Kod etika dan undang-undang kufur

KUALA LUMPUR 16 Dis – Dalam usaha kerajaan yang penuh dosa ini membersihkan kesalahan-kesalahan mereka di bidang kehakiman, semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz membentangkan untuk bacaan kali pertama Rang Undang-undang Jawatankuasa Etika Hakim 2008.
Mengikut rang undang-undang berkenaan, hakim yang melanggar Kod Etika Hakim 2008 boleh dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Etika Hakim, jika Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan berpendapat hakim berkenaan tidak wajar dirujuk kepada tribunal yang dilantik mengikut Fasal (4) Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan rang undang-undang itu, jawatankuasa terbabit mempunyai bidang kuasa dalam perkara berkaitan kelakuan dan tatatertib semua hakim, selain pemecatan seseorang hakim daripada jawatannya mengikut Fasal (3) Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan [Berita Harian 16/12/08].

Jika rang undang-undang ini diluluskan nanti, ini bermakna hakim-hakim yang berkenaan semuanya akan tertakluk dan mesti mematuhi kod etika yang ditetapkan. Jika mereka melanggarnya, maka mereka tertakluk kepada perbicaraan dan hukuman khusus yang diperuntukkan.

Bagi golongan sekular seperti kerajaan yang memerintah, kod etika ini dilihat perlu untuk menjaga ’tingkah laku’ para hakim. Sekali pandang tidak ada salahnya dengan kod etika ini kerana ia dibuat bagi menjaga ’tinglah laku’ seseorang agar sentiasa terbentuk dengan baik.

Hakikatnya di dalam Islam, orang Islam langsung tidak memerlukan ’kod etika’. Ini kerana, tinglah laku orang Islam adalah wajib dipandu mengikut syarak. Dengan kata lain, setiap Muslim wajib bertingkah laku sebagaimana yang diizinkan syarak dan tidak boleh bertingkahlaku yang diharamkan.

Persoalan kod etika atau tingkah laku sebenarnya adalah persoalan berhubung akhlak seseorang.  Dan Islam telah pun menyempurnakan persoalan akhlak di mana akhlak adalah sebagahagian dari syariat. Seseorang Muslim itu wajib berakhlak mulia sebagaimana dituntut oleh syarak. Dengan kata lain, seorang Muslim langsung tidak memerlukan kod etika di dalam kehidupannya, kerana tingkah laku atau akhlaknya adalah dipandu oleh syarak dan persoalan akhlak ini telah pun sempurna hukumnya di dalam Islam.

Bagi golongan sekular yang tingkah laku mereka tidak dipandu oleh agama, memanglah mereka memerlukan kod etika untuk ’memandu’ dan memelihara perbuatan mereka. Contohnya, jujur dan amanah adalah persoalan akhlak yang wajib ada pada seseorang Muslim. Dan setiap Muslim tahu bahawa jika dia tidak jujur dan amanah, maka dia akan berdosa. Menipu pula adalah satu perbuatan dosa yang akan dikenakan takzir. Dalam hal ini, tingkah laku seseorang Muslim itu dipandu oleh hukum dan ketakwaan. Halal dan haram serta dosa dan pahala menjadi panduan di dalam setiap perbuatannya.

Bagi golongan sekular yang tidak menjadikan halal dan haram serta dosa dan pahala sebagai panduan hidup, maka mereka perlu dipandu oleh kod etika.

Inilah perbezaan di antara kehidupan sekular dan Islam. Justeru, golongan kerajaan dan juga hakim-hakim yang sekular, mereka perlu ada kod etika untuk mengatur tingkah laku mereka. Ini kerana, mereka tidak pernah menjadikan syarak sebagai hukum untuk mengatur tingkah laku. Mereka perlu dipandu oleh kod etika di bawah sistem sekular untuk menjadikan mereka seorang yang ’baik’.

Ini dari satu aspek. Dari aspek yang lain, jika mereka melanggar kod etika yang dibuat, maka mereka boleh dikenakan tindakan, sebagaimana di dalam peruntukan rang undang-undang yang bakal diluluskan itu.

Para pemerintah kita yang sekular, sekali lagi buta dan tersasar jauh dari wahyu. Mereka membuat undang-undang dan mengenakan tindakan jika hakim melanggar kod etika, namun persoalan yang jauh lebih besar iaitu hakim-hakim yang berhukum dengan hukum kufur, tidak di anggap salah dan di ambil apa-apa tindakan! Melaksanakan hukum kufur tidak salah, tetapi melanggar kod etika adalah salah. Inilah hukum sekular yang diajalankan oleh pemerintah sekarang.

Kerja para hakim sebagai badan pelaksana kepada undang-undang kufur dan memutuskan setiap kes dengan undang-undang kufur, langsung tidak dipandang salah oleh kerajaan. Apa tidaknya, kerajaan sendiri sebagai badan yang membuat undang-undang kufur tersebut, dan setelah dibuat, para hakim pula adalah pelaksananya sahaja. Kedua golongan ini adalah dua kali lima sahaja di dalam kesekularan dan dosa-dosa mereka.

Sebagai seorang Muslim, kita wajib sedar bahawa sesungguhnya sistem kehakiman yang ada sekarang adalah sistem kufur. Ia adalah sistem yang diwarisi dari British dan ia bertentangan seratus lapan puluh darjah dengan Islam. Sistem kehakiman kufur yang diamalkan di Malaysia sejak ratusan tahun lamanya ini sewajarnyalah mempunyai 1001 jenis keburukan dan kejahatan di dalamnya. Buatlah perubahan apa pun, selama mana ia bukan perubahan kepada Islam, maka keburukan dan dosa tetap mengelilingi badan kehakiman, dan juga badan pemerintahan.

Bagi para hakim yang ada, sungguh buta mereka dari hadis Rasulullah dan sungguh berani mereka menjadi hakim yang memutuskan bukan berdasarkan hukum Allah. Sabda Rasulullah SAW,

“Qadhi/Hakim itu terbahagi kepada tiga golongan, dua golongan berada dalam neraka dan satu golongan lagi berada dalam syurga. Adapun (golongan) yang berada di syurga adalah (hakim/qadhi) yang mengetahui akan haq/kebenaran dan memutuskan dengannya (haq). Adapun (hakim/qadhi) yang mengetahui akan haq tetapi tidak menghukum dengannya, malah bertindak zalim dalam memutuskan hukum, maka dia ke neraka. Dan (hakim/qadhi) yang tidak mengetahui akan haq dan memutuskan hukum di antara manusia berdasarkan kejahilan, maka dia (juga) ke neraka” [HR Abu Daud].

Fikirlah wahai saudaraku sekelian, di manakah kebaikannya dengan sistem kehakiman yang ada, apabila hakim/qadhi yang memutuskan hukum itu tidak pernah memutuskan hukum berdasarkan yang haq (hukum Islam) dan mereka bakal menjadi penghuni neraka? Para Menteri sekular yang ada pula sedang sibuk ingin membuat kod etika untuk mereka ini…sedangkan para Menteri itu sendiri belum tentu selamat dari neraka Allah dengan semua hukum kufur yang mereka gubal selama ini. Na’uzubillah min zalik