Ops Piramid Menguntungkan UMNO-BN
Beliau berkata demikian ketika menyambut kepulangan kumpulan pertama 778 pelajar dan rakyat Malaysia yang dibawa keluar dari Mesir menerusi Ops Piramid melalui Jeddah di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini. Pesawat Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia itu mendarat kira-kira pukul 10 pagi dan turut disambut isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta menteri Kabinet lain. Turut menyambut kepulangan mereka ke tanah air ialah anggota keluarga masing-masing. Najib berkata, oleh kerana misi tersebut bukan sesuatu yang mudah, kerajaan telah membuat perancangan teliti termasuk membawa keluar rakyat Malaysia di Mesir untuk ditempatkan sementara di Jeddah sebelum dibawa pulang ke tanah air. Menurut Perdana Menteri, pelbagai pihak terlibat dalam misi tersebut kerana matlamatnya hanya untuk memastikan rakyat Malaysia berada dalam keadaan selamat. Tegas beliau, kerajaan bimbang tentang keselamatan warga Malaysia di Mesir kerana di negara berkenaan kini tiada lagi pentadbiran awam dan yang berasaskan undang-undang. “Runtuhnya sama sekali undang-undang dan ketenteraman di Mesir yang menyebabkan sebarang kemungkinan boleh berlaku.
Kami amat khuatir dan bimbang kalau berlaku perkara yang boleh mengancam nyawa dan berlaku kecacatan atau kecederaan kepada anak-anak kita yang tidak berdosa,” katanya. Perdana Menteri berkata, kepulangan kumpulan pertama rakyat Malaysia itu merupakan satu kelegaan kepada mereka di tanah air dan sebab itu, beliau yang sepatutnya mempengerusikan sebuah mesyuarat penting pagi ini menangguhkannya untuk bersama dengan mereka di sini. Najib juga tidak ‘bercuti’ sepanjang dua tiga hari lepas sedangkan pada masa itu cuti umum untuk menumpukan urusan membawa pulang rakyat Malaysia. “Ada pukul 3 pagi pun kita terima telefon (berkenaan dengan urusan membawa balik rakyat Malaysia ini). Alhamdulillah, semua urusan ini berjalan dengan baik. Saya doakan supaya penerbangan lain (selepas ini dari Mesir) akan selamat kembali ke tanah air,” katanya. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk MAS, AirAsia, Lembaga Tabung Haji, Angkatan Tentera Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Najib juga mengucapkan penghargaan kepada Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Turki Abdullah al-Saud kerana sudi membiayai dua penerbangan menggunakan pesawat jumbo Boeing 747 untuk membawa balik pelajar Malaysia dari Jeddah ke Kuala Lumpur. Juga, kata Perdana Menteri, ucapan terima kasih buat Raja Arab Saudi Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud kerana membenarkan penggunaan ruang udara dan pendaratan seberapa banyak pesawat Malaysia di Jeddah. Kata beliau, perkara itu merupakan satu ‘pertimbangan yang luar biasa’ dari negara berkenaan kepada Malaysia. Najib berkata, jika perlu kerajaan juga akan berurusan dengan pihak universiti di Mesir supaya pelajar-pelajar yang menuntut di negara tersebut menduduki peperiksaan di Malaysia.
Sumber : Utusan Malaysia: 08/02/11
Mana Mungkin Bukan Kerana Politik
Jika Najib tidak menjadi Presiden UMNO mungkin kenyataan di atas ada asas dan kebenarannya. Tetapi fakta dan hakikatnya, beliau adalah seorang Perdana Menteri juga dalam masa yang sama adalah Presiden UMNO. Maka sudah pasti tindakan beliau itu tidak boleh lari dari tujuan untuk meraih keuntungan untuk politik UMNO. Ini adalah hakikat dan persepsi yang tidak boleh dinafikan oleh beliau. Kerana kita boleh melihat kebanyakkan apa yang dilakukan oleh Najib selama ini kesemuanya adalah untuk menonjolkan kehebatan dan keupayaan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO dalam mentadbir negara. Mana tidaknya, media cetak dan elektronik tidak henti-henti memutarkan berita dan visual usaha-usaha pemimpin daripada kerajaan UMNO-BN di dalam membawa pulang semua rakyat Malaysia. Untuk apa? Sudah tentu untuk menaikkan populariti BN menjelang pilihanraya umum yang semakin dekat. Manakala semua pemimpin-pemimpin kerajaan yang terlibat dalam Ops Piramid ini pula pasti akan mendapat merit dan diutamakan di dalam kenaikkan pangkat atau jawatan. Secara langsung ini akan mengukuhkan sokongan penjawat awam kepada kerajaan UMNO-BN. Justeru itu, jika beliau benar-benar bekerja untuk semua rakyat maka kita ingin melihat selepas ini samada semua projek dan program yang dianjurkan tidak dikaitkan dengan UMNO atau Barisan Nasional (BN).
Jika Najib ingin membela rakyat, beliau seharusnya menjadikan rekod cemerlang pemimpin umat Islam dahulu. Contoh ini boleh dirujuk kepada sistem Khilafah yang pernah wujud selama lebih 1300 tahun lamanya. Institusi ini adalah institusi yang akan mewakili seluruh umat Islam tanpa mengira bangsa dan warna kulit serta sempadan geografi. Sebagaimana catatan sejarah umat Islam yang penuh dengan kegemilangan semasa berada di bawah naungan dan kekuasaan para khalifah dahulu. Pernah belaku di zaman kegemilangan Khilafah Abbasiyah, Khalifah Mu’tasim yang ketika itu berpusat di Kota Baghdad telah menghantar tentera bagi membela kehormatan seorang muslimah yang dimalukan oleh tentera Rom di Mesir. Ini berbeda dengan keadaan negara-negara bangsa yang diciptakan oleh barat. Para pemimpin sekular umat Islam hanya akan “menyelamatkan” rakyat bangsanya sahaja. Tanpa merasa bertanggunjawab untuk menyelesaikan dan menyelamat nyawa dan kehormatan seluruh umat Islam. Ini adalah kerana fahaman dan jiwa mereka telah dicetak dan dibentuk oleh barat dengan fahaman Assabiyyah dan Wataniyyah. Walhal kedua-dua fahaman itulah yang telah memecah-belahkan umat Islam sehingga umat Islam menjadi lemah dan mudah diratah oleh Barat dan sekutu-sekutunya. Sudah tiba masanya khilafah mengantikan negara-negara bangsa ini dan menyatukan mereka di bawah seorang pemimpin.