Wajib bersatu atas dasar akidah, bukan bangsa!
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi mengumandangkan agenda Melayu dalam Perhimpunan Perpaduan Melayu yang diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil. Retorik Najib kali ini ialah selagi ada bulan dan bintang dan selagi darah Melayu mengalir dalam tubuh, selagi itulah agenda Melayu akan terus diperjuangkan.
Agenda apa lagi yang mesti dimainkan UMNO, sebagai parti assabiyyah Melayu terbesar di Malaysia jika bukan agenda Melayu? Sudah berpuluh tahun lamanya agenda assabiyyah yang diharamkan oleh Allah ini diperjuangkan oleh UMNO, namun tak juga selesai, walhal kuasa ada pada tangan Melayu. Kenapa, apa masalahnya? Jawapan dan kesimpulannya mudah sahaja yakni agenda ini memang tidak akan selesai dan dibuat supaya tidak selesai. Ini kerana, jika agenda Melayu sudah selesai, maka UMNO tidak lagi relevan!
Oleh itu, bangsa Melayu dikatakan masih belum mencapai impian, masih ketinggalan berbanding bangsa lain, masih perlu mendaki untuk menjadi maju, masih belum menjadi tuan di dunia, masih itu dan masih ini. Semangat Melayu mesti terus dibakar agar orang-orang Melayu melihat bahawa pemimpin UMNO adalah pemimpin sejati yang menjaga kepentingan Melayu.
Realitinya, UMNO di bawah kepimpinan Najib melakukan pelbagai usaha untuk mendapatkan sokongan Cina dan India, khususnya bagi terus mendapat mandat dalam pilihan raya. Siapa tidak tahu yang gagasan 1Malaysia Najib adalah usaha ke arah menarik orang bukan Melayu agar UMNO terus berkuasa di Malaysia. Namun akhirnya UMNO pimpinan Najib kecundang dahsyat dalam PRU-13 kerana ditolak oleh pengundi Cina dan India, sebuah kekalahan yang lebih buruk dari Pak Lah yang disifatkan sebagai Perdana Menteri yang lemah oleh banyak pihak. MCA dan MIC pula tidak habis-habis dilanda masalah dalaman yang teruk yang menjejaskan sokongan kaum Cina dan India kepada mereka, yang sekali gus menjejaskan UMNO dan BN.
Oleh yang demikian, agenda Melayu perlu dimainkan lagi kerana Melayulah yang menjadi harapan Najib dan UMNO untuk terus hidup. Janji bulan dan bintang perlu ditabur kepada bangsa Melayu kerana Presiden UMNO itu mengharapkan yang orang-orang Melayu sentiasa buta politik dan bergantung pada UMNO untuk terus mencapai impian.
Ini dari satu aspek. Dari aspek yang lain, sesungguhnya Najib dan pemimpin UMNOlah yang sering membuatkan orang-orang Melayu berpecah sesama sendiri. Contoh yang mudah, majoriti orang-orang PAS adalah Melayu, tetapi oleh sebab perbalahan politik yang tak sudah antara UMNO-PAS, perebutan kuasa selama lebih 50 tahun di bawah sistem kufur demokrasi, maka tindakan hentam-menghentam, fitnah-memfitnah, caci-mencaci dan banyak lagi tidak pernah bernoktah hingga kini, semuanya berlaku sesama Melayu! Satu masa kononnya menyeru penyatuan Melayu, dalam masa yang sama menjadikan Melayu berseteru! Inilah amalan politik dan politikus dalam demokrasi! Selagi ada demokrasi, selagi itulah sistem ini akan mempergaduhkan sesama Muslim, tak kira apa bangsanya sekalipun, kecuali orang-orang yang bertakwa di kalangan mereka.
Sesungguhnya penyatuan atas dasar bangsa adalah diharamkan oleh Allah SWT. Muslim wajib bersatu atas dasar akidah, itu sahaja! Allah SWT telah mengingatkan kita akan perbalahan atas dasar bangsa yang terjadi antara Aus dan Khazraj yang hampir menjerumuskan mereka ke dalam neraka, tetapi kemudiannya mereka kembali sedar atas dasar Islam. FirmanNya,
“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (semasa Jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hati-hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepada kamu, agar kamu berpetunjuk” [TMQ Ali Imran (3):103]
Bilakah agaknya UMNO akan sedar bahawa Rasulullah SAW tidak mengaku sebagai umatnya, orang yang memperjuangkan assabiyyah? Sabda baginda,
“Bukanlah daripada kami orang-orang yang menyeru kepada assabiyyah, berperang atas dasar assabiyyah dan mati kerana (mempertahankan) assabiyyah” [HR Abu Daud]
UMNO juga patut sedar bahawa tugasnya sebagai parti pemerintah adalah untuk menerapkan hukum Allah SWT dalam pemerintahan. Jika Najib menerapkan hukum Allah secara kaffah, Insya Allah semua Melayu dan bangsa-bangsa lain yang Muslim akan menyayangi Najib dan yang lebih penting, Allah SWT akan meredhai hambaNya yang menerapkan hukumNya. Namun sayangnya, kita tidak melihat tanda-tanda (untuk menerapkan hukum Allah) itu ada pada Perdana Menteri Malaysia ini!