Wahai Zaki! Apakah Kamu Berbangga Dengan Undang-undang Thaghut?

 Zaki akan terus perkenal dasar baru biarpun tidak popular

PUTRAJAYA 15 Jan. – “Saya buat apa yang perlu saya buat, walaupun ia mungkin pahit untuk ditelan oleh sesetengah orang.”  Demikian ditegaskan Tun Zaki Azmi hari ini berhubung dasar dan perubahan yang beliau laksanakan dalam bidang kehakiman sejak mula menyandang jawatan Ketua Hakim Negara.  Zaki, yang akan bersara beberapa bulan lagi, berkata, seperti sebelum ini, matlamat beliau ialah melaksanakan perkara yang membawa kebaikan kepada badan kehakiman dan orang ramai.  “Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, sehinggalah saya bersara, saya akan terus memperkenalkan dasar baru, tidak kira sama ada ia popular atau tidak, asalkan saya berpuas hati dan yakin bahawa ia akan membawa kebaikan kepada bidang kehakiman dan orang ramai.  “Kadang-kadang, ada orang melihat sesuatu dasar itu bersifat negatif, tapi lama-kelamaan, mereka akan mengubah pendapat demikian apabila melihat ia memberi hasil positif,” kata Zaki ketika berucap merasmikan majlis Tahun Undang-undang 2011 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini. – Bernama

Sumber : Utusan Malaysia 15/01/11

Wahai Zaki! Apakah Kamu Berbangga Dengan Undang-undang Thaghut?

Para hakim yang kini sedang berada di kerusi-kerusi empuk, termasuklah Ketua Hakim Negara yang dikatakan akan bersara, sewajarnya memuhasabah diri masing-masing dengan peringatan dari Allah SWT. Antaranya ialah firman Allah SWT:

“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya”. [TMQ An-Nisaa’ (4) :65].

“Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir/ zalim/fasiq” [TMQ Al-Maaidah (5) : 44/45/47].

Mengapakah para hakim yang berada di Malaysia khususnya dan negeri-negeri umat Islam yang lain amnya saat ini perlu dimuhasabah? Kerana faktanya para hakim yang ada pada hari ini adalah golongan yang menganggotai dan menjalankan tugas intitusi yang menerapkan undang-undang kufur yang ‘dihadiahkan’ oleh penjajah. Mereka mewarisi tugas menjaga sistem yang ditinggalkan oleh penjajah. Kita perlu sedar hakikat bahawa undang-undang yang diguna pakai di Malaysia saat ini adalah undang-undang ciptaan manusia atau dalam erti kata lainnya ialah undang-undang taghut sedangkan Allah SWT telah mengingatkan kita dengan firmanNya: “Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada taghut itu. Dan syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh”. [TMQ An-Nisaa’ (4) : 60].

Untuk itu wahai mereka yang merasa bangga dengan kedudukannya sebagai hakim! Apakah mereka sedikitpun tidak pernah memperdulikan peringatan yang diberikan oleh Rasulullah SAW sebagaimana hadis di bawah?

Buraidah berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda: “Hakim itu ada tiga, dua diantaranya akan masuk api neraka dan satu akan masuk surga. Seseorang yang mengetahui kebenaran dan menghakiminya dengan kebenaran itu dialah yang akan masuk surga, seseorang yang mengetahui kebenaran namun tidak memutuskan berdasarkan kebenaran itu, dia akan masuk neraka. Yang lain tidak mengetahui kebenaran dan memutuskan sesuatu dengan kebodohannya, dan dia akan masuk neraka” [HR Abu Daud, Tirmidzi, Nasa’i dan Ibn Majah].

Wahai Zaki! Sedarkah kamu hukum apakah yang kamu tinggikan saat ini? Kembalilah kepada kebenaran dan putuskanlah dengan kebenaran hukum Allah. Humbankanlah taghut yang akan membawa kamu ke neraka!