Perlembagaan Sekular Suburkan Maksiat

altSudah acapkali umat Islam di Malaysia terus dipaparkan dengan pelbagai cerita mual dan jijik berhubung gejala sosial yang melibatkan segelintir umat Islam di negara ini. Terbaru, tiga orang wanita Islam ditangkap kerana melakukan aksi tarian tiang (pole dancer) sambil perkaian tidak senonoh di sebuah pusat hiburan di Nilai, Negeri Sembilan. Mereka kemudiannya didapati bersalah di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan dikenakan hukuman denda sebanyak RM25. 

Namun, hukuman tersebut dianggap ringan oleh sesetengah pihak berbanding kesalahan yang mereka lakukan. Contohnya, Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainal Rijal Abu Bakar berkata, peruntukan undang-undang itu tidak realistik dan tidak setimpal dengan kesalahan moral yang dilakukan serta tidak membantu untuk mengatasi masalah sosial dan keruntuhan akhlak yang disifatkan semakin berleluasa pada masa ini.

Memang benar seperti apa yang dikatakan itu dan umum sudah pun mengetahui bahawa Malaysia menggunapakai Perlembagaan Persekutuan yang direka oleh Suruhanjaya Lord Reid sebagai hadiah  sempena kemerdekaan yang diberikan oleh British. Justeru dengan sistem demokrasi yang diterapkan sebagai sistem pemerintahan oleh Malaysia maka kuasa untuk mengubal undang-undang itu diberikan kepada manusia melalui wakil rakyat yang dipilih. Asas dan ciri yang paling utama bagi sistem demokrasi itu adalah kedaulatan milik rakyat. Di mana rakyatlah yang mempunyai kuasa yang tertinggi untuk membuat, mengubal dan memansuhkan undang-undang. Wakil rakyat yang berada di parlimen secara umumnya terlibat secara langsung di dalam proses pengubalan undang-undang. Maha Suci Allah daripada apa yang dilakukan oleh para wakil rakyat itu. Firman Allah SWT:

“hanya Allah jualah yang menetapkan hukum” [TMQ al-an’am (6) : 57].

Manusia adalah makhluk yang bersifat lemah lagi terbatas maka apa-apa yang dihasilkan oleh manusia pastinya akan bersifat lemah dan terbatas. Oleh kerana itu, adalah sesuatu yang tidak menghairankan jika ada pihak yang mengatakan bahawa perlunya menukar mana-mana akta yang difikirkan sudah lapuk. Bagi seorang muslim, samada lapuk atau tidaknya sesuatu akta dan undang-undang itu bukanlah diukur dengan nilai besar atau kecilnya denda ataupun bentuk hukuman yang dikenakan. Bagi akal manusia yang waras, sudah tentulah denda RM25 dianggap sudah tidak realistik dan tidak sesuai digunapakai pada masa kini. Hukuman 1 tahun penjara kerana melempar selipar kepada hakim yang menjalankan undang-undang buatan manusia juga dianggap sebagai keterlaluan. Inilah akibatnya jika akal manusia dibiarkan untuk menentukan baik dan buruknya sesuatu perkara. Ia pastinya akan melahirkan perselisihan, pertentangan, perbedaan dan akan terpengaruh dengan persekitaran. Inilah hakikat kemampuan akal yang digunakan untuk memutuskan nilai dan hukum bagi manusia. Sedangkan Islam sebagai suatu cara hidup yang sempurna telah menjelaskan secara terperinci tentang kedudukan dan perbedaan sesuatu hukuman itu. Ukurannya adalah apakah undang-undang itu datangnya dari Allah atau dari manusia. Apakah sumber yang melahirkan undang-undang itu? Akal atau wahyu. Inilah kayu ukur yang seharusnya digunakan oleh kita sebagai seorang muslim untuk menilai dan mengukur sesuatu perkara termasuklah dalam soal undang-undang. Firman Allah SWT:

“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah”. [TMQ al-Maidah (5):50].

Hakikatnya, di dalam sistem demokrasi, semua undang-undang, akta, enekmen, ordinan mahupun perlembagaan itu sendiri adalah batil kerana ianya lahir dari akal manusia semata-mata. Kesemuanya adalah undang-undang thaghut. Dan tidak selayaknya mana-mana umat Islam menerima dan menggambilnya untuk diterapkan ditengah-tengah kehidupan individu, masyarakat dan negara. Apakah mereka yang terlibat dengan perkara ini tidak mahu beriman dengan firman Allah SWT ini;

 “Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada taghut itu. Dan syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh”.
[TMQ an-Nisaa (4) : 60].

Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya
. [TMQ an-Nisaa (4) : 65].

Sumber:  Kosmo Online 30/3/2012