Insafilah Aidilfitri Dengan Islam

Sempena perutusan Hari Raya Aidilfitri, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  mengajak rakyat dan umat Islam di negara ini untuk memastikan negara ini kekal aman dan selamat serta menginsafi bahawa kesejahteraan dan keselamatan yang dinikmati hari ini “bukanlah datang secara bergolek”. Dalam perutusannya itu, Najib berkata, kerajaan menyedari bahawa sebuah Malaysia maju perlulah juga sebuah Malaysia yang selamat dan sejahtera. “Kita mahukan sebuah Malaysia yang aman daripada ancaman luar dan dalaman, di mana kawasan kejiranan dan jalan-jalannya bebas daripada jenayah. “Sebuah negara di mana rakyatnya merasa aman dan selamat. Kesimpulannya, sebuah negara yang terbaik untuk membesarkan anak-anak Malaysia,” katanya. Bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan, Perdana Menteri berkata, ia memerlukan pendekatan yang bersepadu serta rakyat Malaysia yang lebih prihatin dan peduli kepada keluarga, jiran-jiran, rakan-rakan dan kepada rakyat Malaysia seluruhnya. “Kita tidak boleh menyerahkan bulat-bulat tanggungjawab memerangi jenayah kepada pihak berkuasa tanpa sumbangan kita sebagai rakyat yang prihatin. “Jika kita membiarkan jenayah berlaku tanpa tindakan, kita sebenarnya akan hanya menjejaskan kesejahteraan dan keselamatan bersama,” katanya.

Ya, memang benar keadaan di negara masih boleh dianggap lebih baik daripada kebanyakan negara umat Islam di dunia, tetapi kita jangan lupa bahawa negara ini pun mengalami keadaan yang tidak selamat disebabkan oleh sistem kehidupan masyarakat yang berlandaskan kepada sistem ciptaan akal manusia untuk mengaturkan kehidupan dan bukannya berdasarkan kepada sistem Pencipta manusia sendiri iaitu Allah SWT. Suatu laporan daripada Malaysian Insider pada hari Jumaat, 13 Julai 2012 yang lepas ada menyebutkan bahawa bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan mendakwa kadar jenayah di Malaysia sememangnya telah meningkat dan meminta agar pihak berkuasa tidak menyorokkan fakta sebenar kepada orang ramai. Satu lagi laporan dari The Malaysian Insider pada hari Isnin, 9 Julai 2012 memaparkan tajuk “ Rakyat Malaysia masih merasa tak selamat walaupun statistik kadar jenayah menurun”.

Tanpa laporan daripada The Malaysian Insider itu pun, hampir setiap hari kita dihidangkan dengan kejadian jenayah samada di dalam media cetak mahupun elekktronik. Jadi, apakah dengan laporan penurunan statistik yang dilaporkan hampir setiap tahun oleh PDRM itu dapat meredakan kerisauan dan kegelisahan rakyat? Jawapannya dapat dilihat dengan langkah-langkah keselamatan yang sentiasa diambil oleh kita setiap kali ingin keluar rumah dan meninggalkan kenderaan. Setiap rumah, pangasapuri, mesin ATM di negara mesti dilengkapi dengan sistem kawalan keselamatan untuk mengelakkan darpada kecurian dan rompakan. Jadi apa lagi yang hendak diharapkan dengan laporan penurunan statistik jenayah itu? Selagi  semua pihak, sama ada pihak pembangkang dan pihak kerajaan terus mencari-cari alasan, mengelak atau menangguhkan perlaksanaan Hukum Hudud dan syariat Islam yang lain, maka selagi itulah kadar jenayah di Malaysian akan terus bertambah sebagai balasan tidak melaksanakan hukum Allah di dunia ini. Oleh itu adakah memadai hanya sekadar bersyukur untuk terus hidup di dalam sistem kehidupan yang dilahirkan oleh demokrasi liberal yang serba kecoh ini, tanpa berusaha untuk mengubahkan keadaannya?

Hadis Shahih al-Bukhari menceritakan bahawa Adi bin Hatim mengatakan:

“Ketika saya ada di sisi Nabi saw. tiba-tiba datanglah seorang laki-laki kepada baginda yang mengadukan tentang penyamun. Lalu Rasulullah saw, bersabda : “Wahai Adi, apakah kamu melihat Hirah?” Saya menjawab : “Belum melihatnya, saya telah diberi tahu tentang Hirah itu”. Rasulullah saw. bersabda : “Jika kamu hidup lama (panjang umur) niscaya kamu akan melihat seorang wanita berangkat dari Hirah (Irak) sehingga tawaf di Ka’bah, beliau tidak takut pada seseorang kecuali kepada Allah”.

Hadis ini menceritakan apabila Syariat Syariah telah dilaksanakan keseluruhannya di semananjung Arab, maka keamanan telah tercapai sehinggakan seorang wanita boleh bergerak daripada wilayah al-Hirah (Irak) ke Baitullah untuk melaksanakan tawaf tidak akan takut kepada sebarang ancaman keselamatan oleh penyamun atau perompak. Sesungguhnya apa yang diceritakaan di hadis atas adalah piawaian yang patut diikuti, iaitu piawaian yang telah digariskan oleh Al Quran dan Sunnah Rasulullah (saw), bukannya piawaian 1-Malaysia, bukannya piawaian Islam moderat atau piawaian Islam liberal semuanya diambil daripada liberal demokrasi yang banyak mendatangkan kerosakan dan huru-hara dalam masyarakat.
Wa Allahu A’lam.

Rujukan : Kosmo  19/8/2012

Rujukan: The Malaysian Insider, Jumaat Jul 13, 2012, Isnin Jul 9, 2012