Relevankah Mahathir Menjadi Penasihat Kerajaan?

altJadikan Mahathir penasihat kerajaan
KOTA BHARU 26 Sept. – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mencadangkan supaya Tun Dr. Mahathir Mohamad dilantik sebagai penasihat kerajaan dan UMNO.  Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, ia bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu menyampaikan pandangan secara tertutup agar tidak dieksploitasi oleh pihak ketiga.   Beliau juga berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menimbangkan perkara ini secara serius bagi memastikan tidak ada pihak mengambil kesempatan dan dijadikan modal politik untuk mengelirukan rakyat.   “Selama 21 tahun Dr. Mahathir berjuang dan memberikan khidmat yang luar biasa serta banyak berjasa, sudah tentu beliau mahu melihat dasarnya sebelum ini diteruskan sehingga Wawasan 2020 tercapai.   “Sebab itu bila ada sesuatu yang tidak betul akan ditegurnya disebabkan tidak ada saluran untuk beliau menyampaikannya secara tertutup tetapi lazimnya pandangan beliau diambil kesempatan oleh pihak tertentu,” katanya.  Beliau berucap pada Malam Pimpinan Aidilfitri Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Pusat Khidmat Membela Rakyat (PKMR) dan Kelab Wartawan Kelantan (Kawan) di sini malam tadi.   Menurut beliau, semua pihak juga tidak perlu memandang serong terhadap pelantikan ini kerana hubungan antara kedua-duanya lebih kepada seorang Perdana Menteri dengan negarawan ulung.  
Ibrahim berkata, dengan pelantikan tersebut, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan lebih kerap dengan Dr. Mahathir bagi mendapatkan pandangannya mengenai keadaan semasa negara.   Bagaimanapun kata beliau, Najib tidak perlu mengikut kesemua pandangan dan nasihat Dr. Mahathir kerana setiap Perdana Menteri mempunyai gaya pemerintahan dan wawasan tersendiri untuk dicapai.   “Saya percaya Dr. Mahathir akan menerima pelantikan tersebut, malah bekas Perdana Menteri itu juga tidak memerlukan gaji. Saya akan bawa cadangan ini ke Parlimen bulan depan,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia 260909

Lantik Mahathir Sebagai Talian Hayat Untuk Terus Mengekalkan Sekularisme

Rekod pemerintahan sekular Kapitalisme Mahathir selama 22 tahun telah terbukti kejayaannya. Berjaya dari sudut apa? Sudah pastinya dari sudut kejayaan beliau dalam meneruskan dan melangsungkan kehidupan sekular Kapitalisme ditengah-tengah kehidupan bermasyarakat dan bernegara di Malaysia.  Beliau telah berjaya memepertahankan sistem sekular yang ditinggalkan oleh penjajah dengan sangat cemerlang. Setelah melepaskan jawatan sebagai PM pun kita melihat Mahathir masih terus lantang bersuara untuk memastikan sistem sekular yang ada tetap dipertahankan – begitu bernafsu dan sayangnya Mahathir kepada sistem tinggalan penjajah ini! Kini, para pengikut Mahathir pula bersuara dengan cadangan agar kerajaan sekular yang ada hari ini melantik beliau sebagai penasihat UMNO dan kerajaan. Relevankah cadangan tersebut? Ya sudah pasti bagi para pendokong sekular tetapi tidak bagi pencinta Islam. Hanya mereka yang terbenam di dalam lumpur dan kekotoran sekular sahaja yang menginginkan agar tokoh sekular Kapitalisme seperti Mahathir ini terus diberikan peranan agar dapat sama-sama membantu memperpanjangkan tempoh hayat kehidupan Kapitalisme ini. Bergembiralah kuffar Barat dengan komitmen yang ditunjukkan oleh umat Islam itu sendiri! Firman Allah SWT “Dan sesiapa yang mencari agama selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi”. [TMQ A-li ‘Imraan (3) : 85].