Sekolah Harapan: Tampal Sulam Sistem Kehidupan Yang Rosak

Lima remaja hamil akan daftar masuk Sekolah Harapan esok

JASIN 19 Sept. – Seramai lima remaja yang sedang hamil akan menjadi pelajar kumpulan pertama yang mendaftar masuk ke Sekolah Harapan di Jalan Pegawai di sini yang ditubuhkan bagi memberi perlindungan kepada golongan berkenaan. Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang mencetuskan idea penubuhan sekolah tersebut berkata, remaja berkenaan yang berusia antara 16 dan 17 tahun akan ditemani keluarga masing-masing ketika mendaftar.  “Empat daripada mereka akan bersekolah dalam Tingkatan Lima dan seorang di Tingkatan Empat.  “Mereka masing-masing dari Melaka, Johor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Pahang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis tahlil dan meninjau operasi sekolah tersebut hari ini. Sekolah Harapan itu yang dibuka Jumaat lepas dikendalikan oleh Majlis Agama Islam Melaka, beroperasi di dua bangunan lama milik Syarikat Air Melaka Berhad yang diubah suai menjadi sekolah berserta sebuah asrama. – Bernama

Sumber: Utusan Malaysia 19/09/10

Sekolah Harapan: Hanya Untuk Memperpanjangkan Hayat Kebobrokan Sistem Kapitalisme

Hebat sungguh Ali Rustam dengan idea “canggihnya” menubuhkan Sekolah Anak Luar Nikah (SALUN). Mungkin beliau melihat seolah-olah usahanya itu adalah terbaik dan terhebat untuk tahun 2010 ini. Tetapi sebagai seorang Muslim beliau seharusnya melihat isu ini dari sudut pandangan Islam dan bukannya dari kaca mata Kapitalisme . Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna telah menurunkan seperangkat sistem yang wajib diterapkan di dalam kehidupan manusia samada diperingkat individu, masyarakat mahupun negara. Ini termasuklah untuk menyelesaikan penyakit ataupun masalah yang muncul dari penyimpangan perhubungan antara lelaki dan perempuan. Persoalan ini sebenarnya termasuk di dalam perbincangan sistem sosial Islam dan ianya juga terkait dengan sistem ‘uqubat Islam.

Jika kita memperhalusi isu ini dari dasarnya dan dari sudut pandangan Islam maka kita akan mendapati bahawa tindakan Ali Rustam mewujudkan Sekolah Harapan ini akan hanya menimbulkan 1001 macam masalah baru kepada masyarakat. Sebelum cetusan idea songsang ini dimuntahkan oleh Ali, sebenarnya Malaysia telahpun mempunyai banyak pusat-pusat penjagaan yang diwujudkan oleh orang-orang persendirian mahupun NGO-NGO yang ada bagi menampung kelahiran anak-anak luar nikah dan juga wanita-wanita mahupun para remaja yang bermasalah. Kewujudan pusat-pusat ini sebenarnya tidak dapat menyelesaikan masalah anak luar nikah ini malahan jika diteliti dengan lebih telus dan jujur ia hanya akan memperpanjangkan tempoh hayat sistem Kapitalisme yang ada pada hari ini, di mana sebenarnya inilah yang menjadi punca kepada kerosakan yang berlaku.

Masyarakat sekular hari ini, terutamanya para pemimpin sekular yang ada tidak merasakan isu perzinaan sebagai satu pelanggaran terhadap syariat Islam yang wajib diselesaikan mengikut acuan dan hukuman Islam. Para pemimpin yang berkuasa hari ini hanya melihat Islam itu dalam konteks fikrah semata-mata tetapi tidak mengambil thariqahnya sekali. Sedangkan Islam adalah suatu mabda yang mengandungi fikrah dan thariqah yang wajib diambil secara keseluruhannya samada oleh individu, masyarakat dan juga negara. Inilah punca tercetusnya idea rosak itu sebenarnya. Sewajibnya Ali sebagai salah seorang yang memegang kekuasaan berusaha ke arah penerapan Islam dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara secara menyeluruh. Inilah sepatutnya yang dilakukan oleh Ali dan bukannya membuka SALUN seperti apa yang telah beliau lakukan itu. Islam sebagai suatu mabda yang datang dari Allah SWT telah merincikan perkara ini secara tuntas dan sempurna. Hanya mereka yang kafir atau zalim ataupun fasik sahaja yang akan mengabaikan penerapan sistem dan hukuman yang diturunkan oleh Allah SWT Rabb yang menciptakan manusia, alam dan kehidupan ini.   Lihat: SN228 – BUANG BAYI – NATIJAH DARI DIBUANGNYA HUKUM ALLAH!