Lihatlah Bukti Nyata Betapa Khianatnya Pemimpin Saat Kini

20,000 berhimpun untuk dapatkan RM3.45

KEDIRI – Kira-kira 20,000 penduduk dari pelbagai daerah di Jawa Timur berhimpun untuk mendapatkan duit zakat yang diedarkan oleh pihak pengurusan syarikat rokok Gudang Garam di sini, lapor sebuah akhbar semalam. Puluhan ribu penduduk itu berhimpun di luar kilang rokok itu sejak awal pagi lagi.  Menurut seorang pegawai bahagian perhubungan masyarakat polis di sini, bilangan penduduk yang datang untuk mendapatkan wang zakat itu lebih ramai daripada tahun lalu.  “Mereka (penduduk yang datang) berasal dari berbagai daerah di Jawa Timur seperti Nganjuk, Jombang, Trenggalek, dan daerah lain,” katanya.  

Dia menyatakan pihak polis menempatkan kira-kira 700 anggota keselamatan untuk mengawasi ketenteraman.  Kebanyakan penduduk yang mahu mendapatkan duit zakat itu termasuk kanak-kanak dan orang tua.  Mereka berhimpun untuk mendapatkan wang antara 10,000 rupiah (RM3.45) hingga 20,000 rupiah (RM6.90).  Anggota-anggota keselamatan terpaksa membahagikan-bahagikan penduduk itu menjadi sejumlah kumpulan kecil.  Seorang penduduk, Suprih berkata, dia mahu menggunakan wang zakat itu untuk membeli barang keperluan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.  Dia sanggup membawa seorang anaknya berusia satu setengah tahun ke lokasi pengedaran duit zakat kerana tidak ada orang yang menjaganya jika dia ditinggalkan di rumah. – Agensi

Sumber: Kosmo 09/09/10
 
Bukti Khianatnya Para Pemimpin Umat Islam

Sejarah kegemilangan Islam di zaman Khalifah Umar Bin Abdul Aziz yang hanya memerintah selama 30 bulan, tetapi telah berjaya membawa kemakmuran kepada rakyatnya membuktikan betapa Islam sebagai suatu ideologi yang datangnya dari Allah SWT sememangnya suatu cara hidup yang sempurna dan mampu membawa rahmat ke sekelian alam sehinggalah ke hari kiamat. Dicatatkan bahawa di zaman keagungan beliau pernah terjadi keadaan di mana tidak ada seorangpun rakyatnya yang berada di Afrika layak untuk menerima zakat. Keadaan ini berbeza dengan apa yang berlaku di benua Afrika saat ini yang sedang bertarung dengan masalah kebuluran dan krisis kemanusian. Begitu juga dengan apa yang kita saksikan di Indonesia seperti yang dipaparkan di atas. Indonesia adalah salah sebuah dari negeri umat Islam yang paling kaya. Indonesia mempunyai sumber daya alam yang cukup luar biasa banyaknya sehinggakan ia dijoloki sebagai negeri Zamrud Khatulistiwa. Namun begitu, kekayaan yang dimiliki oleh Indonesia telah dicuri dan dirompak oleh pihak asing hasil kerjasama dan konspirasi serta pengkhianatan yang dilakukan oleh para pemimpin sekularnya yang berkuasa sejak dahulu hinggalah kini.

Keadaan di atas juga mengingatkan kita dengan kejadian yang pernah berlaku pada tahun 2007 yang lepas di Pasuruan di mana seramai 21 orang telah terbunuh kerana lemas dipijak semasa berebut-rebut untuk menerima zakat dari H. Syaichon. Apakah peristiwa ini akan berulang kembali? Tidak mustahil. Apabila pemerintah umat Islam hari ini tidak menerapkan Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, termasuklah dalam persoalan ekonomi, tidak akan muncul hidup yang sejahtera. Sistem ekonomi Kapitalisme yang diterapkan hari ini akan mewujudkan golongan kaya yang semakin kaya sementara golongan miskinnya akan terus miskin. Bayangkan betapa khianatnya para pemerintah yang menguasai Indonesia saat ini, kerana di kala mereka hidup dengan kekayaan yang melimpah ruah, dalam masa yang sama, rakyatnya terpaksa berebut untuk mendapatkan zakat sebanyak RM3.45-RM6.90!

Wahai para pemimpin yang berkuasa di saat ini! Renungilah nasihat Khalifah Al Makmun  ketika dia mengangkat anaknya Abdullah menjadi Wali di negeri Riqqah dan Mesir. Beliau memberikan surat politik yang antara lain isinya adalah : “Bismillahirrahmanirrahim. Amma ba’du! Hendaklah engkau bertaqwa kepada Allah, tiada sekutu bagiNya… Allah telah berbuat ihsan (baik) kepada engkau lantaran jawatan ini. Sebab itu berbuat ihsan pulalah engkau kepada hamba Allah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah atas engkau. Lazimilah keadilan, berdirilah membela haknya, dan jagalah batas larangan dan suruhan Allah SWT. Pertahankanlah hak milik mereka, belalah kepentingan dan kehormatan mereka, jagalah darah mereka agar jangan tertumpah, tenteramkan kehidupan mereka sehari-hari dan masukkanlah rasa senang kepada mereka. Engkau akan bertanggungjawab di hadapan Allah SWT, engkau akan ditanyai, kebaikanmu akan diganjari (dibalas), kejahatanmu sedemikian pula,…”.

Sampai bilakah para pemimpin umat hari ini akan sedar dan insaf bahawa kelak mereka akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT? Setiap kezaliman mereka akan dibalas dengan setimpal oleh Hakim yang Maha Adil. Tidakkah mereka takut??