Muhasabah untuk UMNO

Ahli Umno perlu muhasabah elak kuasa terhakis

KUALA LUMPUR: Ahli Umno perlu bermuhasabah dalam diri bagi memastikan kuasa politik yang dimiliki orang Melayu tidak terhakis, kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

“Politik kita bersandarkan amalan demokrasi berparlimen. Jika kita (orang Melayu dan ahli Umno) sendiri menyebabkan kuasa kita terhakis, maka kita kena lihat mengapa orang Melayu tidak beri sokongan kepada kita.

“Kita juga perlu mengkaji untuk menentukan bahawa kedudukan kita sebagai tonggak Barisan Nasional (BN), dapat dipertahankan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja pertamanya ke Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bahawa Umno perlu menerima hakikat bahawa orang Melayu sebenarnya sudah hilang kuasa dan hanya mengharapkan bantuan Sabah dan Sarawak untuk terus kekal memimpin negara.

Beliau dalam kenyataan dalam sebuah akhbar dilaporkan berkata parti itu perlu melakukan sesuatu kerana rakyat Semenanjung sudah mula hilang kepercayaan terhadap parti itu.

Syed Hamid berkata, rakyat sama ada Melayu atau bukan Melayu tidak boleh dipersalahkan atas keadaan yang berlaku kerana sistem negara ini memberi peluang rakyat membuat pilihan mereka sendiri melalui proses pilihan raya.

“Dalam soal demokrasi, sesiapapun pun boleh terhakis kuasanya jika mereka tidak mendapat penerimaan daripada rakyat.

“Pada saya, apa juga yang Umno dan parti Melayu kita mahu katakan, akhirnya kita kena bermuhasabah dari dalam untuk melihat bagaimana kita menentukan kekuatan politik kita tidak terhakis,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia 01/04/08

Ulasan:

Ya memang benar UMNO perlu muhasabah diri. Tetapi bukannya muhasabah untuk terus berkuasa dan menerapkan sistem kufur sekular. UMNO wajib muhasabah diri melihat dosa-dosa besar yang mereka lakukan selama ini di sepanjang 50 tahun kemerdekaan Malaysia. UMNO terkenal dengan orang-orang yang gila kuasa, menyalahgunakan kuasa, rasuah, rakus merompak kekayaan negara, sombong, angkuh, menyekat perjuangan untuk menegakkan agama Islam secara kaffah dan banyak lagi dosa-dosa besar yang mereka lakukan.

UMNO sebagai parti pemerintah terbesar di Malaysia tidak pernah menerapkan sistem pemerintahan Islam di sepanjang kekuasaan mereka. Mereka menerapkan hukum kufur warisan dari British, mereka menerapkan hukum kufur yang mereka cipta dengan tangan-tangan mereka dan mereka berkompromi dengan orang-orang kafir di dalam menerapkan hukum kufur. Mereka sanggup menggadai hukum-hukum Allah atas nama masyarakat majmuk, mereka menolak Islam dengan mengambil demokrasi sebagai sistem pemerintahan. Mereka langsung tidak berusaha, malah menentang sistem pemerintahan Khilafah, satu-satunya sistem pemerintahan Islam yang wajib bagi seluruh umat Islam.

UMNO berdiri atas dasar assabiyyah (perkauman), menyeru kepada assabiyyah, berjuang atas dasar assabiyah serta menghunus keris di jalan assabiyyah yang kesemuanya diharamkan oleh Islam. Sabda Rasulullah saw,

“Bukanlah dari kami orang-orang yang menyeru kepada assabiyyah, berperang atas dasar assabiyyah dan mati kerana (mempertahankan) assabiyyah” [HR Abu Daud].

UMNO menerapkan undang-undang kufur yang mereka cipta di Parlimen dan Dewan Undang Negeri melalui undi majoriti. UMNO menerapkan sistem kufur demokrasi yang diambil dari Barat dan UMNO tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan. Firman Allah SWT,

“…dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” [TMQ al-Ma’idah (5):44].

“…dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim” [TMQ al-Ma’idah (5):45].

“…dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik” [TMQ al-Ma’idah (5):47].

Justeru, sudah lama UMNO sewajibnya memuhasabah diri atas dosa-dosa mereka. Muhasabah yang diperlukan UMNO adalah muhasabah diri kepada Islam, bukan muhasabah diri hanya untuk mengekalkan kekuasaan yang ada dengan terus menerapkan hukum kufur sekular. Mereka perlu ingat bahawa hidup mereka tidak lama dan mereka hanya menumpang di bumi Allah sementara menunggu hari pertemuan denganNya. UMNO perlu sedar sementara nyawa masih di badan, Allah memerintahkan manusia untuk hidup keranaNya, beribadat kepadaNya, menerapkan hukumNya, mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya kerana sesungguhnya manusia akan kembali kepadaNya…