Perlembagaan Malaysia Sudah Lapuk!
KUALA LUMPUR 5 Okt. – Kerajaan mengambil keputusan untuk memansuhkan Akta Kediaman Terhad 1933 (Akta 377) kerana undang-undang itu sudah lapuk ditelan zaman dan tidak lagi relevan dengan keadaan semasa, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketika membentangkan Rang Undang-undang Kediaman Terhad (Pemansuhan) 2011 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri berkata, keputusan itu diambil berlandaskan dua faktor utama iaitu prinsip demokrasi dan keadilan serta faktor kemajuan ICT dan urbanisasi.
Beliau berkata, sejajar kemajuan dan pembangunan sosioekonomi yang telah berlaku, sudah tiba masanya untuk kerajaan turut akur dengan landskap sosiopolitik dan sosioekonomi yang juga telah berubah. “Kontemporari menuntut kita untuk mengkaji semula undang-undang serta amalan yang tidak selaras dengan prinsip asas demokrasi dan keadilan,” katanya.
Sebagai asasnya, kata Najib, tindakan terhadap orang yang melakukan kesalahan jenayah hendaklah diambil di bawah undang-undang sedia ada dengan mematuhi prinsip bahawa, sebarang hukuman hendaklah berdasarkan sabitan oleh mahkamah selepas mengambil kira segala bukti, sesuai dengan prinsip universal. – Bernama
“Apakah hukum Jahiliyyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ al-Ma’idah (5):50].
“…dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” [TMQ al-Ma’idah (5):44].
“…dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim” [TMQ al-Ma’idah (5):45].
“…dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik” [TMQ al-Ma’idah (5):47].
Oleh itu, bukan sahaja Akta Kediaman Terhad sahaja yang perlu dimansuhkan, bahkan Perlembagaan Persekutuan secara keseluruhannya harus dimansuhkan dan digantikan dengan syariat Islam yang sentiasa relevan hingga ke akhir zaman. [Sila baca Sautun Nahdhan Siri ke-276 sebagai lanjutan].