Rebat Elektrik. Apakah Itu Yang Dituntut Oleh Islam?

Lebih sejuta rakyat dapat faedah rebat elektrik

KUALA LUMPUR: Lebih sejuta rakyat berpendapatan rendah mendapat manfaat hasil pembiayaan rebat RM53.26 juta untuk penggunaan bil elektrik sebanyak RM20 sebulan dan ke bawah sejak dilaksanakan mulai 1 Oktober, 2008 sehingga Februari tahun ini.

Tenaga Nasional Bhd (TNB), dalam kenyataan kepada Bernama, menyatakan untuk Februari tahun ini saja, seramai 1,010,107 pelanggannya mendapat faedah rebat tersebut yang diperkenalkan dalam Bajet 2009.

Pada perbentangan bajet itu, kerajaan mengumumkan pemberian rebat untuk pengguna domestik yang bil bulanan semasa tidak melebihi RM20 berkuat kuasa 1 Oktober 2008 sehingga akhir tahun 2009.
Bagaimanapun, pengguna kediaman yang mencatatkan pengguna sifar kilowat jam (0 kwh), seperti premis kosong tidak layak menerima rebat itu.

Terengganu muncul sebagai negeri yang mencatatkan peratusan tertinggi penerima rebat pada Februari dengan 29.99 peratus, diikuti Kelantan (29.94 peratus) dan Kedah (24.3 peratus).

Seterusnya, Pahang (21.71 peratus), Perlis (20.77 peratus), Perak (18.20 peratus), Negeri Sembilan (16.83 peratus), Melaka (16.35 peratus), Pulau Pinang (15.51 peratus), Johor (15.22 peratus), Putrajaya dan Cyberjaya (14.21 peratus), Selangor (12.72 peratus) dan Kuala Lumpur (12.65 peratus)
TNB menyatakan rebat itu dibiayai kerajaan bagi pengguna yang layak secara terus kepada TNB.

“Bagi yang layak, amaun rebat akan dicatatkan di dalam bil elektrik bulan tersebut dan dinyatakan sebagai dibiayai oleh kerajaan Malaysia,” menurut kenyataan itu. – Bernama

Sumber : Berita Harian,  24/03/09

Rebat Elektrik. Apakah itu yang dituntut oleh Islam?

Adakah apa yang dilakukan oleh pihak kerajaan melalui pemberian rebat elektrik itu sesuatu yang benar-benar menunjukkan keprihatian pihak pemerintah ke atas rakyat? Dari kenyataan TNB, ia menunjukkan seolah-olah apa yang telah dilakukan oleh kerajaan ini adalah sesuatu yang baik. Memang secara luarannya nampak seolah-olah ia merupakan sesuatu yang baik. Namun begitu sebagai seorang Muslim, persoalan baik ataupun buruk, terpuji atau tercela, adalah sesuatu yang ditentukan oleh hukum syara’. Dengan kata lain, bagi Islam, baik, buruk, terpuji dan tercela itu mestilah ditentukan oleh hukum syara’, bukannya akal manusia. Akal hanyalah berperanan sebagai sarana untuk memahami hukum syara’ yang bersumberkan al-Quran dan Sunnah.

Firman Allah SWT: “Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara Yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya” . [TMQ al- Baqarah (2): 216].

Oleh itu, bagi menilai persoalan rebat elektrik yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan, samada ianya berfaedah ataupun tidak, serta menilai realiti tenaga elektrik itu sendiri, maka kita perlu mengkaji pandangan Islam mengenainya.

Islam sebagai sebuah sistem kehidupan yang sempurna telah memperjelaskan kepada umatnya melalui lisan nabi Muhammad SAW bahawa tenaga (termasuk tenaga elektrik), air dan padang ragut adalah termasuk dalam pemilikan umum yang wajib dikongsi bersama oleh seluruh manusia.

Ibnu Majah meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Tiga hal yang tidak akan pernah dilarang (dari manusia memanfaatkannya) adalah air, padang ragut dan api” [HR Ibnu Majah]. Catatan: “api “ dalam konteks hadith ini adalah juga termasuk tenaga elektrik.

Namun begitu, hari ini kita melihat harta-harta milik umum seperti di atas telah diniagakan dan dijadikan milik individu kroni-kroni tertentu. Kerajaan Kapitalisme hari ini telah berniaga dengan rakyatnya sendiri. Para penguasa umat Islam hari ini telah meraih kekayaan dan keuntungan di atas perahan peluh rakyatnya sendiri. Bukankah ini satu kezaliman?  Mungkin analogi ini boleh kita renungkan bersama: Bayangkan jika seorang bapa yang wajib dan yang sepatutnya menafkahi keluarganya telah meletakkan sejumlah syarat bayaran kepada keluarganya sendiri setiap kali ahli keluarganya menggunakan apa sahaja yang ada di dalam rumah tersebut. Apakah ini yang diajar oleh Islam Hadhari?  Inilah kesannya apabila sistem ekonomi Kapitalisme yang kufur diterapkan di tengah-tengah umat saat ini dan sistem ekonomi Islam ditolak jauh-jauh. Ketahuilah hanya dengan penerapan Islam secara menyeluruh sahajalah keberkatan dari Allah SWT itu akan benar-benar dirasai oleh seluruh manusia. Tidak terhingga keberkatan ini berbanding rebet yang hanya ‘memberi faedah’ kepada sekitar 1 juta orang!!

Firman Allah SWT: “ dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) Yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”. [TMQ al-A’raaf(7):96]