Bayi Dicampak Akibat Pemerintah Mencampakkan Hukum Islam

altBayi dicampak masuk longkang

SELAYANG – Bayi sendiri diperlakukan bagaikan sampah apabila seorang gadis berusia 19 tahun tergamak mencampak bayi yang baru dilahirkan ke dalam longkang dari tingkat dua Flat Taman Selayang Segar 2, Selayang Baru di sini semalam. 

Mayat bayi perempuan malang itu ditemui oleh seorang lelaki pada pukul 7 pagi yang kebetulan melalui kawasan itu.  Ibu bayi itu yang mendakwa panik sebaik melahirkan anak di dalam tandas bertindak mencampak bayinya ke dalam longkang menerusi tingkap. 

Ketika ditemui, bayi yang dalam keadaan bogel dan mempunyai kesan cedera di kepala itu berada dalam keadaan tertiarap di dalam longkang berkenaan.  Bayi yang cukup sifat itu dipercayai baru dilahirkan kerana masih mempunyai tali pusat.  Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, susulan penemuan mayat bayi dalam keadaan menyayat hati itu, polis menahan seorang gadis berusia 19 tahun yang tinggal di flat tersebut.  Menurut beliau, gadis itu belum berkahwin dan polis mengesyaki dia mengandung angkara hubungan sulit dengan teman lelakinya.  “Suspek yang bekerja sebagai pelayan restoran itu mengaku melahirkan bayi berkenaan di dalam tandas rumahnya pada pukul 4 pagi ini (semalam).  “Suspek mendakwa ketika dilahirkan, bayi terbabit sudah tidak bernyawa menyebabkan dia membuang anaknya itu ke dalam longkang,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sumber : KOSMO: 04/10/11
 

Bayi Dicampak Akibat Pemerintah Mencampakkan Hukum Islam
Ketika Najib dengan begitu sombong mengatakan bahawa hukuman hudud tidak sesuai diterapkan di Malaysia tiba-tiba seorang gadis yang baru berusia 19 tahun telah mencampakkan bayinya yang baru dilahirkan dari tingkat 2 rumah sewanya. Mungkinkah si gadis tersebut ingin mengetuk kepala Najib untuk mengejutkannya, bahawa si gadis itu adalah sebahagian dari rakyat di bawah kepimpinan Najib yang menjadi ‘mangsa’ dari sistem kapitalisme yang diterapkan oleh Najib selama ini. Alangkah baiknya jika Najib sendiri dijemput dengan penuh penghormatan dan dibentangkan dengan karpet merah untuk mengutip mayat si bayi yang tidak berdosa itu. Mungkin barulah Najib dapat melihat dengan mata kepalanya sendiri luahan meloyakan sistem dan undang-undang thagut yang dipegang dan diterapkannya selama ini. Inilah natijah apabila kehidupan masyarakat diatur dengan kehidupan kapitalisme yang memberikan kebebasan kepada individu untuk berbuat apa sahaja. Individu yang hidup dengan acuan kapitalisme disuntik dengan idea kebebasan samada kebebasan bertingkahlaku, berpemilikan, beraqidah dan bersuara – kesemuanya itu menjadi pegangan bagi masyarakat yang hidup di dalam kehidupan kapitalisme. Maka adalah sesuatu yang tidak menghairankan kejadian seperti di atas berlaku.

Bagi Najib berita seumpama itu adalah sesuatu yang pastinya tidak mengejutkan beliau kerana hakikatnya beliau adalah merupakan pemimpin yang terlibat secara langsung dengan setiap apa yang berlaku, kerana selaku orang yang paling berkuasa di Malaysia di mana kuasa untuk menerapkan undang-undang itu ada di tangan beliau. Namun terbukti Najib sendiri lebih rela memilih kehidupan jahiliyyah dari kehidupan Islam untuk diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara pada hari ini. Oleh itu tidaklah mengejutkan keadaan seperti di atas muncul di tengah-tengah kehidupan masyarakat hari ini. Firman Allah SWT:

“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah”. [TMQ Al Maa-idah (5) : 50].