Hapuskan Akta Mesin Cetak

KUALA LUMPUR, 7 April – Kementerian Dalam Negeri akan mencadangkan kepada kerajaan supaya memansuhkan dua akta yang tidak relevan dan mengkaji tiga lagi akta supaya disesuaikan mengikut peredaran semasa.  Menterinya, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, akta yang boleh dimansuhkan ialah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Akta Kediaman Terhad 1953. Tambah beliau, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan boleh dimansuhkan bagi membolehkan syarikat- syarikat penerbitan bergerak lebih bebas sejajar dengan tuntutan rakyat masa ini. “Rakyat tidak suka akta itu, syarikat-syarikat media pun tidak suka akta itu,” katanya pada sidang akhbar khas di kediaman beliau di sini hari ini. Namun, Syed Hamid mencadangkan agar pemansuhan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dibuat setelah mengambil kira pandangan semua pihak melalui perdebatan terbuka. Bagi Akta Kediaman Terhad pula, beliau mencadangkan ia dimansuhkan sepenuhnya kerana boleh dianggap telah lapuk pada zaman ini.

Sumber : Utusan Malaysia Online, 8/4/2009

Ya memang benar, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan ini tidak disukai rakyat dan memansuhkannya adalah satu cadangan yang baik. Meskipun begitu, apa yang pasti, ia masih tidak akan dapat menutup keburukan yang terhasil akibat dari penerapan sistem kapitalis sekularis kufur hari ini.  Penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa, rasuah, kemelesetan ekonomi, perpecahan umat dan sebagainya masih menjadi bisul-bisul sistem yang ada hari ini.