Mahathir-Najib: 2×5 atau 5×2?
Negara kini sedang menyaksikan serangan besar-besaran oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Mahathir sudah tidak berlapik lagi menyerang Najib dan meminta Najib meletak jawatan demi menyelamatkan UMNO dan Malaysia. serangan bertubi-tubi oleh Mahathir ini nampaknya sudah tidak berdaya lagi ditepis oleh Najib.
Baik Mahathir mahupun Najib, masing-masing mempunyai penyokongnya sendiri dalam UMNO dan kerajaan. Kerana itulah, ramai penganalisis yang membuat pelbagai jangkaan akan nasib Perdana Menteri ke-enam ini sehingga ada yang menjangkakan Najib akan jatuh sebagaimana Pak Lah dahulu setelah diserang dengan hebat oleh Mahathir. Bekas Perdana Menteri itu mempersoalkan kelayakan dan kewibawaan Najib dalam mengurus negara yang disifatkannya merosakkan negara dengan pelbagai isu seperti 1MDB, pembaziran, penyelewengan dan pelbagai skandal lainnya, termasuklah sekarang menggunakan ugutan ke atas siapa yang tidak menyokongnya.
Mahathir memang terkenal dengan kebijakan, ketegasan dan kelantangannya. Justeru, tidak hairanlah kalau serangan Mahathir mendapat perhatian bukan sahaja dari ahli UMNO, malah seluruh negara.
Namun, di sebalik konflik atau serangan ini, kita melihat isu yang dibangkitkan tidak dikaitkan dengan Islam sedikit pun. Walaupun isu pemborosan dan penyelewengan dibangkitkan, namun semua serangan ditujukan atau dinilai daripada aspek peribadi atau pengurusan Najib semata-mata.
Serangan atau kritikan utama sepatutnya dinilai dari aspek Islam terlebih dahulu. Manakala kewibawaan dalam pengurusan adalah aspek kedua. Namun, persoalan kewibawaan juga turut tidak terpisah dari Islam. Dengan kata lain, “kesalahan” Najib yang utama, sebagaimana kesalahan Dr Mahathir juga, adalah tidak menerapkan Islam dalam pemerintahan negara. Ini yang wajib dikritik habis-habisan. Baik Najib mahupun Mahathir, kedua-duanya tidak menerapkan hukum Allah tatkala mereka berkuasa! Inilah kesalahan utama pemimpin!
Sebagai pemerintah, amanah yang mereka pikul adalah untuk menerapkan apa yang diturunkan oleh Allah SWT berupa hukum-hakam yang terkandung dalam al-Quran dan juga al-Hadis. Sistem pemerintahan negara wajib diatur dengan Islam, sistem ekonomi wajib diatur dengan Islam, sistem pergaulan (sosial) juga wajib diatur dengan Islam, begitulah juga dengan dasar pendidikan dan luar negeri, semuanya wajib diatur dengan Islam. Jika ini tidak dilakukan, inilah kesalahan dan dosa yang paling besar yang ditanggung oleh setiap pemimpin!
Apabila hilangnya amanah pemerintahan ini, maka hilanglah amanah yang lain satu demi satu dan hilanglah kehidupan Islam dalam diri pemimpin. Kerana itulah munculnya pelbagai penyelewengan, pembaziran, skandal dan lain-lain. Rasulullah SAW pernah bersabda,
“Sungguh ikatan Islam akan terurai simpul demi simpul. Setiap kali satu simpul terurai maka manusia akan berpegang kepada simpul berikutnya. Simpul yang pertama terurai adalah pemerintahan dan yang terakhir adalah solat” [HR Ahmad].
Sebagai Muslim, kita tidak seharusnya menilai segala penyelewengan, pembaziran dan skandal yang berlaku dalam pemerintahan hari ini dari aspek ekonomi (yang merugikan negara) semata-mata, tetapi wajib dinilai dari aspek syarak, halal dan haramnya.
Mahathir mengakui telah melakukan kesilapan dengan melantik Pak Lah sebagai Perdana Menteri menggantikannya. Kemudian beliau bergembira apabila Najib mengambil alih pemerintahan dari Pak Lah. Kini Mahathir mengkritik Najib sebagai orang yang lebih teruk dari Pak Lah.
Sesungguhnya siapa sahaja yang naik menjadi Perdana Menteri Malaysia, malah Mahathir sendiri yang pernah menjadi Perdana Menteri, tidak ada kebaikan kepada mereka dan kepada umat, apabila mereka tidak menerapkan Islam. Yakin dan percayalah, Mahathir dan kita semua akan terus menyaksikan kekorupan demi kekorupan selagi tidak naiknya seorang Khalifah yang memerintah dengan Kitabullah dan Sunnah RasulNya.