Untung Dari Riba – Bekalan Ke Neraka!

altCIMB untung RM917 juta dalam tiga bulan

KUMPULAN perbankan tempatan kedua terbesar, CIMB Group Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM917 juta dalam tempoh tiga bulan berakhir 31 Mac lalu, peningkatan 9.4 peratus daripada RM838 juta yang dicatatnya dalam tempoh sama tahun lalu.

Ini diraihnya di sebalik penurunan 1.3 peratus pendapatan kepada RM2.75 bilion daripada RM2.79 bilion sebelumnya. Berikutan prestasi itu, CIMB Group mencatatkan pulangan ke atas ekuiti (ROE) sebanyak 15.7 peratus. Ketua Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Nazir Razak berkata, pencapaian itu dipacu oleh pengukuhan perbankan pelanggan operasi domestiknya dan pertumbuhan berterusan unit perbankan di Indonesia, CIMB Niaga.

“Kami menetapkan sasaran untuk mencapai ROE 17 peratus bagi seluruh tahun ini dan keputusan suku pertama ini menandakan permulaan baik buat kumpulan.

“Selain pengukuhan perniagaan perbankan pelanggan, prospek segmen perbankan pelaburan bagi keseluruhan tahun ini juga dilihat amat baik,” katanya.

Nazir menjelaskan, meskipun keuntungan kumpulan merosot sedikit ekoran penurunan pendapatan bukan faedah, namun keuntungan sebelum cukai (PBT) berkembang 9.2 peratus kepada RM1.23 bilion susulan penurunan kerugian kredit yang tinggi.
Katanya, berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, keuntungan sebelum cukai bahagian perbankan pengguna operasi domestik kumpulan meningkat 83.4 peratus kepada RM343 juta.

Beliau berkata, keuntungan sebelum cukai bahagian perbankan pelaburan dan korporat pula melonjak 13.6 peratus kepada RM243 juta, sementara bahagian pelaburan dan perbendaharaan merosot 13.1 peratus kepada RM253 juta.

Nazir berkata, dalam tempoh kajian, CIMB Niaga mencatatkan peningkatan keuntungan sebelum cukai 39.2 peratus kepada IDR980 bilion, namun sumbangan unit itu kepada kumpulan merosot 20.6 peratus kepada RM336 juta, susulan penurunan keuntungan hasil jualan bon.

CIMB Thai pula menyumbang keuntungan sebelum cukai RM37 juta, melonjak daripada RM6 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Sementara itu, Nazir mengumumkan kumpulan akan menangguhkan cadangan penyenaraian berkembarnya di Bursa Saham Thailand (SET), sehingga diumumkan kelak.

Sumber : Berita Harian Online, 26/05/2011

Untung Dari Riba – Bekalan Ke Neraka!

Tunjang kepada sistem kapitalisme adalah ekonomi. Melalui ekonomilah, kapitalisme akan terus tumbuh serta subur dan menjalar ke setiap aspek kehidupan. Melalui penerapannya yang terus dijaga serta diperjuangkan oleh para pemimpin umat Islam melalui sistem kewangan yang berasaskan ribawi ini dengan menjadikan bank- bank sebagai pemacu ekomoni negara, menyebabkan bank- bank ini terus merajalela. Keuntungan utama dalam perbankan kapitalis ini adalah melalui transaksi riba. Malah dengan pengambilan riba dari setiap pinjaman, menjadikan bank- bank ini terus subur dan bercambah. Maka tidak hairanlah jika CIMB mampu untuk meraih keuntungan hampir RM1 billion dalam tempoh cuma 3 bulan.
Islam telah mengharamkan riba dalam segenap transaksi. Kecaman Allah amat berat kepada mereka yang mengambil riba seperti dalam firmanNya:

Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan setan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang mengulangi (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya. [TMQ Al Baqarah(2) : 275]

Kecaman Allah ini amat berat, sehingga pengambil riba dikategorikan sebagai penghuni neraka. Sesungguhnya, bank- bank ini tidak akan mampu berdiri lagi sekiranya seluruh umat menolak segala transaksi riba ini. Malah, ekonomi kapitalis akan lumpuh dan hancur dengan penolakkan umat terhadap bank-bank riba ini. Keharaman riba adalah amat jelas, namun riba inilah yang menjadi asas struktur ekonomi kapitalis. Apalah gunanya jikalau sedikit untung yang diperoleh itu, bakal menghumbankan diri ke dalam neraka Allah kelak. Wallahu a’lam.