Akta DNA 2008 – Lagi kezaliman akan muncul

Semalam, 18 Ogos 2008 merupakan hari sebutan pertama rang Undang-undang Indentifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) 2008 di Dewan Rakyat. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar yang membentangkan rang-undang-undang itu berkata, kerajaan sudah merancang untuk mewujudkan akta tersebut sejak tahun 2001 bagi memudahkan proses pengecaman penjenayah.

Undang-undang tersebut mampu menguatkuasakan suatu peraturan yang mewajibkan suspek jenayah memberi sampel DNAnya sebagai membantu siasatan pihak berkuasa. Di samping itu, undang-undang yang pertama kali diperkenal di Malaysia itu juga bakal membangunkan Bank Data Forensik DNA, analisis DNA, penggunaan profil DNA dan sebarang maklumat berkaitannya yang diperoleh dalam proses pengumpulan bahan bukti.

Walaupun Syed Hamid menjelaskan bahawa perancangan menggubal akta tersebut telah wujud dari tahun 2001, amat aneh kenapa ia baru dibentangkan di Parlimen pada tahun 2008. Apakah begitu susah untuk membentangkan sesuatu akta sehingga perlu mengambil masa sehingga 8 tahun? Apa pun justifikasi yang diberikan, namun rakyat tidaklah sebodoh itu untuk menilai bahawa akta tersebut hanya dibentangkan selepas keengganan Anwar Ibrahim menyerahkan sampel DNAnya kepada pihak berkuasa, berhubung kes liwat yang dihadapinya. Selepas akta ini diluluskan, sesiapa sahaja suspek yang enggan memberikan sampel DNAnya, maka ini dengan sendirinya menjadi satu kesalahan yang boleh dihukum. Ini dari satu aspek.

Dari aspek yang lain, kesan dari kelulusan undang-undang itu nanti, pastinya akan melahirkan lebih banyak kezaliman. Bayangkan manipulasi yang boleh dilakukan oleh pihak yang berkenaan di dalam suatu kes yang melibatkan DNA. Yang pasti, tentunya hanya hospital atau pusat perubatan yang diluluskan oleh kerajaan sahaja yang akan dibenarkan memeriksa dan ‘mensahkan’ sesuatu kes yang terkait dengan DNA. Jadi, rakyat yang kebanyakannya ‘buta-DNA’ akan pasti boleh ‘dizalimi’ dengan begitu mudah sekali. Contohnya, jika seorang yang bernama Hamid merupakan seorang yang dibenci dan ingin ditangkap oleh kerajaan, maka DNAnya hanya dengan mudah dapat ‘dicuri’ darinya dan diletakkan di tempat kejadian. Dengan kecekapan pihak polis dalam melakukan ‘set up’, hal ini lebih mudah dilakukan umpama meletakkan dadah di rumah suspek, dan kemudian menangkap suspek kerana disyaki mengedar dadah. Tidak berhenti di situ, dadah tersebut akan dibawa ke makmal (yang telah disahkan oleh kerajaan) untuk ditimbang. Suspek itu sendiri selalunya tidak pernah tahu akan berat dadah tersebut, maka ‘terpulanglah’ kepada kerajaan menentukan berat ringannya, dan suspek tadi pastinya tidak akan diberi peluang untuk memerhati apakah dadah tadi ditimbang dengan cara yang benar atau tidak. Bayangkan hal yang sama berlaku ke atas kes ‘pemeriksaan’ DNA oleh pihak kerajaan! Jadi, bayangkanlah betapa mudahnya urusan ‘set up’ jika ia ingin dilakukan nanti.

Itu ditinjau dari aspek perundangan sekular. Akta ini juga turut menjadi bukti kepada satu lagi projek ‘pembuatan’ undang-undang oleh kerajaan sekular Malaysia Darul Hadhari! Dari aspek perundangan Islam, mereka tidak pernah mengkaji sama ada penggunaan DNA sebagai salah satu aspek bayyinat (pembuktian) dibenarkan oleh Islam atau tidak!

Ahkamul bayyinat (hukum pembuktian) di dalam Islam telah pun jelas dan sempurna sejak zaman Rasulullah lagi. Menurut Ahmad ad-Da’ur di dalam kitabnya, Ahkamul Bayyinat Fil Islam, hanya ada empat kategori ‘pembuktian’ (bayyinat) sahaja yang diterima oleh Islam iaitu pengakuan, kesaksian, sumpah dan juga dokumen bertulis yang meyakinkan. Selain dari ini, ia tidak termasuk sebagai pembuktian, tetapi hanyalah sebagai ‘qarinah’ (indikasi) yang menyokong. Qarinah yang menyokong tidak boleh mensabitkan seseorang itu dengan kesalahan, kerana qarinah bukan salah satu dari bentuk atau hukum pembuktian itu sendiri. Contohnya di dalam kes zina, Islam telah menetapkan hukum pembuktiannya yakni mesti mendatangkan empat orang saksi (lelaki). Tidak cukup dengan empat saksi, Islam menetapkan lagi bahawa kesemua saksi itu mestilah melihat dengan jelas kejadian zina itu umpama timba masuk ke dalam perigi. Selain pembuktian melalui empat orang ‘saksi’, Islam juga menetapkan ‘pengakuan’ dari penzina sebagai sabit kesalahan.

Justeru, jika tidak ada saksi dan tidak ada pengakuan, tetapi jika diperiksa dan di dapati melalui kaedah DNA dan ternyata terdapat DNA lelaki dan wanita yang berzina tersebut di dalam tubuh masing-masing, hak ini hanyalah menjadi ‘qarinah’ bahawa telah terjadi perzinaan di antara lelaki dan wanita terbabit. Namun, tanpa adanya empat orang ‘saksi’ atau ‘pengakuan’ dari mereka yang berzina, maka mereka tidak boleh disabitkan dengan kesalahan zina atau dengan kata lain tidak boleh dihukum. Ini kerana, tidak adanya ‘pembuktian’ yang ditetapkan oleh nas, untuk membolehkan mereka disabit atau dihukum. Yang wujud hanyalah ‘aktiviti’ zina (melalui pengesahan DNA), namun ‘pembuktian’ (bayyinat) zina langsung tidak wujud!

Selain dari ini, di bawah sistem Kapitalis sekular yang diamalkan di Malaysia, dengan ribuan kes dan bentuk rasuah dan penyelewengan yang dilapor melibatkan hakim-hakim dan pegawai-pegawai atasan polis, apakah kita akan meyakini bahawa Akta DNA nanti akan dapat merubah keadaan kepada lebih baik? Atau sebaliknya, kes rasuah dan penyelewengan hakim dan polis akan terus bertambah dengan wujudnya akta baru yang bertentangan dengan Islam ini?

Yang lebih penting, apakah para pembuat undang-undang kita masih merasakan mereka hebat dari Allah SWT sehingga mereka sekali lagi mengambil hak Allah dalam membuat hukum? Alangkah beraninya mereka dengan azab Allah!!!