Sekular kepada sekular, berubahkah?

Semasa berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Bersama Timbalan Perdana Menteri di sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu pada 4 Oktober lepas, Datuk Seri Najib Tun Razak, menyatakan bahawa Barisan Nasional (BN) perlu berubah kepada keadaan yang lebih baik agar dapat diterima semula oleh rakyat.
Menurut beliau, keputusan pilihan raya lalu adalah isyarat yang paling jelas untuk menyedarkan semua peringkat kepimpinan BN bahawa perikatan itu perlu melakukan perubahan.

Gesaan untuk BN melakukan perubahan ini menjadi isu panas setelah kekalahan pakatan tersebut di dalam pilihan raya umum ke-12 lepas. Sudah terhantuk barulah BN terngadah. Selama ini mereka begitu takbur dengan kehebatan mereka memerintah negara dan merasakan mereka akan selamanya kuat dan mendapat sokongan rakyat. Kini segala-galanya telah berubah dengan hantukan kuat yang mereka hadapi.

Kata-kata Najib ini sebenarnya boleh disifatkan sebagai ‘isyarat’ agar orang-orang BN menyokongnya untuk berada di tempat tertinggi parti secepat mungkin, kerana dialah yang kononnya akan membawa perubahan itu. Dengan kata lain, perubahan mungkin tidak dapat dilakukan selagi mana Pak Lah masih berada di tempat nombor satu itu. Justeru, harapan mestilah diletakkan kepada Najib agar terus memimpin BN kepada perubahan.

Aneh! Apakah perubahan yang ingin dibawa oleh BN? Sejak lebih 50 tahun lepas, BN tidak pernah berhenti-henti bercakap dari setahun ke setahun bahawa merekalah satu-satunya parti yang telah membawa perubahan itu dan ini kepada rakyat hingga rakyat dapat mengecapi kemerdekaan negara dengan penuh nikmat saban tahun. Kini BN melaungkan perubahan pula! Ini dari satu segi. Dari segi lain, BN yang terdiri dari pelbagai parti komponen dan yang terbesar adalah UMNO, diikuti oleh MCA dan MIC, bagaimanakah parti-parti ini ingin berubah di bawah BN, kerana masing-masing mempunyai agenda yang tersendiri, khususnya untuk membela kaum masing-masing. Yang lebih penting, bagaimanakah mereka ingin berubah ke arah kebaikan walhal teras gabungan mereka adalah ‘maslahat’. dan mereka hanya akan bekerjasama selagi mana ada maslahat. Jika telah tiada maslahat, mana nescaya akan terburailahlah ikatan mereka yang rapuh ini.  

Justeru, perubahan macamanakah yang BN idamkan? Mereka telah memerintah dengan sistem sekular dan undang-undang kufur selama lebih 50 tahun. Jika sekadar menukar pemimpinnya sahaja, namun sistem dan sikap pemimpinnya sama sahaja dengan pemimpin sebelumnya bahkan mungkin lebih teruk, perubahan sedemikian tidak ada maknanya langsung.

Apatah lagi jika dinilai dari sisi Islam, tidak ada satu perubahan pun yang membawa ke arah kebaikan, kecuali dengan mengambil hukum-hakam Islam untuk diterapkan. Inilah perubahan yang akan diredhai oleh Allah dan inilah satu-satunya perubahan yang bernilai di sisi Allah SWT. Ini adalah kerana apa yang penting bukan siapa yang memerintah, tetapi sistem apa yang dilaksanakan oleh si pemerintah. Dengan kata lain, jika Pak Lah sekarang ingin bertaubat dan menerapkan sistem Islam berdasarkan Al-Quran dan Sunah, maka kempimpinan negara tidak perlu bertukar kepada sesiapa pun, selama mana Pak Lah menerapkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya.

Malangnya BN tetap berpegang teguh dengan ajaran sekular kerana inilah dasarnya sejak dulu, dan mereka tidak pernah menunjukkan perubahan selama ini. Sistem perundangan yang ada pada hari ini contohnya telah terbukti amat bertentangan dengan syariat Islam, dan mereka tidak pernah mencuba walau sekali untuk mengubahnya kepada sistem perundangan Islam walaupun sudah 51 tahun negara merdeka. Lebih buruk lagi, sistem perundangan yang ada pada hari ini telah diperkudakan oleh kerajaan memerintah untuk menjamin penguasaan mereka secara berterusan ke atas rakyat. Sesiapa saja yang berani membongkar dan mendedahkan segala penyelewengan dan kerosakan yang diakibatkan oleh sistem yang sedang diterapkan, pasti akan ditangkap dan disumbat ke dalam penjara dengan alasan keselamatan. Tidak cukup dengan sistem perundangan yang menafikan hak menyuarakan pendapat dan memuhasabah para pemimpin, sistem ekonomi yang diterapkan pula sejak dulu menjerut leher rakyat, kerana hanya mementingkan dan mengkayakan golongan pemerintah dan kroni Kapitalis mereka sahaja.

Justeru, apakah kita mengharapkan BN boleh berubah dan akan berubah kepada Islam, walhal itulah teras pemerintahan mereka, malah parti-parti komponennya sendiri terdiri dari parti-parti yang bukan Islam. UMNO sendiri ditubuhkan atas dasar assabiyyah dan wathaiyyah yang bercanggah dengan Islam dan hingga kini mereka masih memperjuangkan perkara haram tersebut. Lantas, mereka menyeru kepada perubahan, aneh sungguh!

Jadi, jika BN mahu melakukan perubahan, silalah mula membelek kitab Al-Quran dan Hadis-hadis, agar mereka tahu bagaimanakah perubahan yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya. Jangan berubah mengikut pandangan akal, tetapi jadikanlah dua perkara yang ditinggalkan oleh Rasulullah itu sebagai petunjuk dan panduan. Barulah dinamakan perubahan dan barulah selamat pemimpin-pemimpin Islam ini dunia dan akhirat.