Arak: kerajaan tiada perasaan malu

Gambar UL 200415“Sebagai sebuah negara yang memaktubkan Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan dan mempunyai penduduk majoriti Melayu dan Islam, Malaysia sepatutnya malu dengan tindakan proaktif dan realistik kerajaan Republik Singapura yang memperkenalkan undang-undang baru melarang pengambilan alkohol di tempat-tempat awam selepas 10.30 malam hingga 7.00 pagi” Kata Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, Ahli Parlimen Kuala Nerus, merangkap Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS yang dipetik oleh Malaysiakini pada 14hb April 2015.

Haramnya arak merupakan perkara ma’lum min al-deen bi al-dharurah (diketahui dalam agama dan tiada alasan untuk tidak tahu). Islam telah mengharamkan arak sejak 14 abad yang lalu. Orang Arab jahiliah sebelum kedatangan Islam adalah peminum arak yang tegar. Mereka menganggap arak sebagai minuman terbaik untuk menikmati keseronokan. Allah SWT kemudian menurunkan ayatNya yang mengharamkan arak,

“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan” [TMQ al-Ma’idah (5):90].

Setelah turunnya ayat ini, maka para sahabat yang pada waktu itu masih meminum arak, segera berhenti. Mereka lalu membuang kesemua arak yang ada dalam simpanan mereka. Kemudian Rasulullah SAW diwahyukan tentang hukuman bagi peminum arak iaitu dengan disebat sebanyak 40 kali. Rasulullah SAW kemudian menerapkan hukum ini dalam negara dengan sesiapa sahaja yang di dapati bersalah meminum arak, maka disebat. Orang-orang kafir pun tidak terkecuali jika didapati mabuk di tempat awam. Mereka hanya dibenarkan meminum arak di kawasan atau kediaman masing-masing sahaja dan segala jual beli arak tidak lagi berlaku secara terbuka, kerana diharamkan oleh negara, berdasarkan wahyu.

Selain wajib menghukum peminum arak dengan 40 kali sebatan, kerajaan wajib mengharamkan arak dengan menutup segala industri arak, kilang-kilang dan kedai-kedai arak. Kerajaan wajib menutup semua ruang kemaksiatan (termasuk arak), tanpa perlu menjadikan Singapura atau lain-lain negara sebagai contoh, tetapi dilakukan semata-mata kerana hukum syarak memerintahkannya demikian. Kerajaan sepatutnya lebih malu dan takut kepada Allah, bukannya perlu malu kepada Singapura.

Singapura bukan mengharamkan arak, tetapi hanya membataskan pengambilan alkohol pada waktu-waktu tertentu. Sebagai Muslim, kita bukan hanya mahu kerajaan membataskan pengambilan alkohol, tetapi mengharamkan pengambilan alkohol pada setiap masa, tanpa mengira masa dan tempat (kecuali orang-orang kafir yang boleh meminumnya di kediaman atau kawasan masing-masing secara tertutup).

Kita tahu yang Singapura berkompromi dalam penerapan peraturan arak tersebut atas sebab kepentingan dan kemaslahatan tertentu. Dalam Islam, tidak ada kompromi dalam penerapan hukum. Kita hanya menurut apa sahaja yang Allah perintahkan tanpa kompromi dengan kehendak atau kemaslahatan tertentu. Apa sahaja hukum yang Allah perintah untuk diterapkan, ia akan pasti menghasilkan kemaslahatan apabila diterapkan Insya Allah. Apa yang penting ialah kita mematuhi segala perintah dan larangan Allah. Namun kita tahu yang kerajaan sekular Malaysia tidak pernah malu atau takut kepada Allah sedikit pun, kerana itu kemaksiatan sentiasa dipertahankan, malah terus disuburkan dari masa ke semasa.