Masih Mengharapkan OIC?
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bukan sekadar platform kerjasama di kalangan ummah tetapi juga pentas pertahanan bagi menangkis tohmahan yang mengaitkan Islam dengan kegiatan pelampau dan Islamofobia.
Perdana Menteri berkata, tanggapan negatif dan penghinaan terhadap Islam yang semakin meluas itu bertambah buruk terutama terhadap umat Islam yang tinggal di negara Barat. Katanya, menjadi tanggungjawab ummah untuk menonjolkan imej Islam yang sebenar dengan menekankan nilai universal, pencapaian dan warisan yang kaya dalam agama suci itu yang mengajar umatnya bertoleransi dan hormat menghormati antara satu sama lain.
“Sempena ulang tahun ke-40 penubuhan OIC ini, saya mengajak semua umat Islam di seluruh dunia memperbaharui ikrar kita dan bergerak bersama sebagai satu organisasi demi pencapaian dan kepentingan ummah.
“Malaysia akan terus bekerjasama dengan OIC untuk menggalakkan keamanan dan keselamatan di dunia, terutama membabitkan isu berkaitan ummah,” katanya dalam mesej khas ulang tahun ke-40 penubuhan OIC di sini, semalam. Najib berkata sebagai pertubuhan yang melindungi kepentingan umat Islam, ia aktif memainkan peranan dalam mempromosi kegiatan bagi mempertingkat kerjasama dan penyelarasan di kalangan 57 negara anggotanya yang mempunyai 1.5 bilion penduduk.
“Anggotanya mesti bekerjasama, memaksimumkan segala sumber yang ada secara bersepadu untuk kepentingan dan manfaat ummah. OIC mesti mengenal pasti cabaran baru, era selepas 11 September,” katanya.
Perdana Menteri turut meminta negara anggota OIC supaya bersama-sama membantu menghapuskan kemiskinan yang masih membelenggu jutaan umat Islam di seluruh dunia. Malaysia sebagai anggota pengasas pertubuhan itu, katanya, turut memainkan peranan penting, tidak terhad mengenai isu politik semata-mata tetapi turut memberi perhatian kepada isu ekonomi dengan pendekatan yang praktikal.
“Sehingga hari ini, kerajaan Malaysia tetap komited bagi meningkatkan kerjasama ekonomi dan menggalakkan dagangan di kalangan negara anggota OIC walaupun potensi dagangan pada masa ini berada pada tahap 16.7 peratus,” katanya.
Sumber : Berita harian, 24/09/09
Masih Mengharapkan OIC?
Apakah Najib sedang bermimpi di siang hari? Sudah 40 tahun OIC berdiri dan selama itu jugalah nasib umat Islam tidak berubah. Hari ini kita dapat menyaksikan darah umat Islam terus ditumpahkan oleh AS, Israel, NATO dan sekutu-sekutunya dipelbagai wilayah umat Islam. Apa yang telah dilakukan oleh OIC? Jika ada kejadian yang menimpa umat Islam seperti serangan Israel ke atas umat Islam di Palestine contohnya, maka para pemimpin OIC yang bacul dan penakut ini hanya akan mengadakan sidang tergempar, mengeluarkan resolusi, mengeluarkan kutukan dan kecaman. Selepas itu mereka akan kembali ke istana-istana mewah mereka, tertipu dengan helah dunia yang menipu. Amat hina apa yang dilakukan oleh para pemimpin OIC ini sebenarnya.
Wahai umat Islam! Ketahuilah bahawa kewujudan OIC itu hakikatnya adalah mangkin yang memecah belahkan umat Islam yang dipisah-pisahkan kepada banyak negara-negara ashobiyyah. Sekiranya ada isu yang berlaku di dunia umat Islam seperti di Iraq dan yang seumpamanya maka para pemimpin sekular OIC ini akan mula menyibukkan diri mereka bagi menggambarkan seolah-olah mereka begitu prihatian terhadap nasib umat Islam tetapi hakikatnya mereka hanya akan mengeluarkan resolusi dan selepas itu mereka tidak akan berbuat apa-apa. Mereka tidak berani bertindak terhadap musuh umat Islam kerana mereka sebenarnya adalah boneka kepada musuh Islam itu sendiri.
Para pemimpin OIC ini adalah seperti musang berbulu ayam. Mereka berperwatakan seolah-olah menjaga kepentingan umat Islam namun setiap tindakan yang mereka ambil, mereka akan pastikan agar tuan mereka (AS dan Barat) tidak terusik kepentingannya. Umat Islam akan terus ditimba musibah jika terus mengharapkan OIC. Oleh kerana itu wahai umat Islam, apa yang kalian perlukan adalah seorang Khalifah dan bukannya OIC bagi menangkis tohmahan Barat. Wahai Najib, fikirkanlah!!!