Janji manismu

Minyak tidak naik lagi – Bagi kurangkan beban rakyat walaupun cecah AS$200 setong – PM

PUTRAJAYA 11 Jun – Harga petrol dan diesel tidak akan dinaikkan lagi pada tahun ini walaupun harga minyak di pasaran dunia dijangka berada pada paras yang tinggi pada bulan-bulan mendatang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bagi mengurangkan beban rakyat kerana kerajaan sedar rakyat sedang berusaha menyesuaikan diri dengan situasi harga minyak yang tinggi.

“Harga petrol dan diesel sekarang akan dikekalkan walaupun harga minyak dunia mungkin mencecah AS$200 setong pada tahun ini,’’ katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini.

Rabu lalu, kerajaan mengumumkan harga petrol dinaikkan sebanyak 78 sen seliter kepada RM2.70 seliter dan ia merupakan kenaikan 40 peratus daripada harga RM1.92 seliter sebelum itu.

Harga diesel pula turut dinaikkan sebanyak RM1 kepada RM2.58 seliter daripada RM1.58.

Perdana Menteri memberi jaminan harga petrol dan diesel itu akan dikekalkan walaupun ia mungkin akan menimbulkan kesukaran kepada pengurusan kewangan kerajaan memandangkan harga minyak terus meningkat.

“Kerajaan kena cari kaedah-kaedah lain untuk tanggung perbelanjaan tambahan melainkan kalau ada sebab-sebab lain yang perlu kita pertimbangkan semula, tapi sebagai satu keputusan waktu ini, itulah yang telah pun ditetapkan,’’ katanya.

Abdullah memberitahu, pada masa ini kerajaan tidak akan menyemak semula harga petrol dan diesel secara bulanan berdasarkan harga minyak di pasaran dunia.

Beliau berkata, harga minyak mentah amat tinggi ketika ini sehingga AS$139 setong minggu lalu dan kini masih berada pada paras melebihi AS$130.

Ketika kerajaan mengumumkan harga baru bahan api itu pada 4 Jun lalu, harga petrol RM2.70 seliter dan diesel RM2.58 seliter ditetapkan berasaskan harga minyak di pasaran dunia sebanyak AS$125 setong.

Kenaikan 78 sen seliter bagi petrol dan RM1 bagi diesel masing-masing merupakan peningkatan 40 dan 63 peratus daripada harga asal RM1.92 dan RM1.58 seliter.

Menurut Abdullah, dengan harga semasa minyak mentah AS$130 setong, ini bermakna harga sebenar pasaran petrol telah meningkat kepada RM3.45 seliter.

Minggu lalu, Abdullah berkata, subsidi bahan api masih diberikan dalam bentuk diskaun 30 sen kepada pengguna, tetapi harganya akan diselaraskan setiap bulan mengikut harga pasaran minyak.

Kalau harga pasaran petrol pada harga RM3 seliter, misalnya, kerajaan akan menentukan harga minyak dengan memberi pengurangan 30 sen.

Maknanya harga yang perlu dibayar pengguna ialah RM2.70 walaupun harga sebenar petrol ialah RM3.

Perdana Menteri menjelaskan, sekiranya kerajaan mengamalkan subsidi 30 sen seliter, berdasarkan harga minyak AS$130 setong, harga petrol perlu diubah dari RM2.70 seliter kepada RM3.15 seliter pada bulan Julai dengan harga sebenar RM3.45 seliter.

Keputusan Kabinet hari ini bermakna semakan harga setiap bulan itu ditangguhkan dan menunjukkan kesediaan kerajaan menanggung subsidi bahan api yang lebih besar.

Ditanya sama ada keputusan Kabinet untuk terus menanggung subsidi minyak tanpa mengira berapa harga minyak di pasaran dunia itu akan menjejaskan kedudukan kewangan kerajaan, Perdana Menteri berkata, kerajaan berharap akan memperoleh pendapatan lebih daripada syarikat minyak negara, Petronas.

Menjawab soalan lain, Abdullah menjelaskan, harga petrol dan diesel sekarang boleh diturunkan sekiranya harga minyak di pasaran dunia merudum.

“Kalau harga minyak dunia turun, kita boleh guna kaedah 30 sen yang didiskaunkan daripada harga petrol dan diesel sebenar,’’ ujarnya.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan sedang memikirkan langkah-langkah tambahan yang boleh dilaksanakan bagi meringankan beban rakyat.

“Hari ini pun kita umumkan langkah-langkah baru yang akan meringankan bebanan kakitangan awam dan rakyat.

“Itulah yang kita usahakan selalu sebab kita tahu kenaikan harga minyak itu memanglah tinggi dan menimbulkan kesusahan kepada rakyat,’’ kata beliau.

Sumber: Utusan Malaysia 12/06/08

Ulasan:

Sekali dengar memanglah sedap telinga apabila PM memberi janji untuk tidak menaikkan lagi harga minyak tahun ini. Alasannya adalah kerana tidak mahu membebankan rakyat! Betul ke??? Orang yang berpemikiran sederhana sekalipun boleh fikir dan bertanya, kalau tak mahu membebankan rakyat, kenapa dinaikkan harga minyak? Harga minyak dinaikkan dengan melampau, kemudian kerajaan berjanji tidak akan menaikkannya lagi untuk tidak membebankan rakyat. Adakah kerajaan begitu jahil hingga tidak tahu dan tidak faham bahawa kenaikan melampau yang dikenakan itu sudah cukup membebankan rakyat. Sama ada ada janji atau tidak dari kerajaan untuk tidak menaikkan minyak tahun ini, kenaikan yang sedia ada ini sudah cukup membebankan. Apakah kerajaan begitu jahil hingga tidak memahami hal yang mudah ini?

Kedudukan ini tidak ubah umpama seorang samseng yang memukul mangsanya hingga separuh mati, kemudian samseng itu berkata, saya berjanji selepas ini tidak akan memukul awak lagi agar tidak membebankan awak!  Inilah hakikat sebuah kerajaan yang mengamalkan ideologi Kapitalis. Mereka memerintah dengan menghisap darah rakyat dan mengaut sebanyak mungkin kekayaan, kemudian, mereka mengeluarkan kata-kata manis yang mereka adalah sebaik-baik kerajaan yang membantu rakyat.

Walau apa pun alasan yang diberikan oleh kerajaan, kita yakin tidak akan ada seorang pun dari kalangan rakyat yang berfikiran waras yang bergembira dan menyokong kenaikan ini. Yang bergembira hanyalah golongan pemerintah dan kroni mereka yang akan mengaut lebih banyak keuntungan dari kenaikan ini.

Sudah masanya kerajaan yang buruk ini diganti dengan pemerintahan Islam yang akan mempunyai seorang Khalifah yang akan memerintah dengan menjaga rakyatnya sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam.