Terbukti Kebobrokan Demokrasi Menipu Umat Islam

angela-markelMerkel beri anugerah pada kartunis imej Nabi
 
POTSDAM, Jerman 9 Sept. – Canselor Jerman, Angela Merkel menyanjung kebebasan bersuara semalam pada satu majlis anugerah untuk seorang kartunis Denmark yang melukis karikatur Nabi Muhammad memakai serban menyerupai bom.  Lukisan Kurt Westergaard adalah antara 12 karikatur Nabi Muhammad yang mencetuskan protes umat Islam di seluruh dunia sehingga menyebabkan 50 orang maut lima tahun lalu.  Merkel yang membesar di bawah rejim komunis di Jerman Timur terkenang akan kegembiraan beliau semasa Tembok Berlin runtuh pada 1989.  “Bagi saya sendiri kebebasan ialah pengalaman paling gembira dalam hidup saya,” kata Merkel, 56, pada majlis anugerah semasa persidangan mengenai kebebasan akhbar di Potsdam dekat Berlin.  

Beliau menyifatkan kebebasan akhbar sebagai ‘komoditi yang sangat berharga’.   Diberi penghormatan pada acara itu ialah Westergaard yang melukis karikatur paling kontroversi antara 12 karikatur Nabi Muhammad yang mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh selepas penyiarannya dalam sebuah akhbar Denmark pada 2005.   Beliau mengucapkan terima kasih kepada Merkel dan penganjur kerana anugerah yang mengiktiraf perjuangannya menegakkan kebebasan bersuara.  “Kita masih menjalani kehidupan yang baik sekalipun menghadapi pelbagai ancaman,” kata Westergaard, 75.  Tokoh Islam di Jerman mengkritik Merkel kerana memberi penghormatan kepada kartunis tersebut.  “Merkel memberi penghormatan kepada kartunis yang pada pandangan kami telah memijak-mijak Nabi kami dan memijak-mijak seluruh umat Islam,” kata Aiman Mazyek daripada Majlis Islam Pusat di Jerman dalam satu kenyataan. – Reuters

Sumber: Utusan Malaysia 10/09/10

Terbukti Kebobrokan Demokrasi Menipu Umat Islam

Beginilah Barat yang kononnya menyanjung tinggi nilai-nilai demokrasi telah menggunakan idea kebebasan untuk melondehkan wajah hodoh mereka kepada Islam. Kartunis Denmark yang melukis karikatur Nabi Muhammad memakai serban menyerupai bom telah diberikan anugerah oleh Canselor Jerman, Angela Merkel baru-baru ini atas alasan menyanjung kebebasan bersuara. Terserlah jelas wajah hipokrit mereka yang mendokong idea kebebasan demokrasi yang dilaungkan oleh Barat ini. Ketika Jerman menyanjung pelaku yang menghina Islam dan umat Islam atas dasar kebebasan, dalam masa yang sama Islam dan umat Islam terus ditekan oleh pihak kuffar ini. Umum mengetahui bahawa Jerman adalah termasuk antara negara-negara di Eropah yang menghalang amalan Islam oleh kaum Muslimin yang berada di sana. Sebagai contoh, pemakaian hijab dilarang di sekolah-sekolah umum di Jerman. Terdapat juga laporan bahawa pelajar di Berlin, Jerman telah dilarang untuk solat di sekolah. Dan umum juga mengetahui bahawa laungan azan pernah dilarang untuk dikumandangkan di seluruh Jerman. Semua ini berlaku ketikamana ’idea kebebasan’ kononnya dipertahankan di sana!

Wahai umat Islam! Wahai gerakan-gerakan Islam yang ada pada hari ini! Lepaskan diri kalian dari  ilusi demokrasi yang menipu. Apa yang jelas adalah, Barat akan terus menggunakan demokrasi yang menipu ini untuk memperbodohkan umat Islam. Apakah kita akan terus mempercayai demokrasi dan larut di dalam racunnya? Telah terbukti bahawa idea ini dan implementasinya adalah ciptaan Barat yang terus digunakan untuk membunuh, menghina dan menghentam Islam dan umat Islam? Sampai bilakah umat Islam akan terus ditipu?