Amerika promosi pelan damai

LONDON 11 Mei – Amerika Syarikat (AS) mahu mempromosikan pelan damai Asia Barat yang melibatkan ‘penyelesaian konflik melibatkan 57 negara’ dan menghendaki seluruh dunia Islam mengiktiraf Israel.  Pelan tersebut dihasilkan oleh Raja Jordan, Raja Abdullah bersama-sama Presiden AS, Barack Obama di Washington pada bulan lepas, lapor akhbar Times of London hari ini.  “Kita menawarkan satu pertiga daripada penduduk dunia untuk menerima mereka (Israel) dengan tangan terbuka.  “Masa depan bukan melibatkan Sungai Jordan atau Bukit Golan atau Semenanjung Sinai, tetapi masa depan melibatkan Maghribi di rantau Atlantik dan Indonesia di rantau Pasifik. Itulah hadiahnya,” kata Abdullah.   Beliau bagaimanapun, memberi amaran, jika rundingan damai ditangguhkan, satu lagi konflik akan meletus antara orang Arab atau Islam dengan Israel dalam tempoh antara 12 dan 18 bulan akan datang.  

Menurut Times of London, butir-butir pelan tersebut dijangka dibincangkan menerusi beberapa langkah diplomatik pada bulan ini, termasuk pertemuan Obama dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Washington pada minggu depan.   “Kita bukan bercakap mengenai pihak Israel duduk semeja dengan pihak Palestin, tetapi Israel dengan Palestin, Israel dengan Syria, Israel dengan Lebanon,” kata Abdullah.  Palestin mahu menubuhkan sebuah negara merdeka dalam sengketa mereka yang berlarutan dengan Israel, manakala Syria mahu Bukit Golan yang ditawan oleh Israel semasa Perang 1967 dipulangkan kepadanya.  Israel dan pergerakan Hizbullah di Lebanon berperang pada 2006.   “Saya fikir kita akan perlu menjalankan banyak kegiatan diplomasi dan membawa pihak-pihak terlibat ke meja rundingan dalam beberapa bulan akan datang untuk mencari penyelesaian,” kata Raja Jordan itu.   Menurut Times, selepas pertemuan Obama dengan Netanyahu di Washington pada 18 Mei ini, inisiatif perdamaian terbaru itu mungkin menjadi topik utama ucapan Presiden AS tersebut kepada dunia Islam di Mesir ketika memulakan lawatan ke dunia Islam pada 4 Jun ini.   “Persoalan penting ialah keputusan daripada pertemuan Obama-Netanyahu nanti,” kata Abdullah. – Reuters

 

Utusan Malaysia:12/05/09

 

Hinanya Para Pemimpin Umat Islam
 

Hinanya para pemimpin dunia umat Islam hari ini apabila mereka masih mengharapkan pelan damai yang ditaja oleh Amerika Syarikat bagi menyelesaikan krisis di Asia Barat terutamanya mengenai persoalan Israel dan Palestin. Umum mengetahui bahawa telah wujud terlalu banyak perjanjian damai yang ditaja oleh Barat untuk menyelesaikan persoalan di Asia Barat sebelum ini namun kesemuanya gagal menyelesaikan konflik yang berlaku. Hakikatnya, semua ini hanyalah permainan sandiwara musuh-musuh Islam yang mempunyai kepentingan tertentu yang ingin mereka raih. Pelan damai yang ditaja oleh AS itu tidak lain hanyalah bertujuan agar dunia umat Islam terus mengiktiraf kewujudan Israel di wilayah Palestin sedangkan Isreal itu adalah anak haram yang dilahirkan oleh British hasil hubungan sulitnya dengan PBB pada tahun 1948. Israel juga saat ini adalah merupakan anak angkat AS yang akan terus dipastikan kewujudannya dengan bantuan para hamba AS dari kalangan pemimpin dunia Arab. Apakah para pemimpin umat Islam, terutamanya dari mereka yang berbangsa Arab tidak memahami firman Allah SWT yang banyak menjelaskan siapakah musuh mereka yang sebenar? Antaranya ialah firman Allah SWT:


“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu”.
[TMQ al-Baqarah (2) : 120]. FirmanNya lagi


“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya”.
[TMQ a-li – ‘Imraan (3) :118].
 

Jika kamu para pemimpin umat Islam, masih terus berpaling dari peringatan al-Quran ini maka tunggulah ketentuan dari Allah SWT sebagaimana firmanNy:
 

“Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayatKu (yang menunjukkan kekuasaanKu); dan mereka (yang bersifat demikian) jika mereka melihat sebarang keterangan (bukti), mereka tidak beriman kepadanya, dan jika mereka melihat jalan yang (membawa kepada) hidayah petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Dan sebaliknya jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Yang demikian itu, kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya”. [TMQ al- A’raaf (7) : 146].
 

Apakah kita sebagai umat Islam masih mengharapkan promosi perjanjian damai yang ditaja oleh AS sedangkan kita sendiri boleh melihat bahawa AS itu sendiri adalah sebuah negara koboi  yang terus menerus memerangi umat Islam di seluruh dunia. Inilah tabiat negara kapitalis yang mengembangkan mabda’nya melalui penjajahan dan penaklukan. Lihat sahaja apa yang telah dan sedang dilakukan oleh AS selama ini terhadap umat Islam di Iraq dan Afghanistan! Sampai bila lagi umat Islam akan terus dihina?