Akankah Najib letak jawatan atas desakan Mahathir?
Serangan Tun Dr Mahathir terhadap Datuk Seri Najib Razak kini sudah boleh dikatakan sampai kepada kemuncak. Bekas Perdana Menteri itu sudah tidak berlapik lagi dan mendesak habis-habisan agar Najib meletak jawatan. Bertalu-talu peluru ditembak oleh Mahathir ke arah Najib tanpa henti.
Kata-kata propaganda Mahathir “saya tahu saya keseorangan” ternyata sungguh berkesan. Ia berjaya mengundang sokongan banyak pihak kepada beliau, termasuk dari kalangan UMNO sendiri. Berduyun-duyun pihak yang kemudian menyatakan “kami di belakang Tun” yang menunjukkan pancing Mahathir memang mengena.
Kata-kata Mahathir ini tidak ubah seperti kata-kata propaganda George Bush kepada dunia dalam usahanya memerangi pengganas, “either you are with us or with the terrorists”. Kata-kata ini ternyata berjaya menarik sokongan dunia terhadap Bush sehingga ramai pemimpin dunia, apatah lagi dunia Islam, berpusu-pusu berpihak kepada Bush dalam usaha bekas presiden AS itu memerangi ‘pengganas’ yang sebenarnya memerangi Islam.
Persoalan yang bermain di minda ramai dan diambil kesempatan oleh pembangkang ialah, bilakah Najib berjaya “dijatuhkan” oleh Mahathir? Isu ini diapi-apikan lagi oleh pembangkang dan tidak ketinggalan puak-puak tertentu dalam UMNO yang selama ini sudah berbulu dengan Najib dengan pelbagai skandal yang berlaku di zamannya ini.
Tun Abdullah Badawi dulu pun meletak jawatan atas desakan Mahathir dan dari dalaman UMNO sendiri. Kini Najib berhadapan perkara yang sama, cuma setakat ini belum nampak pemimpin tertinggi lain dalam UMNO yang berani bersuara secara terbuka. Biasalah, periuk nasi amat penting bagi pemimpin UMNO. Biar mati anak, jangan mati periuk nasi, mungkin itulah peribahasa yang tepat untuk menggambarkan ketamakan pemimpin UMNO. Jawatan dan projek adalah segala-galanya bagi parti assabiyyah Melayu terbesar itu. Hentam pemimpin, maka hilanglah jawatan dan projek, dua perkara yang sangat ditakuti oleh pemimpin UMNO daripada ketakutan bertemu dengan Allah di akhirat!
Pokok persoalannya, kalaulah Najib meletak jawatan sekalipun, maka apakah pemimpin UMNO yang naik menggantikan Najib adalah lebih baik daripada anak Tun Razak itu? Persoalan inilah yang sering tidak diambil kisah oleh Mahathir dan banyak pihak, termasuk pembangkang. Dulu pembangkang turut memainkan peranan penting dalam melaga-lagakan Pak Lah dengan Mahathir dan juga dengan Tan Seri Muhyiddin Yassin, dengan harapan Pak Lah akan jatuh. Tetapi pembangkang tidak pernah memikirkan yang jika Pak Lah jatuh, apakah orang yang naik menggantikan Pak Lah akan lebih baik darinya? Akhirnya Pak Lah tersungkur dan Najib naik menggantikannya dan ternyata persembahan Najib jauh lebih buruk daripada anak Ahmad Badawi itu.
Sesungguhnya siapa sahaja pemimpin UMNO yang naik menjadi Perdana Menteri, tidak ada perbezaan sedikit pun, malah kemungkinan lebih buruk dari yang sebelumnya. Ini kerana “dasar pemikiran” UMNO sama sahaja, sejak dulu, kini dan mungkin selamanya. Selagi Islam tidak menjadi pegangan pemimpin UMNO, selagi itulah siapa pun pemimpin UMNO yang menjadi PM, maka sistem dan kezaliman yang sama akan tetap diwarisi dan diteruskan.
Dua perkara yang akan menjadikan sesebuah negara itu baik ialah pemimpin yang baik (beriman dan bertakwa) dan sistem yang baik (sistem Islam). Jika keduanya buruk atau salah satu daripadanya buruk, maka buruklah negara dan buruklah nasib rakyat dalam negara tersebut. Maka, tidak ada kebaikan yang boleh kita harapkan walaupun Najib tersungkur sebagaimana Pak Lah, selagi Islam tidak menjadi pegangan pemerintah dan asas dalam sistem pemerintahan.
Hanya Khalifah dengan sistem Khilafah sahajalah yang akan menyelamatkan negara dan umat ini daripada segala keburukan.
Wallahu a’lam.