Tambah rebat – Penyelesaian akal Kapitalis

Sidang parlimen diteruskan pada 16hb lalu dengan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) meminta kerajaan meningkatkan jumlah rebat tunai yang dibayar kepada pemilik kenderaan persendirian bagi meringankan beban rakyat akibat kenaikan harga minyak. Ini, menurut pandangan ahli-ahli Parlimen sebagai satu penyelesaian.
Adakah ia benar-benar satu penyelesaian? Perkara tersebut dibangkitkan oleh Ir. Hamim Samuri (BN-Ledang), Datuk Baharum Mohamad (BN-Sekijang), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis (BN-Rompin) dan Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud).Menurut Hamim, polisi rebat tunai yang diperkenalkan oleh kerajaan amat baik tetapi jumlahnya tidak sesuai kerana penduduk berpendapatan rendah tidak mendapat bantuan sepenuhnya bagi menghadapi beban kenaikan harga petrol dan diesel.

Rebat sebanyak RM625 dan RM150 yang diberikan kepada pengguna kereta di bawah 2,000cc dan motosikal berkapasiti enjin sehingga 250cc sebagai menampung pertambahan kos minyak akibat kenaikan harga minyak mendadak baru-baru ini tidak boleh dilihat sebagai satu bentuk penyelesaian yang sebenar dan menyeluruh walaupun ia dapat meredakan sedikit kesusahan. Ini adalah kerana, kesan sampingan lain seperti kenaikan harga barang makanan, keperluan dan barang domestik lain pastinya tidak akan diberi ‘pampasan’ yang sama oleh kerajaan.

Lebih menyedihkan lagi apabila melihat wakil-wakil rakyat di Parlimen membangkitkan isu ketidakcukupan jumlah rebat yang diberikan kepada pengguna kenderaan. Para perwakilan yang duduk di dalam kerusi empuk Parlimen tidak pernah berfikir di luar daripada kepompong pemikiran kapitalis. Disebabkan itulah segala penyelesaian yang diberikan tidak pernah menyelesaikan masalah. Wakil rakyat di Parlimen seharusnya melihat apakah penyelesaian kepada isu kenaikan harga minyak dari perspektif Islam. Perkara yang menjadi masalah utama bukanlah isu rebat. Rebat ini hanyalah umpama gula-gula yang diberi oleh pemerintah sahaja, untuk menutup mulut rakyat. Isu utama di sini ialah para pemerintah Kapitalis yang telah merampas harta milik rakyat (minyak) ini dan diperlakukan sedemikian rupa untuk mengkayakan mereka. Walhal menurut Islam, minyak adalah milik umat dan segala kekayaan daripada hasil minyak wajib dikembalikan kepada umat. Inilah yang sepatutnya mereka lakukan, yakni mengembalikan kekayaan milik umat ini ke tangan umat, bukannya dengan merampas harta rakyat dan menggula-gulakan rakyat dengan rebat.

Walaupun Hamim percaya bantuan rebat tunai yang lebih tinggi kepada pemilik-pemilik kenderaan terutama motosikal akan memberi insentif kepada mereka untuk memperbaharui cukai jalan yang selama ini tidak diendahkan, ia sebenarnya tidak membantu umat secara keseluruhannya.

Baharum pula ketika mencelah memberitahu, rebat tunai perlu ditingkatkan kepada pemilik motosikal kerana mereka adalah golongan berpendapatan rendah manakala pemilik kereta merupakan golongan berpendapatan lebih tinggi.

Inilah hakikat yang dapat kita saksikan apabila yang memerintah adalah sang Kapitalis. Mereka bertengkar di Parlimen kerana masing-masing mempunyai penyelesaian yang muncul akal masing-masing, bukannya yang muncul dari Al-Quran dan Hadis. Di kala para pemimpin yang kaya-raya bertekak sesama sendiri untuk kebaikan rakyat (kononnya), rakyat jelata terus dihimpit derita dan sengsara.