Rancangan TV Yang Semakin Merosakkan Umat
Rancangan Infotainmen papar maklumat berunsur negatif
MUI melalui ketuanya, yang juga Ketua Pengurus Besar Nahdlatul Ulama (NU), Hasyim Muzadi memberi beberapa alasan mengapa Infotainmen diharamkan.
“Kami membuat penilaian ke atas Infotainmen berdasarkan kandungan dan pengisian rancangannya. Jika kandungan rancangan dipenuhi gosip, melaga-lagakan antara satu sama lain, menghancurkan kebahagiaan rumah tangga orang lain seperti yang dilakukan Infotainmen, ia amat dilarang agama,” katanya.
Hasyim turut merujuk hasil Mesyuarat Kebangsaan Alim Ulama NU di Surabaya pada 2006 yang sudah mengharamkan Infotainmen berikutan kandungannya dipenuhi gosip, fitnah dan khabar angin.
“Kes pertelagahan antara aktres Indonesia, Luna Maya dengan Infotainmen wajar dijadikan contoh bagaimana program yang berunsur negatif, tidak mendidik akhirnya menimbulkan lebih banyak keburukan dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata kebebasan Infotainmen bukanlah kebebasan mutlak tetapi perlu diiringi tanggungjawab, bukan penulisan sebarangan sehingga menjejaskan kehidupan orang lain.
Katanya, tayangan Infotainmen tidak seharusnya menceritakan gosip perce
raian dan kehidupan peribadi artis tetapi sepatutnya memberi tumpuan kepada kejayaan dan prestasi kerjaya yang dicapai.
“Alangkah baiknya jika program Infotainmen diisi dengan pendidikan keluarga sakinah, pendidikan patriotik yang dapat membangunkan bangsa. Malangnya media hiburan seakan tidak berminat dengan perkara ini,” katanya.
Hasyim berkata NU akan membincangkan isu kesan negatif Infotainmen terhadap perilaku masyarakat dalam Muktamar ke-32 pertubuhan itu di Makassar dari 22 hingga 27 Mac depan.
“Perbincangan tidak rasmi di antara ulama, pemimpin agama, tokoh pendidikan, budayawan dan cendikiawan negara juga akan diadakan beberapa hari menjelang muktamar,” katanya.
Sementara itu, penganalisis media dari Universiti Airlangga Surabaya, Suko Widodo berkata berkata wartawan Infotainmen perlu dididik agar dapat menyediakan bahan berkualiti untuk masyarakat.
“Apa yang berlaku di Infotainmen Indonesia berbeza dengan negara lain. Tayangan di luar negara membicarakan semua prestasi dan karya yang dihasilkan artis atau pelakon, tetapi di negara ini mereka lebih suka membicarakan kehidupan peribadi, gosip dan khabar angin dikalangan mereka,” katanya.
Sumber: Berita Harian 5/1/10
RANCANGAN TV YANG SEMAKIN MEROSAKKAN UMAT
Apa yang berlaku di Indonesia sekarang banyak dipengaruhi tayangan serta rancangan yang disalurkan dari kaca tv terus kepada anak-anak serta remaja – rancangan yang meningkatkan naluri sehingga boleh membawa kepada keharaman.
Malaysia mengalami perkara yang sama – serumpun dalam masalah sosial – tidak jauh bezanya rancangan –rancangan seperti Melodi, Diva di 1, pertandingan nyanyian, dan bermacam-macam lagi rancangan yang penuh dengan maksiat.
Pihak media hakikatnya hanya ingin meraih ‘rating’ yang paling tinggi untuk tujuan mencapai seberapa banyak keuntungan dan tidak mempedulikan apakah rancangan tersebut meruntuhkan akhlak atau pun merosakkan umat.
Justeru negara seharusnya mengharamkan terus rancangan sebegini termasuk di Malaysia khususnya. Persatuan ulama dan mufti harus membuka mata dan memberi tekanan agar rancangan seperti ini dihentikan. Janganlah pula mereka menutup sebelah mata atas kemaksiatan yang sangat jelas ini. Ingatlah sesungguhnya kalian akan dipersoal oleh Allah di padang mahsyar kelak atas tanggungjawab ini.