Perkauman – petrol yang menunggu api

Kematian A. Kugan, suspek kes rompakan kereta mewah baru-baru ini menimbulkan lagi isu perkauman yang ibarat sekam di dalam api di Malaysia. Kugan yang mati ketika di dalam tahanan polis dikatakan meninggal kerana paru-paru berair. Namun faktor ini dinafikan oleh keluarga mangsa yang menyatakan bahawa Kugan mati kesan kecederaan semasa berada di lokap. Kes ini telah mencetuskan kontroversi dan gejolak perkauman di kalangan masyarakat India, sehingga tunjuk perasaan di adakan oleh kaum minoriti itu, dan seterusnya polis bertindak menangkap mereka yang terlibat.

Sejak perhimpunan besar-besaran yang dianjurkan oleh Hindraf pada lewat tahun 2007, masyarakat India kini mula giat memperjuangkan nasib orang-orang India di Malaysia. Kematian A. Kugan ketika di dalam tahanan polis adalah peluang untuk terus menyemarakkan perjuangan mereka. Hal ini telah membangkitkan lagi sentimen perkauman yang sentiasa panas di Malaysia.

Buat masa ini kita tidak tahu pihak manakah yang benar, sama ada pihak polis atau pihak keluarga Kugan. Tetapi hakikatnya A. Kugan telah mati semasa dalam ‘penjagaan’ oleh pihak polis.

Walaupun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar telah berjanji akan membawa mereka yang bertanggugjawab di atas kematian A. Kugan ke muka pengadilan termasuk jika ia melibatkan pegawai polis, ia belum cukup untuk meredakan kemarahan sebahagian masyarakat India. Sehingga Syed Hamid sendiri melahirkan kebimbangannya dengan senario terbaru itu dengan berkata, “Saya berasa cuak kalau semua pihak mula bermain dengan sentimen perkauman, ia akan bertukar kepada masalah lain… sebab itu dalam kes jenayah kita tak kira ia dilakukan oleh mana-mana kaum, biarlah ia disiasat mengikut prosedur jenayah,” [Utusan Malaysia 28/1/2009]

Isu perkauman ini adalah ibarat petrol yang hanya menunggu percikan api untuk terbakar dengan maraknya. Selama tidak ada percikan api, petrol akan tetap tersimpan baik dan sejuk. Namun, bila telah ada percikan api, walaupun sedikit, ia sudah cukup untuk membakar keseluruhan petrol dan akan menjangkit ke petrol-petrol lainnya.

Ini adalah salah satu dari penyakit daripada sebilangan banyak penyakit yang muncul akibat daripada penerapan sistem kufur. Akibat daripada sistem yang tidak pernah memberi jaminan kehidupan kepada mana-mana manusia pun di dunia ini, maka ramai yang menjadi mangsa kepada kezaliman penguasa yang menjadikan perjuangan assabiyah untuk terus kekal di atas takhta pemerintahan. Di dalam perjuangan assabiyah, kaum yang lemah pasti akan didominasi oleh kaum yang lebih kuat. Ia kemudiannya melahirkan undang-undang rimba yang menjadikan mereka yang berpengaruh dan berkuasa mempunyai segala macam cara dan tipu helah untuk terlepas daripada hukuman. Kepada yang lemah, walaupun mereka berada di pihak yang benar dan memperjuangkan kebenaran, namun mereka akan sentiasa tertindas.

Kita semua maklum bahawa Malaysia diperintah oleh BN yang ditunjangi UMNO. UMNO sendiri merupakan sebuah parti assabiyah Melayu yang memperjuangkan nasib orang Melayu. Jadi, sudah semestinyalah apabila UMNO berkuasa, nasib orang Melayu lebih diutamakan. Dan hal ini semestinya pula akan menimbulkan ketidakpuasan hati kepada kaum-kaum lain. Ini adalah tabiat masalah di dalam sebuah negara yang diperintah atas dasar perkauman. Walaupun mereka bersungguh-sungguh menafikan hakikat ini, namun inilah fakta yang mereka sendiri tidak dapat tolak.

Justeru, jika seorang berbangsa India mati di dalam tahanan polis, dan pihak polis serta pihak pemerintah yang terlibat adalah berbangsa Melayu, maka kita semua dapat menjangkakan apa yang akan berlaku. Ini berbeza jika seorang Melayu yang mati di dalam tahanan polis. Jika Melayulah yang mati, maka protes yang sama mungkin timbul, tetapi isu ‘perkauman’ tentunya tidak akan muncul. Sama juga jika seorang India yang mati, tetapi kerajaan yang memerintah terdiri dari bangsa India dan polis-polisnya juga adalah India, maka isu ‘perkauman’ tentunya tidak akan muncul sama sekali. Inilah hakikat sebuah pemerintahan yang berteraskan kaum seperti Malaysia.

Hakikat ini akan terus kekal begini, sehinggalah “Islam” yang menjadi teras pemerintahan. Jika Islam yang memerintah, soal perkauman langsung tidak timbul. Ini kerana setiap orang yang beragama Islam boleh memerintah, tidak kira dia berbangsa Melayu, India, Cina, Arab, Bangladesh, Turki dan sebagainya. Dan pemerintahan yang akan berjalan pula adalah pemerintahan Islam yang bukan bersifat menjaga kepentingan kaum-kaum tertentu, tetapi ia menjaga kepentingan semua rakyat atau warganegara di dalamnya. Ini kerana, tidak ada parti Melayu atau parti India atau parti Cina atau parti Arab atau parti Bangladesh yang memerintah, yang ada hanyalah sebuah “pemerintahan Islam”. Pemerintahan Islam ada strukturnya sendiri dan bukannya (pemerintahan itu) bersifat kepartian seperti sekarang.

Tambahan lagi, hanya sistem yang bukan daripada manusia sahaja yang dapat mengadili sekalian manusia dengan adil tanpa mengira siapa dan tidak mengira kaum, warna kulit dan agama. Hanya sistem Islam sahajalah yang merupakan sistem yang sesuai dengan fitrah manusia kerana ia merupakan sistem/ajaran daripada Tuhan yang diturunkan dengan lengkap untuk manusia.

Rasulullah Sallahu alaihi Wa Sallam sebagai Rasul telah menunjukkan bagaimana sistem-sistem itu diterapkan dan bagaimana ia memberi keadilan bukan sahaja kepada manusia, tetapi kepada seluruh umat manusia. Daulah Khilafah yang menerapkan sistem Islam telah terbukti berjaya membawa segala bentuk keadilan dan kesejahteraan untuk semua manusia selama lebih 13 abad.
 
Justeru, sistem siapakah yang lebih baik untuk manusia, apakah sistem yang dibawa oleh UMNO/BN atau sistem yang dibawa oleh Allah SWT?

Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ al-Ma’idah (5):50]