Isu Kah Choon – bukti demokrasi hanyalah hipokrasi
KUALA LUMPUR 22 April – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata, tindakan Datuk Lee Kah Choon menerima jawatan Pengarah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif invest Penang bertentangan dengan semangat Barisan Nasional (BN).
Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, Kah Choon tidak boleh menerima kedua-dua jawatan yang ditawarkan kerajaan negeri itu sebelum merujuk kepada Gerakan.
Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dalam kenyataannya berkata, sebelum ini parti itu telah pun mengeluarkan arahan kepada semua ahlinya agar tidak menerima sebarang pelantikan di bawah kerajaan negeri Pakatan Rakyat.
Datuk Lee Kah Choon hari ini diminta mengemukakan surat tunjuk sebab kepada Jawatankuasa Kerja Gerakan Pusat untuk menerangkan mengapa beliau tidak patut dikenakan tindakan disiplin.
Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, sebagai ahli Gerakan, Kah Choon sepatutnya lebih maklum tindakan itu jelas membelakangkan pucuk pimpinan parti. Menurutnya, perbuatan Kah Choon itu menunjukkan beliau telah berpaling tadah kepada Gerakan dan BN.
Mohd. Ali yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, perbuatan Kah Choon itu terutama menerima pelantikan sebagai Pengarah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dan Pengerusi investPenang seperti hidup dua alam. ”Kita tidak boleh ada orang macam ini, di darat pun dia boleh hidup, dalam air pun dia boleh hidup,” katanya.
Kah Choon dalam responsnya menjelaskan bahawa beliau sedia dikenakan tindakan disiplin oleh parti berikutan keputusannya menerima tawaran jawatan daripada kerajaan negeri yang dikuasai DAP itu. Menurutnya, beliau menerima tawaran jawatan sebagai Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan investPenang dengan niat untuk memajukan ekonomi negeri. ”Ia tiada kena-mengena dengan politik apatah lagi untuk melompat parti. Sebagai ahli parti yang setia, saya sedia menerima apa sahaja tindakan daripada Jawatankuasa Pusat (CC) Gerakan. Kah Choon menyatakan kesediaannya untuk memberi penjelasan kepada parti mengenai langkahnya menerima jawatan dalam agensi pelaburan kerajaan negeri pimpinan DAP. ”Sebelum ini saya sudah nyatakan bahawa saya akan meninggalkan arena politik dan menumpukan sepenuhnya pada tugas baru. Mac lalu, Kah Choon melepaskan semua jawatan dalam Gerakan atas rasa tanggungjawab terhadap kekalahan besar yang dialami parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-12.
Sumber: Utusan Malaysia 23/04/08
Ulasan:
Dalam pada UMNO/BN mendakwa mereka mengamalkan ajaran demokrasi, kita menyaksikan pertelingkahan seumpama ini sering terjadi dalam pakatan mereka. UMNO/BN mendakwa mereka adalah pendukung demokrasi, namun apabila berlaku kes di mana ahli mereka dilihat ‘pro’ pembangkang, maka UMNO/BN akan terus berkokok untuk mengenakan tindakan disiplin ke atas individu terbabit. Alasan seperti melanggar semangat BN, tidak berbincang dengan parti terlebih dahulu, membelakangkan pucuk pimpinan parti dan sebagainya terus dimainkan oleh pemimpin UMNO/BN apabila ada anggotanya yang ‘bekerjasama’ dengan pembangkang.
Nah, jika ditanyakan, kepentingan siapakah yang mesti dijaga oleh anggota BN, adakah kepentingan parti, kepentingan pucuk pimpinan parti atau kepentingan rakyat? Jelas bahawa UMNO/BN hanyalah mementingkan kepentingan parti atau tepatnya pimpinan parti, bukannya kepentingan rakyat. Bagi Kah Choon, beliau berbuat demikian kerana ingin membangun ekonomi Pulau Pinang yang membawa maksud, untuk kepentingan rakyat, tapi hal ini tidak disukai oleh UMNO/BN kerana Kah Choon telah membelakangkan kepentingan parti?
UMNO/BN sudah menerima tamparan hebat dalam pilihan raya baru-baru ini. Ditambah pula dengan kerenah ahli parti yang sekarang ini semakin ramai condong kepada Pakatan Rakyat, maka kedudukan ini adalah amat berbahaya bagi UMNO/BN. Ia akan terus melemahkan UMNO/BN. Justeru, ‘kepentingan parti’ haruslah diutamakan. UMNO/BN sudahlah jatuh, kini dengan perangai Kah Choon dan lain-lain, ia ibarat ditimpa tangga pula.
Di manakah laungan demokrasi, di manakah perjuangan demokrasi dan di manakah letaknya demokrasi yang selama ini diperjuangkan oleh UMNO/BN? Jika ditanya, apakah perbuatan Kah Choon ini bertentangan dengan prinsip dan nilai-nilai demokrasi yang didukung oleh UMNO/BN? Maka jawapannya sudah pun jelas, ia langsung tidak bertentangan dengan demokrasi yang dibawa UMNO/BN Jadi, apabila tindakan Kah Choon ini adalah demokratik, maka sebagai parti yang memperjuangkan demokrasi, kenapa hal ini perlu dikecoh lagi. Jawab sahajalah bahawa “kami tidak menjadi masalah dengan tindakan Kah Choon kerana ia selaras dengan konsep demokrasi yang kami amalkan”.!!!
Apa yang berlaku sekarang hanyalah sekelumit bukti bahawa demokrasi hanyalah hipokrasi! ‘Demokrasi’ benar-benar digunakan oleh parti-parti politik yang ada untuk menyembunyikan ‘kepentingan peribadi’ puak masing-masing. Jika kepentingan peribadi tidak terjejas, maka semua tindakan yang dilakukan oleh anggota parti dikatakan sesuai dengan demokrasi, namun apabila kepentingan peribadi terjejas, maka, hilanglah sebutan ‘demokrasi’ dari mulut-mulut mereka.