Arak vs Politik

SUNGAI PETANI 8 Ogos — Umat Islam hari ini diminta menilai cara kerajaan negeri Selangor menyelesaikan isu penjualan arak secara terbuka di kawasan majoriti penduduk Islam, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, rakyat juga akan menilai perjuangan Pas yang kini adalah sebahagian daripada pentadbiran  kerajaan negeri itu.

Kita lihat apa yang mereka (Pas) akan lakukan kerana ini (penjualan arak) adalah dalam bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Sungai Petani di sini hari ini. Beliau berkata, disebabkan Pas kini telah berada dalam dalam pakatan pembangkang bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dalam pentadbiran kerajaan negeri, rakyat akan melihat pendirian Pas dalam isu itu.

Sumber: Utusan Malaysia Online 09/08/09

Ulasan

Isu arak di Selangor ini merupakan bukti bahawa masyarakat Islam hari ini tidak menjadikan Islam sebagai satu-satunya peraturan hidup. Bahkan isu ini dengan sewenang-wenangnya dipolitikkan oleh pihak yang tidak mempunyai nilai akhlak Islam. Baginya, musuh politik perlu diperlecehkan dengan mempersenda hukum Allah asalkan kredit politik dapat  diperoleh dari rakyat.

Soalnya, bukan sekadar isu arak, bahkan banyak lagi isu kemungkaran dan kemaksiatan yang berlaku samada di bawah kekuasaan Pakatan Rakyat (PR), PAS mahupun UMNO-BN. Kesemuanya gagal menguasai wilayah masing-masing dengan hukum Allah. Bagi mereka hukum Allah hanyalah objek yang boleh diperkotak-katikkan dan dijadikan modal politik untuk meraih sokongan dan dokongan, namun untuk melaksanakannya, masih jauh dari realiti, masih beralasan dengan 1001 helah.

Isu arak bukan sekadar isu permit jualan dan premis, bukan juga isu hormat menghormati sesama bangsa.. tetapi ia merupakan isu ketakwaan dan keimanan kepada Allah SWT. Arak adalah haram, dari segi zatnya, dari aspek pemprosesannya, penjualannya, pengedarannya, kelulusan lesen dan permitnya, penjualannya, penghidangnnya, meminumnya dan apa-apa jua aspek yang berkaitan dengannya.Pengetahuan dan kesedaran tentang arak perlu diterapkan dalam masyarakat melalui pendidikan, penerangan, penyiaran, penguatkuasaan dan lain-lain mekanisme agar ia menjadi pandangan hidup masyarakat.  Protes terhadap isu ini, yang dilakukan oleh mana-mana pihak sekarang, tidak mungkin dapat menyelesaikan masalah arak sepenuhnya. Hanya dengan syariah sahaja isu ini akan selesai dengan tuntas.  Malah hanya dengan syariahlah apa-apa isupun akan dapat diselesaikan dengan syumul. Inilah motif utama Islam diturunkan – sebagai peraturan hidup umat manusia tanpa mengira bangsa, agama mahupun warna kulit.