Malaysia negara Kristian? Hakikatnya Malaysia Adalah Negara Sekular.

altMalaysia negara Kristian?

PULAU PINANG 6 Mei – Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi menafikan dakwaan kononnya beliau menganjurkan satu majlis pertemuan paderi dari seluruh negara yang didakwa turut membincangkan agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan sekali gus melantik Perdana Menteri dalam kalangan penganut agama itu.

Menurut wakil rakyat DAP itu, beliau hanya menghadiri majlis kesyukuran yang diadakan secara tertutup untuk paderi-paderi tersebut di sebuah hotel di Jalan Macalister di sini sebagai tetamu. Majlis pertemuan paderi-paderi berkenaan dan ikrar menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan didedahkan oleh dua laman blog hari ini iaitu ‘bigdog’ di http://bigdogdotcom.wordpress.com/ menerusi entri bertajuk ‘Making Christianity the official religion? dan blog Marahku di http://marahku.blogspot.com. Jeff yang ditanya mengenai ikrar itu mendakwa, ketika majlis berlangsung, beliau sibuk ‘melayan’ iPad selain menjamu selera walaupun turut bertafakur semasa paderi-paderi itu berdoa. “Bukankah berdoa itu suruhan tuhan. Apa yang saya tahu, ‘bigdog’ (penulis blog) tidak sebut nama saya, dia tidak tuduh saya. Kalau mahu tahu lebih lanjut, sila tanya polis Cawangan Khas dan dengar rakaman yang dibuat mereka,” katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Difahamkan, majlis makan malam yang dihadiri lebih 100 paderi Kristian itu diadakan di sebuah hotel di sini semalam yang kemudiannya disusuli dengan beberapa konvensyen hari ini. Malam ini pula akan diadakan satu majlis di Pusat Kristian (Katolik) Pulau Pinang di sini dan satu ceramah perdana pula dianjurkan esok. Pertemuan itu dikatakan dianjurkan setiap tahun. Dalam majlis makan malam itu, seramai 35 orang paderi dikatakan berdiri dalam bulatan dan saling berpegangan tangan tanda bersetuju untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian dan mahu Perdana Menteri juga dalam kalangan penganut agama itu. Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di hotel yang terletak di Jalan Burmah mendapati persidangan sehari itu yang bermula pukul 8.30 pagi berlangsung di Bilik 2 dan 3, tingkat 7 hotel itu. Kira-kira 10 meja dan kerusi disusun di luar bilik persidangan yang dikatakan diadakan setiap tahun dengan beberapa rahib dilihat berbual-bual sebelum masing-masing masuk ke dalam bilik persidangan.

Kenyataan Jeff itu bagaimanapun berbeza dengan laporan blog ‘bigdog’ yang mendakwa majlis itu dianjurkan oleh kawasan Parlimen DAP dipercayai Jelutong dan turut dihadiri oleh kira-kira 100 yang lain termasuk wakil rakyat parti itu dari Sarawak dan beberapa pekerja parti. “Apa yang dilakukan DAP adalah sesuatu yang sangat berbahaya. DAP membawa strategi politik cauvinis mereka ke satu tahap perubahan dan sensitiviti yang sangat tinggi,” dakwa blog berkenaan. Blog tersebut menambah, sebagai satu komuniti minoriti, cita-cita DAP itu jelas membuktikan mereka cuba bertindak sebagai kaum majoriti. “Ini merupakan lembaran baru dalam politik yang mana kaum minoriti memainkan peranan sebagai kaum majoriti di samping strategi cauvinis DAP menyemai politik kebencian. Sesuatu yang pasti ia bergerak pada landasan yang sangat berbahaya,” dakwa blog itu.

Sumber : Utusan Malaysia: 07/05/11

 

Malaysia negara Kristian? Hakikatnya Malaysia Adalah Negara Sekular.
Nampaknya sekali lagi media cetak milik parti sekular UMNO, Utusan Malaysia, memainkan emosi umat Islam dengan menaikkan isu kononnya ada usaha yang dilakukan oleh pihak tertentu untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan sekali gus melantik Perdana Menteri dari kalangan penganut agama itu. Sungguh licik permainan golongan sekular ini menjelang kehangatan PRU-13 sedangkan hakikatnya Malaysia yang selama ini diperintah oleh kerajaan sekular UMNO telah dengan bangganya dan merasa tidak berdosa sedikitpun menerapkan undang-undang kufur yang dihadiah oleh Lord Reid. Kenapa isu tidak diambil pusing oleh ramai umat Islam?

Selama lebih 50 tahun Malaysia telah ‘merdeka’ dari penjajah namun undang-undang dan perlembagaan kufur Lord Reid tetap hidup subur dan dianggap sebagai harga mati oleh pemerintah sekular yang berkuasa pada hari ini. Untuk itu jelas sekali isu ini sengaja diangkat untuk memainkan dan mencuit emosi umat Islam bagi tujuan politik parti sekular UMNO itu sendiri. Kita tidak menafikan bahawa musuh-musuh Islam akan senantiasa berusaha memusuhi dan memerangi Islam dan umat Islam. Firman Allah SWT:

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)”. dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu”.
[TMQ Al Baqarah (2) : 120].

Tetapi apa yang lebih buruk lagi adalah pengkhianatan yang dilakukan oleh para pemimpin umat Islam hari ini terhadap Islam dan umat Islam itu sendiri. Faktanya, umat Islam di Malaysia khususnya dan dunia amnya perlu menyedari bahawa Malaysia seperti juga negara-negara umat Islam yang lain adalah merupakan negara kufur walaupun para pemimpinnya dan majoriti penduduknya terdiri dari kalangan umat Islam. Selama mana perundangan yang diterapkan adalah hukum kufur, selama itulah status ini akan kekal….sampai bila wahai umat Islam???? Lihat: SN132 – MALAYSIA – NEGARA ISLAM ATAU SEKULAR?