Ramadhan Tidak Menjamin Ketaatan Kepada Syariah Islam
JAKARTA 6 Ogos – Bagi umat Islam, bulan Ramadan merupakan penuh barakah di mana umat Islam mengambil kesempatan untuk memperbanyakkan ibadah dan amalan kebaikan. Namun, berlainan pula yang berlaku di Indonesia, apabila bulan suci ini tidak membawa sebarang makna, kerana gejala rasuah tetap berlaku sepanjang masa, termasuk pada bulan Ramadan ini. Rita, seorang pelanggan di pejabat Jabatan Pengangkutan di Jakarta Selatan yang mahu membuat lesen memandu buat kali pertama terpaksa menggunakan ‘orang tengah’ untuk memudahkannya mendapatkan lesen memandu dalam tempoh sehari.
“Saya memberikan wang kira-kira 500,000 rupiah (RM176) kepada ‘orang tengah’,” katanya kepada Jakarta Post. Jika mengikut peraturan dia perlu menjalani beberapa prosedur seperti memandu dan ujian psikologi, yang akan memgambil masa yang panjang. Rochim yang merupakan antara orang tengah di pejabat itu memberitahu beliau mengenakan bayaran 550,000 rupiah (RM194) untuk membantu mendapatkan lesen memandu dengan mudah dalam tempoh sehari.
Sementara itu, seorang pengunjung terkejutnya dengan aktiviti rasuah yang berleluasa di pejabat itu, walaupun ketika bulan Ramadan, sambil tersenyum dia hanya menjawab, bulan puasa tidak akan mengubah apa-apa di sini. – AGENSI
Sumber : Utusan Online, 07/08/2011
Ramadhan Tidak Menjamin Ketaatan Kepada Syariah Islam
Bukanlah suatu yang memeranjatkan bagi kita sekiranya jenayah, pecah amanah, serta rasuah masih berlaku di bulan Ramadhan ini. Ini adalah kerana, “amalan” yang biasa berlaku dan mendarah daging di bulan-bulan selain Ramadhan adalah merupakan suatu yang lumrah di dunia kapitalis-sekularisme sekarang. Aqidah sekularisme yang memisahkan antara agama/deen dengan kehidupan pastinya akan melahirkan jiwa muslim yang kosong daripada penghayatan ajaran Islam dalam kehidupan. Maka tidak hairanlah jika ada muslim yang solat, tetapi dalam masa yang sama masih bergelumang dengan riba. Malah berpuasa di bulan Ramadhan tetap tidak menghalang mereka daripada menerima dan memberi rasuah. Begitu pula para pemimpin umat Islam yang sibuk menggalakkan umat Islam memperbaiki dan memuhasabah diri di bulan yang mulia ini, namun mereka (para pemimpin umat Islam) tidak sedikitpun merasa bersalah menerapkan undang-undang kufur ke atas rakyat.
Inilah natijah daripada penerapan sistem yang rosak yang barang pasti akan melahirkan umat yang rosak. Ibadah khusus seperti puasa dan solat tidak dapat membentuk mereka menjadi muslim yang bertakwa – yang ada adalah individu muslim yang hanya mengikatkan diri mereka kepada hukum Islam dalam perkara-perkara aqidah dan ibadah khusus semata- mata, namun jauh daripada seorang yang bersyakhsiyyah Islam. Namun, sekiranya Islam diterapkan secara total oleh negara, maka secara tabii, setiap tindakan individu itu akan berjalan sesuai dengan aturan Islam. Malah hanya dengan pelaksanaan hukum-hakam Islam secara kaffah oleh negara sahajalah yang akan melahirkan individu serta masyarakat yang menjadikan syariat Islam sebagai amalan hidup. Wallahu a’lam.