Insurans Produk Kapitalis
KUALA LUMPUR 10 Mac – Penyokong kerajaan dan pembangkang hari ini ‘bersatu’ menyelar syarikat-syarikat insurans kerana mengenakan premium yang tidak masuk akal terhadap kenderaan lama berusia lebih 10 tahun dan insurans pihak ketiga sejak dua tahun lalu.
Sambil menyifatkan dua langkah itu sebagai tidak munasabah, Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) berkata, peraturan baru tersebut telah menyusahkan rakyat terutama penduduk di luar bandar.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) mengkaji semula kadar dikenakan itu sejak dua tahun lalu kerana jelas membebankan rakyat ekoran harga premium insurans yang terlalu tinggi.
”Ini isu serius. Oleh itu Kementerian Kewangan dan BNM perlu melihat masalah ini kerana ia tidak memberi keadilan kepada rakyat di kampung-kampung. Kebanyakan kenderaan mereka adalah kenderaan lama. Peraturan ini langsung tidak munasabah.
”Munasabah ke premium insurans kereta lama lebih tinggi daripada kereta baru. Begitu juga dengan pembelian insurans pihak ketiga, mengapa kadarnya terlalu tinggi?” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.
Isu mengenakan premium insurans pihak ketiga yang terlalu tinggi pernah dibangkitkan di dalam Dewan Rakyat sebelum ini.
Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) ketika mencelah berkata, kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji semula operasi syarikat-syarikat insurans kerana perjalanan perniagaan mereka adalah secara menipu.
”Perniagaan yang banyak menipu rakyat ialah perniagaan insurans. Berlaku sahaja kes kemalangan berpuluh tahun baru selesai. Saya minta satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi memantau operasi mereka kerana mereka ini adalah penipu paling besar di negara ini,” katanya.
Mohamed dalam pada itu turut mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan satu syarikat insurans yang baru sebagai alternatif bagi syarikat insurans sedia ada.
”Kalau masalah ini tidak selesai, apa kata Kementerian Kewangan mewujudkan syarikat insurans baru yang boleh menjual insurans dengan harga berpatutan. Namakan sahaja insurans ini, insurans 1Malaysia. Jangan terima lagi syarikat-syarikat insurans yang sedia ada sekarang,” ujarnya.
Terdahulu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee ketika mencelah telah meminta isu yang ditimbulkan oleh Ahli Parlimen Sri Gading itu meliputi pembelian insurans hayat.
Chong Chieng Jen (DAP-Kuching) di dalam perbahasannya juga bersetuju supaya kadar premium insurans pihak ketiga diturunkan bagi meringankan beban rakyat.
Beliau memberitahu Dewan Rakyat bagaimana syarikat-syarikat insurans ketika ini memaksa pelanggan membeli polisi insurans kemalangan peribadi sebelum dikeluarkan polisi insurans pihak ketiga walaupun kerajaan tidak membenarkan ia berlaku.
”Itu belum dikira caj tambahan (loading) yang turut dikenakan kepada pelanggan. Apabila dicampur kedua-duanya dan ditambahkan dengan bayaran premium insurans pihak ketiga sudah tentu harganya tinggi dan membebankan.
”Walaupun Kementerian Kewangan sudah kata tidak ada syarikat yang boleh paksa pemilik kenderaan untuk membeli insurans tambahan ini, tetapi ini masih diamalkan oleh semua syarikat insurans di negara ini,” katanya.
Akibatnya beliau berkata, harga premium insurans pihak ketiga yang dahulu dibayar sekitar RM70 sehingga RM80 tetapi sekarang harganya antara RM100 hingga RM200.
”Bank Negara ini butakah, takkan tidak tahu langsung, ini hakikat yang memang berleluasa? Mengapa kerajaan tidak ada penyelesaian sebaliknya terus membenarkan syarikat insurans mengeksploitasi pelanggan mereka,” katanya.
Datuk Seri Azmi Khalid (BN-Padang Besar) pula berpendapat operasi syarikat trak penunda juga harus dipantau kerana ia menyumbang kepada peningkatan kadar premium insurans yang dijual kepada pemilik kenderaan, termasuk caj tambahan.
Loke Siew Fook (DAP-Rasah) pula mempersoalkan kuasa Bank Negara dalam mengawal syarikat-syarikat berkenaan.
Meskipun katanya, telah ada arahan supaya syarikat-syarikat insurans tidak boleh memaksa pemilik kenderaan membeli pelindungan insurans tambahan namun perkara itu masih berleluasa.
