Tampal Sulam Undang-undang Sekular

Status negara: Kerajaan digesa pinda perlembagaan

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Kerajaan digesa segera meminda beberapa artikel dalam Perlembagaan Persekutuan bagi memperjelaskan beberapa isu termasuk soal status negara yang mengamalkan dwisistem (sistem perundangan hybrid) dan bukannya negara sekular seperti didakwa beberapa pihak.

Pindaan ke atas perlembagaan juga perlu dibuat bagi mewujudkan garis perbezaan antara perlembagaan sebagai undang-undang utama Persekutuan dengan pelaksanaan undang-undang dan syariat Islam.

Desakan itu antara 24 rang undang-undang persendirian yang dikemukakan Ahli Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat yang sedang bersidang.

Zulkifli berkata, Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi memastikan fakta-fakta mengenai kedudukan agama Islam tidak lagi diputar belit dan disalah tafsir oleh golongan tertentu untuk memberi gambaran kononnya Malaysia adalah negara sekular.

Untuk itu ayam sabung PKR tersebut menyarankan supaya perkataan “Islam adalah agama bagi Persekutuan termasuk dari segi undang-undang dan syariatnya” ditambah bagi menepis keraguan mengenai perihal kedudukan status negara.

“Hakikatnya Malaysia bukanlah negara sekular sebaliknya negara yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, maka dengan pindaan kepada Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan seperti yang dicadangkan akan memperjelaskan perihal kedudukan status negara ini tanpa sebarang keraguan lagi,” katanya.

Beliau berkata, Artikel 4 Perlembagaan Persekutuan pula perlu dipinda bagi menambah perkataan “Perlembagaan adalah undang-undang utama Persekutuan dan kecuali undang-undang dan syariat Islam, apa-apa undang-undang yang diluluskan berlawanan dengannya hendaklah terbatal setakat ia berlawanan itu.”

“Dewan perlu mengambil maklum bahawa banyak keadaan di mana hukum syarak syariat Islam telah terbatal dan atau tidak dapat dilaksanakan kerana Artikel 4 Perlembagaan Persekutuan ini yang meletakkan undang-undang negara mengatasi semua undang-undang dan peraturan lain.

“Ini termasuk undang-undang serta syariat Islam seperti pengharaman pemakaian serban di sekolah-sekolah kebangsaan, pemakaian purdah dan jilbab di jabatan-jabatan kerajaan, pelaksanaan undang-undang syarak seperti khalwat, zina, qazaf yang bercanggah dengan hukum syarak dan lain-lain,” kata Zulkifli.
Turut dicadang untuk dipinda ialah Artikel 11 (1) Perlembagaan Persekutuan mengenai soal pertukaran agama bagi orang Islam.

Dalam perkara itu, Zulkifli mencadangkan untuk memasukkan perkataan “termasuk menukar agamanya kecuali bagi penganut agama Islam yang hendaklah tertakluk kepada undang-undang dan syariat Islam. Bagi maksud penganut agama Islam, soal kemasukan dan kemurtadan dari agama Islam, hendaklah ditentukan oleh Mahkamah Syariah yang mempunyai bidang kuasa mutlak ke atasnya.” – BERNAMA.

Sumber: Utusan Malaysia 22/10/09

Sistem Islam Tidak Pernah Berkompromi Dengan Kebathilan

Beginilah yang terjadi tatkala Islam tidak dijadikan pedoman sepenuhnya di dalam kehidupan manusia, khususnya dalam mengatur urusan Negara. Mereka beranggapan bahawa dengan menampal sulam undang-undang yang sedia ada, sudah cukup untuk mengatakan bahawa Sistem yang digunapakai saat ini bukanlah Sistem Sekular. Mereka tidak sedar bahawasanya dengan tidak diterapkannya Islam secara kaffah (total) ia adalah merupakan satu bentuk penafian Islam sebagai Ideologi/Mabda’ yang berhak mengatur segala sisi kehidupan manusia. Ia telah ditunjukkan oleh suri teladan agung bagi umat Islam iaitu baginda Nabi SAW, bahawasanya kita wajib hanya berpegang teguh kepada Al-Quran dan As-Sunnah dan apa-apa yang datang dari keduanya itu (ijma’ sahabat dan qiyas) untuk mengatur urusan kehidupan kita. Firman Allah SWT:

“Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, Maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan Dia di akhirat Termasuk orang-orang yang rugi”.[TMQ Al-Imran(3): 85]

Agama yang dimaksudkan oleh ayat di atas bukanlah terbatas pada amalan-amalan yang bersifat ibadah dan akhlak sahaja. Tetapi kalimat “Islam” adalah bermaksud mabda’, iaitu Deen yang merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia. Jadi, ayat tersebut menolak segala apa sahaja yang tidak datang dari Islam, baik dalam mengatur urusan manusia dengan penciptaNya, dengan dirinya sendiri, termasuklah urusan manusia dengan manusia lainnya dalam aspek muamalat, uqubat dan pengaturan sebuah negara. Sebab itu, Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang melakukan suatu amal yang tidak ada perintahnya dari kami maka amalan tersebut tertolak.” (Hadits Shahih, Diriwayatkan oleh Imam Muslim)

Apakah Rasulullah SAW memerintahkan kepada kita untuk mengambil perlembagaan kufur lalu mencedok hanya sebahagian kecil syariat Islam dan mengabaikan syariat Islam yang lainnya untuk mengatur kehidupan kita? Jika begitulah kemahuan dan keinginan mereka, dengan melakukan tampal sulam dan berkompromi dengan undang-undang akal manusia, maka ingatlah bahawasanya ia bertentangan dengan perintah Allah SWT di dalam Al-Quran:

“Wahai orang-orang Yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) Segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata”. [TMQ Al-Baqarah(2): 108]

Agar kita tidak rugi baik di dunia dan di akhirat, maka kami serukan kepada seluruh umat Islam, khususnya para penguasa kaum Muslimin untuk menerapkan Islam secara kaffah dalam kehidupan dan membuang segala apa yang bertentangan dengan perintah dan larangan Allah SWT.

“Katakanlah (Muhammad) : “Apakah mahu Kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling rugi perbuatannya?” Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya (amalnya) dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya.” [TMQ Al-Kahfi(18): 103–104]