dalam isu judi ini. Kamu kononnya memprotes kegiatan judi ini tetapi dalam masa yang sama kamu juga sebahagian dari mereka yang membentuk kerajaan sekular yang membenarkan kedai-kedai nombor ramalan beroperasi dengan mudahnya. Kamu juga terlibat membenarkan operasi kasino di Genting Highlands. Kita juga ingin mengingatkan rakan seperjuangan Dr Mohd Puad Zarkashi sendiri iaitu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, yang nampaknya agak mesra dengan judi – kamu akan dipertanggungjawabkan atas ‘kemesraan’ kamu dengan judi ketika kamu berhadapan dengan Allah kelak.
Judi adalah haram secara qat’ie– tidak ada ‘judi yang halal, judi yang haram…’