Sumber: Utusan Online 11/03/2011
Insurans Produk Kapitalis
Jarang kita dengar puak kerajaan mahupun pembangkang “bersatu” dalam mana- mana isu yang dibangkitkan di parlimen. Namun kali ini ia agak berlainan. Kenapa begitu? Ya, sudah pasti kedua-dua pihak akan cuba mengeksploitasi isu ini kerana ia merupakan perkara yang boleh menarik hati dan jiwa rakyat untuk menyokong mereka. Malah, sudah pasti ia boleh menjadi modal yang cukup besar untuk berkempen pada pilihanraya akan datang, dan pastinya peluang ini tidak akan dilepaskan mana-mana puak untuk memikat hati rakyat. Meskipun kadar premium insuran kenderaan yang meroket telahpun berlaku sejak 2 tahun lepas, namun kewujudan skim insuran kenderaan memang sudah sekian lama wujud di bumi kapitalis-demokrasi Malaysia ini. Kewujudan syarikat insurans inilah yang sebenarnya yang tak masuk akal! Mana tidaknya, kerajaan ke hulu ke hilir berkempen kononya menjaga kebajikan rakyat, namun rakyat masih tidak merasakan kebajikan mereka dijaga hinggakan harus melibatkan diri dengan dosa membeli pakej insurans!
Pemaksaan oleh kerajaan supaya setiap pemilik kenderaan membeli polisi insuran kenderaan mereka merupakan satu kezaliman kepada rakyat kerana ini telah menyulitkan urusan mereka, malah perkara ini adalah bertentangan dengan hukum syarak. Islam telah menggariskan bahawa jaminan di dalam Islam merupakan jaminan yang tidak perlu ada kompensasi bayaran kepada penjamin sebagaimana bayaran premium kepada syarikat insuran sekarang ini. Tambahan pula, yang sepatutnya menjaga kebajikan rakyat sekiranya mereka terlibat dengan mana-mana musibah adalah pemerintah, sesuai dengan posisi mereka sebagai pelayan urusan umat.
“Setiap kamu adalah penggembala dan setiap kamu diminta bertanggungjawab ke atas gembalaannya. Maka seorang pemimpin yang memimpin orang ramai adalah penggembala yang diminta bertanggungjawab atas gembalaannya. Seorang suami adalah penggembala dalam keluarganya dan dia diminta bertanggungjawab atas gembalaannya. Isteri adalah penggembala dalam rumah suaminya, dan dia diminta bertanggungjawab atas gembalaannya. Hamba sahaya adalah gembala terhadap harta tuannya dan dia wajib bertanggungjawab atas jagaannya. Ketahuilah setiap kamu adalah pemimpin dan masing-masing kamu diminta pertanggungjawaban dalam pimpinannya.” [Riwayat Al-Bukhari & Muslim].
Maka, hakikatnya rakyat tidak perlu dibebankan dengan bayaran untuk menjamin agar kebajikan mereka dijaga, kerana yang sewajibnya menjaga kebajikan mereka adalah pemerintah. Dari sisi yang lain pula, kewujudan syarikat insuran merupakan produk ekonomi kapitalis. Syarikat ini boleh dikatakan sebagai samseng berlesen yang kononya menjaga kebajikan anak buahnya (pembeli insurans), tetapi sebenarnya merupakan lintah darat yang rakus menyedut darah. Bermodalkan kepingan-kepingan kertas janji-janji manis mereka, syarikat insuran ini mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda banyaknya daripada titik peluh pembeli insurans.
Wahai kaum Muslimin! Sudah tiba masanya kita mencampak jauh-jauh produk keluaran kapitalis ini dengan mencabut akar produk ini iaitu sistem kapitalisme yang membelenggu kalian. Sudah tibanya kebajikan kita dijaga oleh pemerintah, iaitu Khalifah yang akan menjaga kebajikan kita sejak dari kita lahir dari perut ibu sehingga kita dipanggil oleh Sang Pencipta di mana nyawa, maruah dan harta kita akan terjaga dengan sebaik-baiknya dan bukannya sekadar lakonan sebagaimana lakonan para pemerintah yang cuba memancing hati-hati supaya mengekalkan mereka di tampuk kekuasaan. Ingatlah bahawa, kekuasaan sementara yang Allah berikan kepada mereka itu Allah boleh rentap semula pada bila-bila masa. Wallahua’lam.