Idea Busuk Pemikiran Sekular Mahathir

LANGKAWI 1 Dis. – Negara-negara ASEAN perlu membuat perjanjian tidak menambah keupayaan pertahanan masing-masing bagi memastikan rantau ini bebas daripada perlumbaan senjata. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, hanya dengan cara itu perlumbaan senjata di rantau ini dapat dihentikan kerana tanpa sebarang perjanjian, negara-negara serantau akan terus meningkatkan keupayaan masing-masing.  ”Kalau orang lain buat juga, kita pun kena buatlah. 

”Tetapi kalau tak nak, mesti ada perjanjian antara negara yang berkenaan bahawa mereka tidak akan menambah keupayaan mereka, baru kita juga boleh kurangkan,” ujarnya.  Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa melawat Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2009) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di Padang Matsirat di sini hari ini.  Menurutnya, jika negara ini sahaja yang bertindak mengurangkan keupayaan pertahanan sudah pasti ia akan menjadi sasaran negara lain yang terus menambah kekuatan pertahanan mereka.  Dr. Mahathir berkata, kos peralatan pertahanan ketika ini semakin tinggi dan kebanyakan negara tidak mampu untuk memiliki aset berkenaan.  ”Kita belanja ini (pembelian senjata) tidak dapat pulangan melainkan ada peperangan,” katanya.  Ditanya mengenai LIMA 2009, bekas Perdana Menteri itu yang mencetuskan idea penganjuran pameran dwi tahunan tersebut berkata, beliau gembira kerana ia dapat dianjurkan dengan jayanya pada tahun ini. 

”Saya gembira kerana LIMA dapat dianjurkan pada tahun ini walaupun dunia sekarang ini berada dalam keadaan cemas dan pameran-pameran udara di tempat lain tidak mendapat penyertaan seperti sebelum ini,’ katanya.  Beliau berkata, lebih menarik apabila melihat penyertaan syarikat tempatan yang begitu ke hadapan teknologi mereka termasuk elektronik dan ia merupakan satu kejayaan yang boleh dibanggakan.  Mengenai penglibatan syarikat swasta dalam pembuatan pesawat tanpa pemandu (UAV), katanya, beliau melihat sudah ada kemajuan yang cukup baik dalam bidang itu malah ada yang mampu membekalkannya ke negara lain seperti Australia.  Terdahulu bekas Perdana Menteri itu meluangkan masa menyaksikan pertunjukan udara bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan menteri-menteri pertahanan serta para pegawai kanan tentera sempena pembukaan rasmi LIMA 2009.  Beliau turut melawat gerai-gerai pameran di MIEC dan mendengar taklimat ringkas daripada syarikat-syarikat yang mengambil bahagian dalam pameran itu. 

Sumber : Utusan Malaysia, 01/12/02

Idea Busuk Pemikiran Sekular Mahathir

Inilah kesan dan natijahnya apabila seseorang Islam itu menjadikan sekularisme sebagai asas pemikirannya dalam menentukan setiap tindakannya. Mahathir nampaknya terus melontarkan idea-idea sekularnya dalam menanggapi isu seperti ini.  Kalau sebelum dari ini beliau secara tidak langsung telah menidakkan ayat jihad dengan usahanya untuk “menjenayahkan” perang, kali ini sekali lagi idea sekularnya telah tersembul keluar dari pemikirannya. Kali ini dengan kenyataannya agar negara-negara Asean  membuat perjanjian tidak menambah keupayaan pertahanan masing-masing bagi memastikan rantau ini bebas daripada perlumbaan senjata. Hakikatnya Islam telah menuntut umatnya untuk menguasai kekuatan persenjataan yang boleh menggerunkan musuh. Wajib hukumnya bagi negara umat Islam memiliki kekuatan senjata terutamanya senjata nuklear yang mana saat ini senjata inilah mampu untuk menggerunkan musuh. Dari segi realitinya, hanya negara yang kuat dalam aspek ketenteraannya sahajalah yang akan mampu mendominasi dunia.

Faktanya, saat ini Mahathir tidak pernah berusaha untuk memahami dan sememangnya beliau tidak pernah peduli untuk memahami firman Allah SWT yang merupakan petunjuk kepada golongan yang bertakwa. Kerana itulah beliau sehingga saat ini masih terus terbenam dalam belitan lumpur sekularisme. Apakah Mahathir pernah cuba memahami firman Allah SWT ini?

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya”. [TMQ Al-Anfaal (8) : 60].

Berdasarkan ayat di atas, Daulah Islam wajib memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin dengan mengupayakan segala yang termampu untuk melengkapkan tentera-tentera Islam dengan kelengkapan ketenteraan yang terbaik agar mampu menggerunkan musuh dan yang bukan hanya sekadar untuk tujuan pertahanan semata-mata. Maknanya, pembinaan senjata nuklear dan senjata pemusnah massal lainnya perlu dibina untuk menakut-nakutkan musuh. Sekiranya diteliti dan diperhalusi idea sekular Mahathir ini jelas sekali cadangan tersebut merupakan suatu idea yang membelakangkan firman Allah SWT di atas. Tidak ada alasan dan hujah untuk umat Islam menelan bulat-bulat idea Mahathir ini. Apa yang pasti, setiap dari kita, terutamanya para pemimpin umat Islam yang ada pada hari ini akan dipersoalkan oleh Allah SWT akan tuntutan ayat di atas.