Model Separuh Bogel vs Mrs Universe, Bukti Kerosakan Sistem Sekular

Sungguh aneh situasi di Malaysia. Dua orang model yang berada dalam keadaan separuh bogel telah didenda sebanyak RM400, manakala pertandingan Mrs Universe yang menampilkan puluhan wanita di dalam acara-acara umum yang mana hampir keseluruhannya berpakaian lebih daripada separuh bogel serta dilakukan secara terbuka dan besar-besaran dibiarkan begitu sahaja para pesertanya termasuk penganjurnya tanpa sebarang tindakan.

Apa yang berlaku ini menjadi salah satu bukti yang jelas bahawa kerajaan Malaysia bukanlah Negara Islam yang menerapkan Sistem Islam secara keseluruhan. Hujah dan alasan yang digunakan dalam mengenakan tindakan ke atas kedua-dua orang model tersebut adalah kerana dikatakan ‘menimbulkan kegusaran am kepada awam’, dan bukannya kerana melanggar hukum syarak. Lihatlah kecelaruan undang-undang sekular dalam menafsirkan ‘kegusaran am kepada awam’, sedangkan pada masa yang sama pertandingan Mrs Universe yang turut ‘menimbulkan kegusaran am kepada awam’ langsung tidak diambil peduli walaupun ia dilakukan di tempat umum dan disaksikan oleh lebih ramai orang.

Sudah sampai saatnya kita menolak sistem sekular yang telah merendahkan martabat dan juga akhlak manusia serta digantikan dengan sistem Islam yang sempurna yang mampu memberikan kesejahteraan kepada manusia sekaligus meninggikan darjat manusia di sisi Allah di dunia dan akhirat. Jika sekiranya kita berpaling daripada seruan Allah dan RasulNya, maka ingatlah kepada firman Allah SWT di dalam al-Quran:
 

وَمَنْأَعْرَضَعَنذِكْرِيفَإِنَّلَهُمَعِيشَةًضَنكاًوَنَحْشُرُهُيَوْمَالْقِيَامَةِأَعْمَى
“Dan barangsiapa berpaling daripada peringatanKu, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta” [TMQ Thahaa (20):124]