Kerajaan kaya dengan harta rampasan

Untuk ke sekian kalinya Petronas mengumumkan hasil mahsulnya. Ternyata, sekali lagi Petronas mengaut bergunung-gunung keuntungan dari kekayaan bumi yang di kurnia Allah ke atas umat Islam ini. Petronas telah menyumbangkan sebanyak RM67.6 bilion termasuk dividen khas sebanyak RM6 bilion kepada Kerajaan Persekutuan pada tahun ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Mohd. Hassan Marican berkata, pertambahan RM6 bilion dividen khas itu menjadikan jumlah dividen yang dibayar kepada Kerajaan Persekutuan pada tahun ini adalah RM30 bilion berbanding RM20 bilion pada tahun lalu. Dengan jumlah itu, pembayaran keseluruhan oleh Petronas kepada Kerajaan Persekutuan sejak 1974 hingga sekarang berjumlah RM403.3 bilion, tambah beliau.

Beginilah kayanya Petronas dan kayanya kerajaan setelah berpuluh-puluh tahun mengaut keuntungan dari harta milik rakyat. Setiap kali kekayaan dikaut, maka sebahagian besar hasilnya diberikan kepada kerajaan, bukan kepada rakyat. Walhasil minyak adalah milik rakyat, bukan milik kerajaan. Apa pun alasan kerajaan, mereka sebenarnya telah melakukan dosa yang besar kerana telah merampas hak milik orang lain (hak milik rakyat).

Islam telah membahagikan hak milik kepada 3 kategori iaitu pemilikan individu (milikiyyah al-fardiah), pemilikan umum (milkiyyah al-ammah) dan pemilikan negara (milikiyyah al-daulah). Bahan galian atau mineral yang banyak atau tidak terbatas / tidak putus (contohnya petroleum, gas, emas, bijih timah dan seumpamanya) adalah termasuk ke dalam pemilikan umum yang haram dimiliki oleh Negara. Abu Daud meriwayatkan bahawa,
 

أَنَّهُ وَفَدَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَقْطَعَهُ المِْلْحَ فَقَطَعَهُ فَلَمَّا وَلَّى قَاَل رَجُلٌ أَتَدْرِيْ مَا أَقْطَعْتَهُ لَهُ؟ إِنَّمَا أَقْطَعْتَ لَهُ الْمَاءَ الْعِدَّ. قَالَ: فَرَجَعَهُ مِنْهُ
Ia (Abyadh bin Hamal) datang kepada Rasulullah saw. meminta untuk mengelola (galian) garam. Rasul lalu memberikannya. Setelah ia pergi ada seorang lelaki yang bertanya kepada Rasul, “Wahai Rasulullah, tahukah apa yang telah engkau berikan kepadanya? Sesungguhnya engkau telah memberikannya sesuatu yang bagaikan air mengalir.” Lalu ia berkata: Kemudian Rasulullah saw. pun menarik kembali galian itu darinya.” [HR Abu Dawud].

Apabila sifat bahan galian/mineral itu adalah seperti “ma’ul idd” (air yang mengalir), maksudnya tidak terbatas, tidak kiralah sama ada ia berada di atas bumi atau di dalam bumi, sama ada dalam bentuk padat/pepejal atau cecair, maka ia adalah milik umum (milik semua orang). Dan tugas negara hanyalah mengelola kepemilikan umum ini untuk dikembalikan kepada tuannya yang berhak (rakyat).

Justeru, jika dikembali dan di bahagikan keuntungan yang telah diumumkan oleh Petronas yang sebanyak RM67.6 billion ini kepada seluruh rakyat Malaysia yang berjumlah 26 juta, maka yang pastinya setiap orang berhak mendapat RM2,600 seorang. Ini jika dikira keuntungan terbaru yang diumumkan Petronas, belum lagi mengambil kira beratus-ratus billion keuntungan yang telah dirampas kerajaan sejak berpuluh tahun yang lepas.

Jumlah RM2,600 (tahun ini), jika dicampur dengan jumlah yang sepatutnya diberi oleh kerajaan kepada rakyat sejak puluhan tahun lepas, jauh melebihi jumlah RM625 rebat penutup mulut rakyat, yang diisytihar kerajaan baru-baru ini. Mohd. Hassan Merican sendiri pernah melahirkan ‘keluhan’ akan tindakan kerajaan yang tidak mengembalikan hak kepada rakyat dalam hal keuntungan Petronas ini, semasa di wawancara oleh Mingguan Malaysia pada tahun lepas. Di bawah ini adalah sedikit petikan dari wawancara tersebut:- 

  • Mingguan: Petronas sekali lagi mengumumkan hasil kewangan yang tertinggi dalam sejarahnya, jadi banyaklah duit yang ada.
  • Mohd. Hassan: Keuntungan itu juga kita terus pulangkan kepada kerajaan. Pada tahun ini, kita memberi balik sebanyak RM58.1 bilion atau 77 peratus kepada kerajaan bagi digunakan untuk tujuan pembangunan dan melaksanakan agendanya yang memberi faedah kepada rakyat. Tetapi, sejauh mana ia digunakan secara cekap, ia adalah satu soalan lain.
  • Mingguan: Bolehkah Tan Sri jelaskan lagi?
  • Mohd. Hassan: Tanggungjawab Petronas adalah mengembalikan (keuntungan) kepada kerajaan untuk melakukan apa yang perlu dibuat supaya kesannya dirasai oleh rakyat. Tahun lepas, terdapat pihak mempersoalkan kenapa keuntungan itu tidak diberikan terus kepada rakyat RM1,000 seorang dan berdasarkan pencapaian yang baru diumumkan, kita patut bagi RM3,000 seorang. Persoalan itu menjadi satu isu, sama ada duit digunakan sebaiknya atau dibazirkan, contohnya dalam pemberian subsidi ketika sumber minyak dan gas yang dinikmati semakin berkurangan. [Mingguan Malaysia 01/07/07].
Apa pun, yang pasti adalah kerajaan sejak dulu lagi telah “berniaga” dengan rakyat, dengan merampas hak milik rakyat dan menjualnya semula kepada rakyat dengan rakyat “dipaksa” membeli dengan harga yang tinggi dan semakin tinggi dan terus meninggi. Kerajaan sejak dulu tidak pernah menjadi penjaga, tetapi peniaga. Ini jelasnya bertentangan dengan sabda Nabi saw,

اْلإِمَامُ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِه

Imam (ketua negara) adalah pemelihara dan dia akan diminta pertanggungjawaban atas pemeliharaan (rakyat)nya” [HR Bukhari].