Sistem Rosak Yang Membiarkan Wanita Dicabul

Ketika tahun 2012 menutup tirainya, masyarakat dunia dikejutkan dengan tragedi kematian seorang pelajar perubatan di New Delhi, India, yang diserang semasa dia bersama seorang rakan lelakinya menaiki sebuah bas sekolah yang dicuri enam lelaki mabuk pada 16 Disember 2012 lalu. Insiden yang mendapat liputan meluas ini menyaksikan bukan sahaja pelajar wanita itu dirogol beramai-ramai, malah mangsa turut diserang menggunakan sebatang besi sebelum dicampak keluar daripada bas yang sedang bergerak bersama kawan lelakinya.

Baru-baru ini, seorang pelancong wanita warga Britain mengalami kecederaan di kaki setelah bertindak nekad melompat keluar daripada tingkap tingkat tiga bilik hotelnya di Agra, India kerana takut diperkosa oleh pemilik hotel tersebut. Wanita itu memberitahu polis, pemilik hotel itu cuba memecah masuk ke biliknya selepas dia enggan menerima tawaran untuk mengurutnya secara percuma daripada pemilik hotel berkenaan. Insiden itu berlaku beberapa hari sebelum kejadian rogol bergilir-gilir melibatkan seorang pelancong Switzerland (Kosmo, 20 Mac 2013).

Laporan  turut menyatakan bahawa banyak kejadian rogol beramai-ramai berlaku setiap hari di India dan kebanyakan mangsa enggan membuat laporan polis kerana mereka sudah tidak percayakan sistem perundangan negara yang ada di samping bimbang reaksi negatif daripada para pegawai polis lelaki.

Dalam kehidupan dunia hari ini, keadaan kaum wanita seolah-olah tidak lagi selamat, biar di mana pun mereka berada. Mereka berdepan dengan pelbagai ancaman dan gangguan seksual di sepanjang masa. Hal ini berbeza dengan situasi semasa kewujudan Daulah Khilafah Islamiyyah dahulu. Pada zaman Khilafah Abbasiyyah yang dipimpin oleh Khalifah Al-Mu’tasim, seorang wanita yang terjatuh lalu tersingkap auratnya akibat perbuatan lelaki kafir Rom telah menjadi bahan sorakan kaum kafir yang berada di situ. Wanita itu merayu sambil memanggil-manggil, “Wahai Khalifah Mu’tasim, selamatkanlah aku…”. Seorang lelaki Muslim yang menyaksikan kejadian itu segera bergerak ke Baghdad untuk mengadukan hal tersebut kepada Khalifah. Baginda segera menjawab, “Wahai ibu, ini Khalifah Mu’tasim mendengar seruanmu”. Baginda kemudiannya mengerahkan bala tentera untuk menyerang penghina-penghina Muslimah berkenaan.

Fenomena ini sangat berbeza dengan situasi pada hari ini kerana tidak wujud satu pun solusi yang tuntas dalam memelihara dan melindungi kehormatan wanita. Di India, selepas insiden kematian pelajar perubatan tersebut, masyarakat cuba bangkit untuk mendesak pemerintah melakukan tindakan segera bagi menangani gangguan seksual yang tidak pernah kunjung padam. Sebaliknya, apa yang berlaku adalah pihak polis sibuk menyerang dalam menyuraikan para pendemonstrasi melalui tembakan meriam air dan gas pemedih mata, dan bukannya mencari solusi jenayah yang menyebabkan masyarakat memprotesnya melalui demonstrasi.

Sesungguhnya hanya dengan penerapan hukum-hakam Islam secara kaffah, yang merupakan rahmatan lil alamin, kehormatan dan kemuliaan kaum wanita akan kembali terbela. Hanya dengan kembali kepada Al-Quran yang diturunkan kepada orang-orang yang beriman dan juga kepada seluruh manusia, yang mana dijanjikan tidak ada sebarang keraguan di dalamnya, segala permasalahan seluruh umat manusia sama ada Muslim atau non-Muslim akan terpelihara.

Sumber: kosmo.com.my