Kegagalan Terbesar Mahathir
KUALA LUMPUR 10 Jan. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui, antara kegagalannya semasa memegang jawatan Perdana Menteri ialah memulih dan membangunkan Kampung Baru. Katanya, meskipun kawasan itu telah diumum untuk dibangunkan ketika beliau menerajui kerajaan namun timbul beberapa masalah terutama berkaitan dengan soal pemilikan dan harga tanah. Dalam soal pemilikan tanah, ujarnya, ramai di kalangan penduduk Kampung Baru yang asal telah berpindah ke tempat lain kerana penempatan di kampung berkenaan tidak lagi selesa setelah berlaku kemajuan di kawasan sekeliling. “Pada masa sama ramai juga di kalangan tuan tanah telah meninggal dunia dan siapa pewaris mereka sukar dikesan. “Tuntutan harga oleh tuan tanah juga terlalu tinggi dan ini menyebabkan kos pembangunan melambung tinggi. Dengan ini orang Melayu tidak mungkin dapat membeli kedai atau ruang untuk kediaman apabila projek itu siap dibina,” katanya. Beliau berkata demikian dalam entri terbaru blognya yang bertajuk, Kampung Baru, Kuala Lumpur di http://chedet.co.cc/chedetblog/ hari ini. Dr. Mahathir berkata, jika situasi itu berlaku, mungkin hanya orang bukan Melayu sahaja yang mampu memiliki hartanah di Kampung Baru.
“Sekiranya harta yang dibangunkan dijual kepada bukan Melayu maka akan hilanglah Kampung Baru sebagai kawasan Melayu di ibu kota,” ujarnya. Mengulas isu sama, beliau berkata, kerajaan pada masa pemerintahannya juga telah mengenakan syarat kepada pemaju supaya penduduk Kampung Baru terus berada di kawasan itu. Syaratnya, jelas beliau, setiap penduduk Kampung Baru bukan sahaja dibayar harga tanah tetapi mereka akan diberi tempat perniagaan serta kediaman di bangunan yang akan didirikan itu.
“Syarat ini boleh menjamin orang Melayu yang sekarang berada di situ akan terus berada di Kampung Baru.
Mereka tidak akan terusir keluar. Tetapi sekali lagi syarat ini akan menaikkan kos pembangunan. “Pemaju Melayu mungkin tidak berminat. Bukan Melayu juga mungkin tidak berminat kerana kemampuan Melayu membeli amat rendah,” katanya lagi. Sedangkan, tambah Dr. Mahathir, pada masa ini masih banyak terdapat premis kediaman dan kedai yang diperuntukkan kepada orang Melayu tidak dapat dibeli oleh mereka. “Oleh sebab ini pembangunan Kampung Baru gagal dilaksanakan semasa saya menjadi Perdana Menteri,” katanya.
Bagaimanapun, menurutnya, beliau tetap berdoa supaya kerajaan sekarang akan berjaya membangunkan semula Kampung Baru supaya pelawat ke Kuala Lumpur tidak akan lihat kedaifan orang Melayu di negara mereka sendiri. “Di tengah-tengah ibu kota yang penuh dengan bangunan pencakar langit, yang moden dan mewah terdapat kampung setinggan Melayu dengan rumah kayu berbumbung zink karat,” ujarnya.
Sumber: Utusan Malaysia 11/01/11
Kegagalan membangunkan Kampung Baru mungkin boleh disesalkan oleh bekas PM itu. Namun apa yang dia harus sedar dan sesalkan ialah kegagalannya menerapkan Islam secara kaffah. Kesannya adalah kita hampir tidak merasai suasana kehidupan Islam di dalam masyarakat. Apa yang kita dapat lihat adalah pergaulan bebas, keruntuhan akhlak, monopoli ekonomi di dalam kepemilikan harta rakyat terus berlaku dan penyelewengan yang kronik di dalam pentadbiran dan medium politik negara. Di saat usia Mahathir menuju senja, nampaknya beliau masih lagi tidak pernah merasa bersalah dan berdosa sedikitpun dengan kegagalannya menerapkan Islam di dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
Sebagai seorang pemimpin yang dianugerahi oleh Allah dengan kewarasan akal dan kesihatan, Mahathir seharusnya sedar tanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin yang beragama Islam. Apakah dia tidak pernah merasa gentar dan takut untuk berhadapan dengan hisab Allah SWT di hari akhirat kelak? Suatu hari yang dikatakan oleh Allah SWT: ”Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik)” [TMQ Asy Syu’araa’ 926) : 88-89]. Penentu kejayaan dan kegagalan manusia yang hakiki adalah pembalasan yang dia perolehi di akhirat kelak dan bukannya di dunia. Renungilah firman Allah SWT: ”Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya”. [TMQ Ali ‘Imran (3) : 185]. Sungguhpun begitu, Mahathir masih berpeluang untuk bertaubat dan kembali melaksanakan kewajibannya yang sebenar. Bagaimana caranya? Tidak ada cara lain melainkan menyeru Najib untuk menegakkan kembali sistem pemerintahan Islam, iaitu Khilafah di mana Khilafah adalah pemerintahan umum bagi seluruh umat Islam yang akan menegakkan syariat Islam di dalam seluruh sendi kehidupan masyarakat dan membawa Islam keseluruh dunia dengan jalan dakwah dan jihad.