Sekat arak dari punca

Terdapat cadangan kepada kerajaan untuk menggubal akta khas larangan meminum arak di tempat terbuka, bagi menangani peningkatan masalah sosial akibat daripada minuman keras tersebut. Kerajaan digesa mencontohi negara Australia dan United Kingdom (UK) yang mana kedua-dua negara tersebut dikatakan tidak membenarkan penjualan dan minum arak secara terbuka.

Dalam Islam, keharaman arak termasuk dalam perkara ma’lum min ad-deen bi adh-dharurah. Rasulullah (saw) mengingatkan 10 golongan yang dilaknat oleh Allah (swt) terkait dengan arak iaitu orang yang memerah, yang meminta diperahkan, yang meminum, yang membawa dan menghantar, yang menuangkan, yang menjual, yang membeli, yang memakan hasil jualannya serta yang meminta dibelikan minuman haram tersebut.

Dalam Islam, tidak diperlukan akta khusus untuk menghalang orang ramai dari meminum arak di tempat terbuka, kerana hukum itu sudah ada dan hanya perlu dilaksanakan sahaja. Hal ini sebagaimana Islam tidak memerlukan akta khusus untuk melarang orang ramai dari mengambil riba, dari berbogel di tempat awam, dari berzina, dari berjudi, dari menipu dan sebagainya. Hukum itu sudah ada dan secara automatik wajib dipatuhi dan dilaksanakan tanpa memerlukan penggubalan undang-undang sebagaimana dalam sistem demokrasi yang penuh kebatilan ini. Jika ada pelanggaran, maka pelanggarnya wajib dikenakan uqubat bergantung kepada setiap kesalahan tersebut samada termasuk kategori hudud, qisas, ta’zir atau mukhalafah yang semuanya sudah lengkap dalam Islam.

Selain keharaman yang terdapat dalam hadis di atas, Islam juga mengharamkan arak dari diperjual-beli dan diminum di tempat terbuka atau kawasan awam. Arak ternyata membawa lebih banyak dharar (kemudaratan) berbanding manfaatnya, sebagaimana disebut oleh Allah (swt) di dalam Al-Quran. Islam sangat memerhatikan masalah dharar di mana umatnya diharamkan dari terlibat atau melakukan dharar, baik kepada diri sendiri mahupun kepada orang lain. Justeru, dalam sebuah Negara Islam, apa sahaja yang boleh membawa kepada dharar akan dilarang, termasuklah meminum arak di tempat terbuka.

Walaupun gesaan agar kerajaan melarang perbuatan meminum arak di tempat awam ini amat baik, namun hampir mustahil untuk dilaksanakan oleh sebuah kerajaan yang ahli parlimen non-Muslimnya lebih ramai dari yang Muslim. Jika ahli parlimen Muslim sendiri langsung tidak sensitif isu ini, apatah lagi yang non-Muslim. Mana mungkin untuk kerajaan melarang minum arak di tempat awam tatkala mereka (kerajaan) sendirilah yang membenarkan kewujudan kilang arak di tempat awam.  Jika punca kepada masalah tidak dibanteras, manakan masalah boleh selesai!

Umum mengetahui bahawa arak membawa mudarat besar kepada kehidupan masyarakat dan juga negara. Maka hal utama yang perlu ditangani adalah masalah pengeluarannya, yakni industri pembuatannya. Selagi kilang arak dibenarkan untuk beroperasi secara terbuka dan besar-besaran, maka mimpilah untuk kita melihat minuman syaitan itu dilarang minum di tempat terbuka. Hasrat untuk menghilangkan mudarat mustahil untuk dicapai sekiranya punca kepada mudarat terus dibiarkan. Satu-satunya solusi ialah dengan menukar pemerintahan yang membawa mudarat kepada pemerintahan yang membawa rahmat, dan hal itu tidak akan terjadi selagi Khilafah tidak ditegakkan.

Wallahu a’lam bissawaab.

Ridhuan Hakim
Pimpinan Pusat
Hizbut Tahrir Malaysia