Ada apa di sebalik insiden Low Yat?
Di penghujung bulan Ramadhan yang mulia baru-baru ini, kita dikejutkan dengan insiden pergaduhan di Plaza Low Yat yang melibatkan Melayu dan Cina akibat sebiji handphone. Bermacam-macam-macam versi cerita yang kita dengar, ada yang menyalahkan Melayu kerana dikatakan mencuri handphone dan ada yang menyalahkan Cina kerana dikatakan menjual handphone tiruan.
Kes penipuan atau kecurian seumpama ini bukanlah perkara baru, termasuklah di Plaza Low Yat. Namun, yang menjadikannya kecoh dan gempar seluruh negara apabila melibatkan dua kaum yang berbeza dan peranan media sosial dan aplikasi telefon pintar dengan pelbagai berita dan komen yang mengapi-apikan lagi perkara ini.
Seperti biasa, memang sukar untuk kita mengetahui punca sebenar kepada pergaduhan, apatah lagi pada zaman fitnah sekarang ini. Pihak polis telah pun menahan suspek dan beberapa orang yang terlibat dalam pergaduhan tersebut dan dengan cepatnya Ketua Polis Negara membuat kesimpulan yang ini merupakan kes curi, walhal suspek tersebut masih belum dibicarakan dan kita tidak mendengar apa-apa pengakuan salah dilakukan oleh mana-mana pihak. Kalau sebelum ini, beberapa insiden yang melibatkan pergaduhan antara kaum seperti “ditutup” oleh pihak polis mahupun pemimpin politik agar tidak menimbulkan suasana tegang dan panik dalam negara, tetapi kali ini nampaknya pihak polis, malah Perdana Menteri sendiri bersuara tentang perkara ini dan meminta rakyat, khususnya kaum Melayu dan Cina agar bertenang dan mereka menafikan sekeras-kerasnya bahawa ini adalah isu perkauman.
Kenapa pemerintah dan polis menafikan yang kejadian ini adalah isu perkauman? Walaupun punca kejadian mungkin bukan kerana perkauman, tetapi apa yang jelas ia sudah menjadi isu perkauman. Hakikatnya, Melayu bergaduh dengan Cina. Melayu ajak Melayu untuk belasah Cina dan Cina ajak Cina untuk belasah Melayu. Melayu sokong Melayu dan Cina sokong Cina, tanpa mengira siapa yang benar atau salah. Sentimen Melayu-Cina terus dimainkan di media sosial. Jadi, isu apa lagi ini jika bukan isu perkauman? Pergaduhan atas dasar apa lagi yang berlaku di Plaza Low Yat itu jika bukan atas dasar perkauman?
Jadi, pemerintah dan polis sepatutnya akui sahajalah bahawa, walaupun puncanya mungkin bukan kerana perkauman, namun ia telah bertukar menjadi isu perkauman dan kita tidak perlu sembunyikan apa-apa sampai ke tahap berbohong. Apa yang penting ialah bagaimana untuk kita tangani hal ini dan mengambil langkah agar isu yang sama tidak berulang, apatah lagi di bulan yang penuh kemuliaan dan keberkatan bagi umat Islam
Perkauman (assabiyyah) adalah suatu yang keji yang diharamkan oleh Islam. Menolong seseorang atas dasar bangsa, apatah lagi menolong melakukan kejahatan, maka berganda-gandalah keharamannya. Rasulullah SAW tidak mengakui orang-orang yang menyeru kepada assabiyyah sebagai umatnya, yang menunjukkan keharaman yang begitu tegas terhadap perbuatan Jahiliah ini. Rasullullah SAW bersabda,
“Bukanlah dari kami orang-orang yang menyeru kepada assabiyyah, berperang atas dasar assabiyyah dan mati kerana (mempertahankan) assabiyyah” [HR Abu Daud].
Justeru, orang Melayu yang beragama Islam hendaklah sedar dan disedarkan akan keharaman assabiyyah ini. Baik ia kes kecurian atau penipuan sekalipun, sepatutnya ia dilaporkan kepada pihak berwajib untuk melakukan siasatan dan tindakan susulan, walaupun kita sudah tidak menaruh kepercayaan sedikit pun kepada mereka untuk menyelesaikannya.
Lebih dari itu, tanggungjawab polis dan pemerintah bukan sahaja perlu difokuskan kepada suspek atau yang terlibat dalam pergaduhan, malah kepada sesiapa sahaja yang cuba mengapi-apikan semangat assabiyyah dan mengambil tindakan tegas kepada para penyeru keharaman ini.
Baik kes penipuan atau kecurian yang berleluasa dalam negara ini tidak boleh dipandang hanya kepada si pencuri atau si penipu semata-mata, tanpa melihat kepada kerajaan dan sistem yang menguruskan individu, masyarakat dan negara. Di bawah sistem demokrasi buatan manusia yang rosak lagi korup ini, si penipu sudah tidak takut untuk menipu dan si pencuri sudah tidak takut untuk mencuri, malah penipuan dan kecurian serta lain-lain jenayah sudah menjadi santapan harian masyarakat. Inilah akibatnya apabila undang-undang manusia, bukannya undang-undang Allah, yang digunakan untuk mengatur manusia.
Itu dari satu sisi. Dari sisi yang lain, assabiyyah (perkauman) tumbuh dengan subur dalam setiap diri warganegara kerana sering “diapi-apikan” oleh kerajaan sendiri. Sejak dulu, kerajaan dan parti pemerintah (UMNO) tidak pernah henti melaungkan tentang Melayu, hidup Melayu, ketuanan Melayu dan lain-lain tentang kelestarian bangsa Melayu. Sejak di bangku sekolah lagi, seruan yang diharamkan Islam ini telah pun dimasukkan ke dalam diri setiap orang, Melayu dengan Melayunya, Cina dengan Cinanya dan India dengan Indianya. Malah wujudnya parti-parti politik seperti UMNO, MIC dan MCA yang memperjuangkan bangsa masing-masing tidak boleh dilepaskan dari penyebab kepada semangat assabiyyah tumbuh sentiasa subur di Malaysia dengan masing-masing bangsa memperjuangkan kepentingan bangsa masing-masing. Kesannya dapat dilihat bukan sahaja terhadap ‘kebaikan’ yang diraih oleh bangsa tersebut, tetapi apabila terpercik sedikit sahaja hal-hal yang melibatkan dua kaum yang berbeza, termasuklah pergaduhan kecil kerana sebiji handphone atau lain-lain, maka tanpa mengira siapa betul siapa salah, setiap kaum akan menyeru dan membantu kaum masing-masing! Maka api perkauman yang lebih besar memang sukar dielakkan.
Justeru, selagi ada parti, kumpulan atau individu mana pun yang masih memperjuangkan bangsa dan menyeru kepada assabiyyah, maka selagi itulah kita akan menyaksikan isu perkauman terus melingkari kehidupan kita dengan seribu satu malapetaka yang akan terhasil daripadanya. Hal ini tidak ubah seperti apa yang berlaku pada zaman Jahiliyyah di mana suku-suku Arab sering bergaduh dan berperang sesama sendiri selama puluhan tahun lamanya hanya kerana seekor unta, sehinggalah datangnya Rasulullah dan Islam menyelesaikan masalah mereka. Jadi, tidak akan ada penyelesaian kepada isu assabiyyah ini kecuali setiap Muslim kembali kepada ajaran Islam dengan wujudnya negara yang menerapkan Islam secara kaffah sehingga perasaan, pemikiran dan sistem yang wujud dalam individu dan negara diatur sepenuhnya oleh Islam.