Arak: Kekeliruan Dalam Menanganinya

kilang-arakArak: Pemuda PAS Wilayah sokong Hasan Ali

KUALA LUMPUR, 14 Jan: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyokong pandangan Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Ali yang mahukan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menguatkasakan larangan umat Islam bekerja di premis menjual arak.

Naib ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, sebelum ini, MPSJ telah menguatkuasakan larangan umat Islam bekerja di tempat menjual minuman keras namun arahan itu telah ditarik balik oleh Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu.

Dalam hal ini, katanya DPPWP merasa kagum terhadap Hasan Ali yang bertegas dengan prinsip Islam.

Tambahnya, hukum Islam telah jelas menyatakan haram bagi umat Islam bekerja di premis yang menyediakan minuman keras apatah lagi meminumnya.

“Tindakan beliau dengan jelas membuktikan bahawa PAS tidak pernah menggadaikan prinsip dan maruahnya meskpiun bersahabat dengan pelbagai parti politik.

“Dasar PAS yang berjuang untuk Islam sejak dahulu hingga kini tidak pernah berubah walaupun bermacam halangan yang melanda,” ujarnya.

Ini juga, tambahnya membuktikan bahawa PAS dan Pakatan Rakyat jauh bezanya dengan Umno dan Barisan Nasional.

DPPWP juga, katanya menyokong dan mengucapkan tahniah kepada MPSJ kerana mahu melaksanakan larangan ini.

“Penguatkuasaan ini akan mampu mengelakkan umat Islam terjebak dengan maksiat dan dosa kerana bergelumang dengan perkara-perkara yang haram.

“Perkara-perkara haram sebeginilah yang menyebabkan kurangnya keberkatan kepada rezeki yang diperolehi sehingga melahirkan generasi yang rosak akhlak dan akidah,” katanya.

Beliau menambah, DPPWP turut mengharapkan agar Ronnie Liu melaksanakan segera peraturan mengharamkan umat Islam bekerja di premis jualan minuman keras demi kemaslahatan umat Islam.

Menurutnya lagi, umat Islam di Selangor khususnya terlalu lama menginginkan kehidupan yang diberkati, jauh daripada dosa dan perkara-perkara yang haram.

Sumber: harakahdaily.net

Kilang Dan Kedai Arak Masalah Cabang Kapitalisma

Arak oh arak…. sehingga kini permasalahan arak masih juga belum selesai. Terlalu banyak perbincangan dan pembahasan mengenai isu ini telah berlaku sejak lama khususnya oleh individu dan gerakan Islam yang menginginkan masalah arak ini diselesaikan. Sepintas lalu, kita dapat melihat bahawa respon terhadap permasalahan ini memang memihak kepada Islam. Namun, jika dilihat dari perspektif yang lebih mendalam, hujah yang digunakan sebenarnya tidak bersesuaian dengan kehendak Islam.

Keharaman arak adalah termasuk dalam kategori al-ma’lum min ad-Deen Bi ad-Dhorurah, iaitu perkara yang sudah diketahui umum (tentang hukumnya) di dalam agama. Perkara paling mendasar yang perlu diketahui oleh kita semua ialah bahawa keharaman arak bukan hanya terbatas kepada penjual dan peminum arak. Bagaimana dengan kerajaan yang memberi lesen kepada kilang, kedai dan menyediakan tempat-tempat maksiat di mana arak dihidangkan? Ia sama sahaja seperti menyuruh penjenayah berhenti membunuh, tetapi pada masa yang sama kita memberi sebilah pisau dan sepucuk pistol kepada penjenayah tersebut. Adakah usaha kita akan berhasil membuat penjenayah tersebut berhenti daripada melakukan perkara-perkara jenayah?

Oleh sebab itu, jika benar Datuk Dr Hasan Ali selaku Exco Kerajaan Negeri Selangor tegas dengan prinsip Islam, alangkah baiknya jika beliau menyatakan bahawa adalah haram hukumnya bagi kerajaan memberi lesen kepada premis dan kilang arak untuk beroperasi. Tidak cukup dengan itu, kerajaan juga wajib menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat, agar rakyat dapat menyara kehidupan sehari-harinya dengan penuh berkat. Akhir sekali, kami ingin nyatakan bahawa, kehidupan kaum Muslimin pada saat ini yang penuh dengan kesengsaraan adalah disebabkan oleh penerapan sistem Kapitalisme ke atas mereka. Kesemua ini tidak akan terjadi jika sistem Islam diterapkan dalam seluruh aspek kehidupan. Pak-pak Menteri pula tidak perlu bertelagah sama ada hendak menguatkuasakan larangan umat Islam bekerja di premis kedai menjual arak atau pun tidak. Ini kerana, keharaman arak dalam semua aspeknya sudah jelas dan implementasi hukumnya juga sudah sangat jelas.