Kata-kata ‘Membodek’ Dari Seorang Ahli Politik Sekular
Sumber : Utusan Malaysia 11/12/11
“Najib adalah ‘role model’ terbaik untuk generasi muda”! Begitulah kata-kata Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), pertubuhan yang asas perjuangannya adalah assabiyyah. Bagi mereka yang memahami selok-belok politik sekular hari ini, kata-kata yang memualkan ini adalah tidak lain hanya bertujuan untuk ‘membodek’ Najib menjelang pilihanraya umum ke-13 yang nampaknya semakin hampir.
Sebagai seorang Muslim, marilah kita berfikir sejenak dengan pemikiran yang jernih dan mendalam. Apakah dengan hanya sekadar mengajak generasi muda menonton bola sambil minum teh di rumahnya dan melakukan ‘transformasi’ mendekatkan diri dengan generasi muda melalui pelbagai aktiviti yang rata-rata berbentuk maksiat, Najib sudah layak dinobatkan sebagai seorang “role model” bagi golongan muda hari ini? Selepas ini, siapa pula? Apakah mungkin Tan Sri Muhyidin Yassin, Dato’ Sabery Chik, Khairy Jamaluddin juga akan menyandang gelaran “role model” ini? Jauh panggang dari api sebenarnya jika itulah yang akan kita harapkan. Sungguh dangkal cara berfikir seorang ahli politik sekular seperti Ibrahim Ali ini. Bagaimana mungkin kita boleh mengiakan gambaran bahawa Najib adalah “ role model” golongan muda sedangkan faktanya hari ini kita dapat melihat bagaimana masalah sosial dan kes jenayah di kalangan remaja dan belia semasa beliau berkuasa sekarang ini masih tetap tidak menemui titik penghujungnya. Masalah golongan remaja hari ini semakin lama semakin parah. Anak-anak muda Malaysia kini terus disogok dan dikhayalkan dengan pelbagai bentuk hiburan, budaya kuning Barat, serta pemikiran-pemikiran kufur Barat seperti kebebasan, hak asasi manusia dan pelbagai lagi bentuk rancangan yang merosakkan akhlak para remaja. Kesemua bentuk kerosakan ini ternyata terus berkembang dengan suburnya di zaman pemerintahan Najib. Dengan semua perkembangan negative ini, apakah kita wajar memberikan gelaran “role model” kepada Najib untuk dicontohi oleh para belia? Sebagai seorang muslim, kita hendaklah berfikir terlebih dahulu sebelum berkata-berkata. Ibrahim Ali hendaklah sedar bahawa kata-katanya akan dihisab di hadapan Allah SWT di hari akhirat kelak. Sebagai seorang muslim juga, kita wajib mengetahui siapa dan apakah kriteria “role model” untuk kita ikuti. Tidakkah cukup firman Allah SWT di bawah ini menjawab segala-galanya?
”Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)” [TMQ al-Ahzab (33) :21].
“Tidaklah kami mengutus kamu (Muhammad) selain sebagai rahmat bagi semesta alam” [TMQ Al Anbiyaa’(21):107]
“Dialah yang mengutus Rasul-Nya(Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar dimenangkan-Nya terhadap semua agama, meskipun orang-orang musyrik membencinya.”[TMQ Ash Shaff (21):9]
“Dialah yang mengutus Rasul-Nya(dengan membawa) petunjuk (Al Quran) dan agama yang benar agar dimenangkan-Nya terhadap semua agama, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya”. [TMQ At Taubah(9):33]
Allah SWT sebagai Rabb yang Maha Mengetahui telah menegaskan kepada kita siapakah “role model” yang sejati untuk kita ikuti. Tiada yang lebih mulia dan lebih layak kecuali junjungan besar kita Muhammad SAW. Begitu tersasar sekali gambaran Ibrahim Ali!!