Parkir berbayar di hospital: penyelesaian cetek kapitalis yang menindas

parkingTindakan Kementerian Kesihatan yang akan mengenakan caj kepada parkir di kawasan hospital di zon tengah Semenanjung Malaysia merupakan suatu penyelesaian yang sungguh cetek, selain menindas orang ramai.

Alasan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya bahawa langkah ini adalah untuk mengelak mereka yang tidak mempunyai urusan di hospital daripada menggunakan tempat parkir di hospital, sungguh tidak masuk akal. Ini kerana, berapa ramaikah pemandu yang agaknya tidak akan parkir di hospital kerana tidak sanggup membayar caj yang dikenakan? Walhal realitinya, jika mereka parkir di tempat lain sekalipun, mereka tetap akan dikenakan bayaran.

Persoalan utama bagi ramai pemandu ialah bukan persoalan bayaran, tetapi persoalan tidak cukup ruang untuk parkir. Jadi, jika dikenakan caj sekalipun, ramai pemandu yang pastinya akan bayar berbanding kereta mereka diangkut dan dikenakan denda yang jauh lebih mahal oleh pihak berkuasa tempatan jika parkir bukan di ruang yang disediakan.

Apa yang pasti, langkah sebegini merupakan satu contoh penyelesaian yang bersifat kapitalistik dan langkah ini bukan sahaja gagal menangani permasalahan tersebut secara tuntas, bahkan sebaliknya boleh menimbulkan kesusahan dan menambahkan lagi beban orang ramai.

Jika ramai orang sanggup membayar caj yang dikenakan, maka masalah “penyalahgunaan parkir” ini tetap tidak akan selesai. Malah dalam masa yang sama, para pesakit dan pengunjung hospital pula telah dibebankan dengan dengan caj yang berkenaan.

Jika wujud masalah kekurangan parkir, penyelesaiannya bukan dengan mengenakan caj atau menaikkan caj dengan harapan orang ramai tidak akan parkir di situ. Itu merupakan penyelesaian kapitalistik yang bersifat menindas. Kerajaan kapitalis memang terkenal dengan sifat tamak haloba dan suka mengaut keuntungan atas kesusahan orang lain.

Pengenaan caj ini merupakan sikap dan natijah dari sebuah kerajaan kapitalis yang hanya berfikir bagaimana untuk terus menghisap darah rakyat. Mungkin sahaja sudah ada tender yang telah diluluskan ke atas mana-mana orang politik melalui syarikat mereka atau syarikat kroni mereka bagi mengaut keuntungan lumayan atas angin dengan pengenaan caj parkir tersebut.

Kerajaan sepatutnya menyediakan kemudahan percuma bagi memudahkan urusan rakyat, baik dalam masalah parkir atau dalam masalah perkhidmatan kesihatan, kerana hal ini termasuk dalam ri’ayah al-syu’un al-ummah (pengaturan urusan umat) yang telah menjadi kewajipan kerajaan. Rakyat wajib dijaga dan dilayan dengan baik kerana ini merupakan kewajipan pemerintah sebagai khadim (pelayan) umat dan bukannya dibebankan lagi dengan masalah.

Apa yang wajib dilakukan oleh kerajaan ialah menyediakan lebih banyak ruang parkir, baik di dalam mahupun di luar hospital atau membina lebih banyak tempat parkir seperti bangunan parkir bertingkat bagi kemudahan orang ramai.

Jika kerajaan ingin mengelak “penyalahgunaan parkir” sekalipun, untuk jangkamasa pendek boleh sahaja bagi pihak pentadbiran hospital mengawal kemasukan kenderaan dengan memberikan pas pelawat hanya kepada pesakit dan pengunjung atau sesiapa sahaja yang mempunyai urusan di hospital, yang mana pas tersebut perlu ditandatangani dan dicop oleh kakitangan hospital yang berkenaan setelah selesai urusan, sebagai bukti. Langkah sebegini lebih membantu dalam menangani masalah penyalahgunaan parkir dan dalam masa yang sama tidak membebankan pesakit atau pengunjung hospital yang memang mempunyai urusan.

Malangnya pemerintahan kapitalis pada hari ini hanya dahagakan darah dan sentiasa mencari jalan untuk mencekik darah rakyat sehabis-habisnya. Kerana itulah pemerintahan ini wajib dibuang dan diganti dengan pemerintahan Islam (Khilafah) yang akan menjaga dan menyayangi setiap warganya.