Bebaskan Palestin dengan Kekuatan Tentera

altPARIT 18 Feb. – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, hanya demonstrasi secara besar-besaran dan berterusan di seluruh dunia dapat memaksa Amerika Syarikat (AS) menghentikan sokongan padunya kepada Israel sekali gus membuka ruang kepada usaha membebaskan bumi Palestin.  Bekas Perdana Menteri itu berkata, demonstrasi dalam kumpulan kecil seperti dilakukan di hadapan Kedutaan AS di Kuala Lumpur tidak akan dapat memberi tekanan kepada negara ‘Uncle Sam’ itu.  ”Bukan mudah untuk menyelesaikan konflik di Palestin kerana ia bukan hanya melibatkan Zionis, Yahudi dan Israel tetapi kerana ada kuasa lebih besar mempertahankan Israel walaupun Israel melakukan jenayah.  ”Oleh itu, masyarakat dunia perlu memberi tekanan dengan membuat demonstrasi besar-besaran di seluruh dunia sehingga AS menarik balik sokongannya terhadap Israel,” katanya pada Forum Perdana Ehwal Islam di Universiti Teknologi Petronas di sini malam tadi. 
Dr. Mahathir yang merupakan Pengerusi Pertubuhan Keamanan Global Perdana (PGPO), bagaimanapun berkata, demonstrasi besar-besaran itu sukar untuk dilakukan kerana dunia Islam sendiri berpecah belah dan sukar bekerjasama.  Katanya, para pemimpin dunia juga tunduk kepada AS dan tidak berani mengambil tindakan yang tidak disukai negara polis dunia itu.  ”Mereka takut dengan AS. Jika mereka buat sesuatu yang tidak diterima AS, pelbagai macam sekatan akan dikenakan ke atas mereka dan pasaran AS ditutup kepada mereka.   ”Ini merupakan perbuatan buli. Mereka tahu AS salah tetapi tiada siapa yang berani mengambil tindakan,” ujarnya.  Beliau berkata, dengan perkembangan yang berlaku sekarang, penduduk Palestin mempunyai harapan tipis untuk bebas daripada kekejaman rejim Israel.  ”Namun apa yang paling penting, semua masyarakat Islam jangan sekali-kali berputus asa dan terus menyalurkan bantuan bekalan makanan dan bahan pembinaan ke Gaza.  ”Selain itu, jika kita dapat menjadikan peperangan sebagai satu jenayah, AS pun akan patuh dengan desakan tersebut,” katanya.  Dalam pada itu, Dr. Mahathir berharap kerajaan baru yang bakal menggantikan kerajaan Hosni Mubarak di Mesir akan lebih bersimpati dengan perjuangan rakyat Palestin untuk merdeka dan bebas daripada penindasan Israel.  Selain Dr. Mahathir, seorang lagi panel pada forum itu ialah Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (Pace), Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor.  Forum tersebut dipengerusikan oleh Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Dasar, Jabatan Pengajian Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi, Mohd. Erfino Johari.

Sumber : Utusan Malaysia: 19/02/11
 

Apakah yang menghalang Mahathir daripada berkata benar?
Sungguh malang apabila seorang pemimpin yang dikatakan bijak seperti Tun Mahathir enggan mengakui kebenaran akibat fahaman sekularisme yang masih pekat mengalir di dalam tubuhnya. Mengapakah beliau masih memberikan penyelesaian yang dangkal di dalam usaha untuk menyelesaikan masalah Palestin? Memberi bantuan tidak akan dapat menyelesaikan masalah Palestin walaupun diakui ia sedikit sebanyak meringankan beban hidup dan kesengsaraan rakyat Palestin. Penyelesaian yang sebenarnya adalah dengan mengerakkan tentera-tentera umat Islam yang berjumlah puluhan juta itu. Apakah perasaan hati tokoh sekular ini telah mati? Apakah matanya telah buta? Apakah telinganya telah menjadi tuli? Sehingga beliau langsung tidak sanggup untuk mengatakan satau-satunya penyelesaian kepada isu Palestin ini adalah dengan menyeru semua pemimpin umat Islam hari ini untuk menghantar tentera dan menghancurkan Israel. Wahai Mahathir! Wahai seluruh umat Islam! Yakinlah bahawa permasalahan di Palestin itu sebenarnya akan terus wujud dan tetap akan membarah selagi mana masih wujud dan berdirinya Israel di situ.

Kejahatan dan kesombongan Israel yang didokong oleh Amerika dengan menggunakan kekuatan ketenteraan untuk terus membunuh dan merampas tanah umat Islam di Palestin itu, wajib dijawab dengan kekuatan tentera dan bukan dengan misi bantuan yang pernah diusahakan oleh Mahathir selama ini ataupun seperti apa yang dikatakannya di atas. Wahai umat Islam! Ketahuilah bahawa Palestin dibuka dengan jihad oleh Khalifah Umar al-Khattab pada tahun 638 Masehi dengan darah-darah syuhada. Palestin diambil dan dibebaskan semula oleh tentera-tentera Islam di bawah pimpinan Panglima Perang Islam iaitu Salahuddin Al Ayyubi daripada tangan tentera-tentera salib pada tahun 1187 Masehi juga dengan darah-darah syuhada. Dan Palestin dipertahankan dengan kuasa politik Khilafah oleh Sultan Abdul Hamid II dengan penuh kemuliaan ketika ianya cuba dibeli oleh Dr Theodore Herzl pada tahun 1902 Masehi. Maka apakah Mahathir langsung tidak terfikir untuk mengimbau semula catatan sejarah ini? Untuk itu Mahathir seharusnya berusaha untuk memahami firman Allah SWT:

” perangilah mereka, nescaya Allah akan menyeksa mereka dengan (perantaraan) tangan kamu, dan Allah akan menghinakan mereka serta menolong kamu menewaskan mereka, dan ia akan memuaskan hati orang-orang yang beriman”. [TMQ At Taubah (9) : 14].

Sudah tiba masanya Mahathir kembali mengambil penyelesaian yang diberikan oleh Islam untuk menyelesaikan setiap persoalan yanag berlaku dan bukannya dengan memilih penyelesaian yang datang dari akalnya semata-mata. Siapakah yang lebih sesat daripada orang-orang yang enggan mengikut petunjuk Allah?

”dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya dengan tidak berdasarkan hidayah petunjuk dari Allah. Sesungguhnya Allah tidak memberi pimpinan kepada kaum yang zalim (yang berdegil dalam keingkarannya)”. [TMQ Al Qashash (28) : 50].